SELASA lalu, dengan tidak semena-mena Umno telah melancarkan jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dun Rantau. Menurut Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tindakan ini adalah sebagai langkah persediaan menghadapi sebarang kemungkinan berhubung keputusan mahkamah mengenai petisyen calon PKR, Dr S. Streram ketika PRU14 yang lalu.

Menariknya, setelah empat PRK yang berlaku selepas PRU14, barangkali mungkin inilah pertama kali Umno kelihatan benar-benar bersedia semenjak PRK Sungai Kandis pada Ogos lalu.

Dalam empat PRK lalu, Umno hanya bertanding di Sungai Kandis. Bagi tiga PRK yang lain, Umno telah memberikan laluan kepada MCA dan Pas bertanding di Balakong dan Seri Setia. Paling mengejutkan sudah tentu apabila Umno memboikot PRK di Port Dickson pada bulan lalu.

Keputusan itu amat mengecewakan kerana walaupun diramalkan bakal kalah kerana faktor Datuk Seri Anwar Ibrahim, Umno gagal melihat PRK Port Dickson ketika itu sebagai satu peluang untuk mengumpul data dan mengutip maklumat serta menambah pengalaman bertanding sebagai pembangkang.

Dan sudah tentu dalam masa yang sama, peluang untuk menyusun semula jentera parti yang kelihatan ‘demoralised’ selepas tidak lagi menjadi parti pemerintah.

Tindakan Umno yang bersedia dengan sebarang kemungkinan berhubung keputusan mahkamah me­ngenai petisyen tersebut harus dipuji. Sama ada ia memihak kepada Umno ataupun tidak, kesiapsiagaan terhadap perkara itu adalah sesuatu yang wajar dilakukan. Tambahan pula, sekiranya pilihan raya kecil ditakdirkan berlaku, Umno tidak boleh lagi lari dari bertanding di Dun Rantau atas beberapa alasan.

Pertama, kawasan tersebut merupakan kubu kuat Umno di Negeri Sembilan. Kedua, calon yang bakal bertanding nanti adalah penyandang kerusi tersebut sejak 2004 yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, malah Timbalan Presiden Umno itu sendiri, Datuk Seri Mohamad Hasan (Tok Mat).

Sekiranya dua faktor ini tidak cukup kuat untuk Umno bekerja keras bagi mempertahankan kerusi tersebut, barangkali Umno harus membayangkan nasib sekiranya kalah dalam PRK itu. Dalam keadaan Umno yang tersepit dengan pelbagai masalah dalaman, kepemimpinan yang bercelaru dan sumber kewangan yang semakin sempit, kalah di Dun Rantau sememangnya bukan satu pilihan.

Barangkali dalam situasi sekarang, PRK Rantau sekiranya berlaku bolehlah disifatkan sebagai mother of all by-election yang mesti dimenangi Umno dengan pendekatan do-or-die.

Di peringkat awal, sementara kes ini masih berjalan sambil menunggu keputusan petisyen oleh mahkamah minggu hadapan, Umno perlu segera mengukuhkan jentera parti dan menyusun strategi kempen yang bakal diketengahkan. Kelebihan dijangka menyebelahi Umno berbanding siapa pun lawannya di Dun Rantau itu nanti.

Aset terbesar yang menjadi kelebihan buat Umno sudah tentulah Tok Mat sendiri. Persona, ketokohan dan pengalaman luas Tok Mat ketika menjadi Menteri Besar antara faktor yang menyumbang kepada perkara itu.

Dengan mencalonkan beliau, Umno tidak perlu pening memikirkan siapa bakal dipasang bagi mempertahankan kerusi itu dan dalam masa sama, ia mampu mengurangkan pergeseran dalaman yang sering menjadi isu setiap kali pilihan raya.

Cabaran baharu sekiranya PRK Rantau ini berlaku sudah tentulah kehilangan kelebihan jentera kerajaan. terdahulu, Rantau di dalam Rembau memiliki dua tokoh utama dalam kerajaan di peringkat negeri dan pusat.

Kedudukan Tok Mat sebagai Menteri Besar dan Khairy Jamaludin Sebagai Menteri Belia dan Sukan di peringkat pusat banyak memberikan kelebihan buat Umno yang memanfaatkan sepenuhnya jentera kerajaan dalam berkempen.

Namun kali ini ia tidak lagi berlaku dan Umno harus melupakan terus pendekatan ini dan segera mencari alternatif lain.

Dalam masa sama, Umno harus segera mencongak siapakah pula bakal calon yang mungkin diketengahkan oleh lawannya. Beberapa nama disebut bakal dipasang sekiranya berlaku PRK.

Pertama sudah tentu Dr S. Streram sendiri yang terlepas peluang ketika PRU14 yang lalu. Ada juga sumber lain yang ura-ura mengatakan bekas ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah dan Ketua Cabang PKR Rembau yang baharu dipilih, R. Tanggam turut bakal dicalonkan.

Setakat ini Dr S. Streram yang paling kuat dikaitkan dengan pencalonan itu. Tambahan pula, beliau telah memulakan gerak kerja di Dun Rantau sejak sebelum PRU14 lagi. Sebagai bekas Penyelaras Dun Rantau dan Timbalan Ketua Cabang PKR Rantau yang baharu, sudah tentu beliau masak dengan kawasan dan pengundi di situ.

Terlalu awal untuk menjangkakan apa bakal berlaku. Namun begitu, ia juga tidak bermaksud mana-mana parti boleh leka dan tidak segera bersiap sedia. Sekiranya PRK Rantau benar-benar berlaku, kita bakal sekali lagi menyaksikan PRK buat kali kelima dalam tempoh tak sampai enam bulan selepas PRU14.

Yang pasti kali ini Umno tidak boleh lari dan merantau jauh dari menghadapinya. Jadi Umno, sila bertanding dan jangan lari kalau ditakdirkan PRK Rantau ini berlaku nanti.

* Penulis Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara