SETELAH hampir dua bulan semenjak 9 Mei, akhirnya Parlimen Malaysia telah memulakan persidangan. Seramai 221 wakil rakyat yang terpilih secara demokrasi, kecuali Pagoh, telah mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen bagi penggal ke-14 ini.

Kali terakhir Parlimen yang mulia itu bersidang ialah pada 4 April lalu sebelum ia dibubarkan dua hari kemudian bagi memberi laluan kepada PRU14 diadakan.

Persidangan kali ini sudah tentu banyak berbeza. Buat kali pertama, barisan sebelah kanan Parlimen tidak lagi dihuni oleh wakil rakyat BN. Dua kerusi terawal di baris kanan juga menyaksikan perubahan apabila wakil rakyat tertua, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam usia 93 tahun kembali ke kerusi lamanya sebagai ketua kerajaan setelah 15 tahun bersara.

Manakala di sebelahnya pula, sejarah dicatatkan sekali lagi apabila buat kali pertama, Datuk Seri Dr Wan Azizah beralih kerusi dari barisan kiri ke sebelah barisan kanan sebagai Timbalan Perdana Menteri wanita pertama Malaysia.

Di satu sudut pula, tokoh-tokoh yang selalunya duduk di barisan sebelah kanan berhijrah ke kiri yang menempatkan kerusi pihak pembangkang. Sudah tentu ini juga satu sejarah baharu untuk Malaysia apabila buat kali pertama mantan perdana menteri, timbalan perdana menteri serta beberapa jemaah menterinya kembali ke Parlimen sebagai pembangkang, satu suasana yang belum pernah disaksikan setelah 60 tahun Malaysia merdeka.

Menariknya juga, dalam 222 wakil rakyat yang terpilih itu, 90 daripada mereka adalah muka baharu  pertama kali menjadi wakil rakyat. Kebanyakan mereka terdiri daripada orang muda dengan satu lagi sejarah dicatatkan apabila wakil rakyat Batu, P. Prabakaran menjadi wakil rakyat termuda Malaysia ketika berusia 22 tahun. Begitulah ironinya kali ini, termuda dan tertua duduk bersama bersidang demi negara.

Dalam masa sama, kita juga mengucapkan selamat kembali kepada 11 wakil rakyat yang membuat penampilan semula di Parlimen. Diharap kembalinya mereka dalam Parlimen memberikan pandangan dan input berkualiti dalam perbahasan seperti sebelumnya.

Secara peribadi saya cukup teruja dan mengharapkan akan ada perkembangan dan perubahan yang baik dalam perjalanan Parlimen penggal ini. Komposisi wakil rakyat yang berpengalaman, matang, segar, insaf dan bersemangat ini nescaya mampu menjadikan institusi legislatif negara benar-benar berfungsi sebagai penggubal undang-undang yang berwibawa.

Wakil rakyat mesti sentiasa meningkatkan kualiti dan mutu perbahasan ketika perbincangan usul, dasar dan undang-undang dengan hujah dan fakta. Wakil rakyat mesti sentiasa menjalankan tinjauan dan kajian penyelidikan bagi memantapkan lagi tujahan ketika berbahas.

Wakil rakyat juga mesti segera mengikis budaya berfikir mengikut kepartian dalam keputusan, terutamanya ketika mengundi usul selepas perbahasan. Amalan parliament whip dan en bloc voting yang seakan-akan memaksa kesemua wakil rakyat mengundi mengikut keputusan dan disiplin parti harus segera dilunturkan.

Budaya kalau parti membuat sesuatu keputusan, maka kesemua wakil rakyat mestilah mengundi ikut keputusan yang ditetapkan inilah yang sebenarnya menghambat fungsi efektif wakil rakyat di Parlimen.Buang segera kerangka lama cara berfikir wakil rakyat. Pemikiran bahawa apabila rakyat mengundi sesebuah parti untuk membentuk kerajaan, maka parti itulah yang membuat keputusan mesti dibuang jauh-jauh.

Ingatlah wakil rakyat, anda semua dihantar ke Parlimen atas kepercayaan rakyat. Undi  anda terima itu amanah dan tanggungjawab yang bakal dipersoaljawabkan.

Saya suka memetik bait lagu daripada penyanyi terkenal Indonesia Iwan Fals yang berjudul Surat Untuk Wakil Rakyat. Lagu dendangan beliau ini diterbitkan sekitar 1987 antara lagu rakyat terkenal memperkata tentang wakil rakyat.

Liriknya yang satira dan melodi yang berentak catchy penuh dengan citra sindiran, teguran dan ingatan kepada wakil rakyat barangkali perlu didengar kembali pada tahun 2018 ini. Antaranya bait lagunya yang harus dihayati adalah:

“di hati dan lidahmu kami berharap,

suara kami tolong sampaikan,

jangan ragu jangan takut karang menghadang,

bicaralah yang lantang jangan hanya diam”

.... wakil rakyat seharusnya merakyat,

jangan tidur waktu sidang soal rakyat,

wakil rakyat bukan paduan suara,

hanya tahu nyanyian lagu “setuju”.

Mengapa saya sengaja petik bait lirik ini? Ini adalah kerana, bait-bait ini merangkumi semua tugas dan tanggungjawab sebenar seorang wakil rakyat, baik secara tersurat mahupun tersirat.  

Sudah tentu sepanjang 20 hari persidangan bakal diikuti ramai dengan penuh minat. Perbahasan untuk memansuhkan GST, Akta Kesalahan Keselamatan Langkah-langkah Khas 2012 (Sosma) dan Akta Anti Berita Tidak Benar 2018 yang bakal dibahaskan nanti dijangka menjadi tumpuan utama rakyat.

Selamat bersidang wakil-wakil rakyat!

* Penulis Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi UiTM