TEMPOH 100 hari pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) sudah berada di penghujungnya. Sudah pasti tumpuan seluruh rakyat Malaysia, khususnya pengundi yang memangkah PH ketika PRU14 lalu, akan bertumpu kepada keberhasilan 10 janji 100 hari PH yang terkandung dalam manifesto “Membina Negara, Memenuhi Harapan” mereka.

Ketika pilihan raya umum yang lalu, 10 janji itulah antara modal yang dijaja PH ketika memancing undi rakyat dalam usahanya menumbangkan BN dan seterusnya membentuk kerajaan.

Dalam kesibukan kerajaan PH mentadbir negara dan memenuhi manifestonya, di antara 10 janji dalam manifesto 100 hari PH itu, perkara yang paling sedikit diberi perhatian oleh mereka ialah janji-janji yang berkaitan dengan Sabah dan Sarawak.

Umum mengetahui bahawa perkara ini telah dimasukkan oleh PH dalam Teras ke-4 Buku Harapan (baca: manifesto) dengan jaminan bahawa PH akan mengembalikan status Sabah dan Sarawak berteraskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sekiranya berjaya menawan Putrajaya.

Secara asasnya, terdapat tiga perkara pokok yang ditawarkan PH kepada Sabah dan Sarawak menerusi Teras ke-4 itu. Pertama, mengkaji dan mencadangkan langkah-langkah pembetulan dari segi status MA63 dalam perundangan sekarang.

Kedua, menilai semula federalisme dan autonomi pentadbiran kepada Sabah dan Sarawak dan ketiga mengkaji semula semua perkara yang menyentuh dasar fiskal terutamanya isu-isu yang melibatkan kewangan, percukaian dan peruntukan yang seharusnya menjadi hak Sabah dan Sarawak.

Di bawah teras-teras itu, terdapat beberapa janji yang ditawarkan oleh PH seingat saya telah menarik minat dan perhatian ramai rakyat Sabah seperti saya antaranya mengkaji semua Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan monopoli Petronas terhadap hasil gas dan minyak, penambahan royalti minyak 20 peratus serta penubuhan satu tabung amanah mengurus hasil tersebut seperti mana yang dipraktikkan di Norway dan Alaska, Amerika Syarikat.

Dalam masa yang sama perkara-perkara seperti proses Borneonisasi sektor awam, desentralisasi kuasa dan pentadbiran fiskal, penubuhan Suruhanjaya Kebenaran dan Rekonsiliasi terhadap isu kad pengenalan palsu dan pendatang asing tanpa izin juga antara yang turut diperhatikan dengan minat oleh rakyat Sabah.

Menurut PH lagi, semua perkara itu akan dilaksanakan menerusi penubuhan satu jawatankuasa bertindak khas bagi membantu, menyemak dan melaksanakan perkara-perkara berkaitan hak-hak Sabah dan Sarawak dengan segera dalam tempoh 100 hari pertama pentadbirannya.

Jawatankuasa khas itu nanti akan dianggotai oleh wakil-wakil dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang mempunyai kepakaran dalam hal-hal berkaitan di mana mereka akan diarahkan untuk memberi laporan terperinci kepada kabinet dalam masa enam bulan dari tarikh penubuhannya. Namun begitu, sehingga setakat ini, tiada sebarang jawatankuasa ataupun pasukan bertindak dibentuk untuk tujuan itu dan perkara-perkara yang dijanjikan masih tinggal janji sahaja.

Menyalahkan sepenuhnya kerajaan PH dalam hal ini mungkin tidak adil dan agak berat sebelah. Tempoh 100 hari untuk menyelesaikan semua dengan pantas sememangnya sukar, apatah lagi ketika mengambil alih kerajaan, PH tidak menjangkakan bahawa kerajaan yang mereka warisi berada dalam keadaan yang lebih teruk berbanding jangkaan asalnya.

Dalam masa sama, apa-apa dasar dan tindakan daripada kerajaan perlulah melalui proses penelitian dan kewajaran pertimbangan dari sudut perundangan sebelum ia boleh dilakukan. Perkara ini akan melibatkan satu proses yang panjang, beberapa prosedur yang rumit serta mengambil masa yang lama. Oleh sebab itu ia sudah tentu menuntut kesabaran yang tinggi daripada semua pihak.

Cuma apa yang mengecewakan dalam konteks manifesto 100 hari pentadbiran kerajaan PH terhadap Sabah sudah tentulah sikap acuh tak acuh mereka dalam menunaikan janjinya. Dalam masa sama, tiada tanda-tanda bahawa Putrajaya benar-benar serius dengan komitmennya terhadap Sabah.

Di satu sudut yang lain pula, kerajaan Sabah juga kelihatan tidak proaktif dalam menuntut hak-hak Sabah sebagaimana diharapkan. Barangkali antara perkara positif buat Sabah mungkin berkaitan dengan royalti minyak sahaja. Ini apabila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pada 20 Julai lalu telah memberikan jaminan 20 peratus royalti minyak kepada semua negeri pengeluar minyak seperti Sabah.

Memang wujud sedikit kegusaran apabila kerajaan Sabah di bawah Parti Warisan tiada dalam gabungan PH ini mungkin menjadikan Sabah terpinggir dari agenda pemerintah berbanding ketika era kerajaan BN. Namun begitu, hubungan akrab Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal dan Tun Dr Mahathir sedikit sebanyak mampu mengurangi kebimbangan itu.

Hakikatnya, manifesto 100 hari kerajaan PH untuk Sabah pada peringkat ini bolehlah dianggap sebagai tidak berjaya. Masih ada tempoh lima tahun untuk Tun Dr Mahathir dan Shafie berkerjasama rapat merealisasikan apa yang telah dijanjikan kepada Sabah.

* Penulis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi UiTM