TEKA-TEKI kerusi Parlimen mana yang akan dikosongkan bagi memberi laluan kepada Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding sebagai langkah awal untuk membawa beliau kembali ke Parlimen, sudah terjawab.

Rabu semalam, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail Presiden PKR, mengumumkan yang Anwar sah akan bertanding di Parlimen Port Dickson selepas penyandang kerusi tersebut, Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta.

Ini bermakna Malaysia akan mengadakan satu lagi pilihan raya kecil (PRK) untuk kali keempat dalam tempoh tidak sampai enam bulan selepas PRU14.

Mirip langkah Kajang 2014, plot dan naratif PRK kali ini hampir serupa kerana melibatkan pengosongan kerusi Dun Kajang yang ketika itu, dirancang untuk menjadikan Anwar, Menteri Besar Selangor akibat daripada krisis kepimpinan dalam Pakatan Rakyat (PR) terutamanya melibatkan Menteri Besar ketika itu, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Ketika itu, tindakan Khalid dalam keputusan kerajaan pimpinannya tidak selari dengan kehendak PR, dan dalam masa yang sama, beliau dilihat mesra dan sentiasa berlembut dengan kerajaan pusat ketika itu terutamanya dalam isu berkaitan projek bekalan air di Selangor.

Secara ringkas, langkah Kajang yang dirancang ketika itu tidak berjaya. Sebaliknya ia merupakan titik perpecahan pakatan pembangkang ketika itu dengan keluarnya Pas dari PR dan Khalid kemudiannya digantikan dengan Datuk Seri Azmin Ali.

Dengan PRK keempat pasti bakal menjelma, persoalannya kini ialah adakah rakyat di kawasan itu nanti bersedia untuk turun mengundi atau trend tiga PRK di Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong sebelumnya bakal berulang?

Tiga PRK itu mencatat jumlah pengundian yang rendah dengan PRK serentak di Seri Setia dan Balakong mencatat sejarah PRK paling rendah mengatasi PRK Penanti 2009. Ada beberapa perkara yang barangkali boleh dijadikan perbandingan antara PRK bakal diadakan ini dengan PRK-PRK sebelumnya.

Pertama, PRK sebelumnya diadakan kerana kematian penyandangnya. Berbanding PRK keempat ini, ia diadakan akibat kekosongan yang dilakukan semata-mata untuk memberi laluan kepada figura politik besar negara, Anwar kembali ke arena politik.

Ketokohan, karisma, populariti dan kerinduan rakyat terhadap Anwar dijangka mampu menarik pengundi untuk keluar berbanding di tiga PRK sebelum ini. Populariti dan nama besar Anwar sudah cukup untuk menjangkakan sambutan yang tinggi daripada pengundi.

Lihat sajalah sambutan yang diterima beliau ketika dibebaskan dari penjara setelah mendapat pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong Mei lalu. Tambahan lagi, beliau juga berpengalaman menghadapi PRK sepertimana dalam PRK Permatang Pauh 2008 setelah kembali layak untuk bertanding semula.

Kedua, PRK keempat ini memberikan sedikit motivasi kepada pengundi dalam beberapa aspek. Pertama, aspek kepentingan PRK ini yang berlaku bagi peringkat nasional (Parlimen) berbanding sebelumnya (Dun).

Kedua, aspek psikologi apabila naratif ‘memilih Perdana Menteri Malaysia ke-8’ bakal dihidangkan kepada pengundi berbanding PRK sebelumnya yang dianggap sekadar proses biasa menggantikan penyandang terdahulu dengan orang baharu tanpa sebarang perubahan signifikan dalam komposisi Dun mahupun kerajaan negeri.

Dan ketiga, aspek kempen dan isu-isu yang bakal melatari PRK itu yang sememangnya dijangka berlegar sekitar isu-isu nasional berbanding isu-isu lokal dan simpati peribadi, kerana Anwar pada kali ini tidak lagi boleh menggunakan modal lama dalam berkempen disebabkan PH sudah pun menjadi kerajaan.

Dalam masa sama, ramai yang masih mahu melihat sejauh mana dinamika kerjasama Umno-Pas di Sungai Kandis dan Seri Setia diteruskan dan sudah tentu mahu menyaksikan tokoh-tokoh mereka bertarung mematahkan hujah-hujah, mengurangkan dominasi dan pengaruh Anwar sepanjang berkempen kelak.

PRK Seri Setia menyaksikan Pas menerusi kerjasamanya dengan Umno mencatatkan peningkatan yang baik dari segi menurunkan undi PH. Dengan margin undi yang diterima PH berkurangan hampir separuh berbanding PRU14 lalu, ia dianggap perkembangan positif di sebalik kekalahan.

Wujud indikasi bahawa kerjasama ini membawa manfaat kepada kedua-dua pihak yang sekiranya mampu dipupuk, terutama dalam usaha meyakinkan ahli masing-masing agar menyokong kerjasama itu dan seterusnya mencari pendekatan baharu bagi menyaingi PH, tidak mustahil kerjasama itu mampu membentuk satu pakatan baharu yang mampu bertarung dalam persaingan satu lawan satu.

Besar harapan kita untuk melihat ini berlaku. Ini adalah kerana, kekuatan seimbang parti-parti politik yang ada akan menguntungkan rakyat dalam jangka panjang. Baik PH mahupun Pas-Umno, mereka akan benar-benar berjuang untuk rakyat disebabkan wujudnya fear factor akan kuasa undi rakyat dan dalam masa sama, rakyat senantiasa ada alternatif politik yang baik atas penawaran yang difikirkan terbaik ditawarkan oleh mana-mana parti politik.

Cuma mungkin, pada ketika ini pengundi kelihatan penat dan letih dengan politik, lebih-lebih lagi pilihan raya. Memang ada kegusaran yang trend peratusan keluar mengundi rendah mungkin berlaku pada PRK keempat ini. Tetapi ada keyakinan bahawa faktor Anwar mungkin ada sedikit perubahan dan peningkatan.

Barangkali SPR kena tangguh dahulu hasrat untuk memendekkan tempoh berkempen bagi PRK keempat ini, maklumlah bukan selalu kita dihidangkan dengan peluang sebegini.

* Penulis Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)