TAMAT sudah PRK Port Dickson dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim menang bergaya dalam persaingan tujuh penjuru dengan jumlah majoriti yang amat besar.

Ketika rakyat menunjukkan semacam ‘keletihan politik’ seperti mana yang berlaku dalam PRK Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong, aura Anwar ternyata masih ampuh dan berpengaruh memikat warga Port Dickson untuk keluar mengundi.

Buktinya, PRK Port Dickson mencatatkan peratusan keluar mengundi yang baik pasca PRU14 berbanding tiga PRK di Selangor sebelumnya.

Persona dan karisma Anwar juga turut berjaya mencatatkan rekod majoriti tertinggi dalam sejarah pilihan raya di Port Dickson, yang sebelumnya dikenali sebagai Telok Kemang dengan catatan 23,560 berbanding tahun 1995 ketika PRU9 calon BN, L. Krishnan menang dengan majoriti 21,015 dalam pertandingan dua penjuru menewaskan calon DAP, P. Thangasamy.

Jika dibandingkan dengan PRK kali ini, kemenangan Anwar lebih bergaya kerana beliau memperoleh majoriti yang tinggi menerusi pertandingan tujuh penjuru walaupun dengan peratusan keluar mengundi yang amat kecil sekitar 58.6% berbanding PRU9 (72.9%).

Begitulah hebatnya sosok bernama Anwar ini. Apa sahaja tentang beliau akan menarik segala perhatian rakyat. Bermula dari zaman beliau menjadi aktivis mahasiswa sehingga menjadi aktor utama politik arus perdana, kemudian menjadi pencetus gerakan reformasi sehinggalah berjaya menumbangkan hegemoni kuasa BN, Anwar seolah-olah sebuah ‘magnet’ yang mampu menarik segala macam perhatian, perasaan, emosi dan tarikan kepada setiap pemerhati baik dari kalangan rakyat ataupun pemimpin, kawan mahupun lawan politiknya.

Sepanjang 20 tahun semenjak era Reformasi 1998 sehinggalah era Harapan 2018 ini, landskap politik Malaysia banyak dicorakkan mengikut naratif Anwar menentang kezaliman dan kebobrokan.

Ramai melihat sepanjang tempoh ini politik Malaysia diibaratkan sebagai sebuah orkestra yang banyak bermain mengikut alunan dan tempo yang dikarang berdasarkan kerangka Anwar-Mahathir (baca: pemerintah).

Sejak 1998, dominasi Anwar-Mahathir melatari hampir segenap aspek berpolitik di Malaysia menerusi naratif adil vs zalim, telus vs culas, bersih vs rasuah antara pemerintah dan pembangkang yang setelah Dr Mahathir bersara dan kembali semula, naratif ini diteruskan pula menerusi polemik kuasa rakyat vs kleptokrasi, terutamanya ketika era Datuk Seri Najib menjadi perdana menteri.

Sudah tentu kemenangan Anwar dalam PRK Port Dickson akan memberikan beliau peluang untuk kembali dalam politik arus perdana negara. Dengan dicanang sebagai bakal perdana menteri Malaysia ke-8, aspek inilah antara motif dan motivasi pengundi, baik di Port Dickson mahupun di Malaysia dalam PRU14 terdahulu mengundi Pakatan Harapan ketika pilihan raya dilangsungkan.

Oleh yang demikian, PRK Port Dickson yang lalu boleh disimpulkan sebagai kemuncak kepada perubahan yang berlaku semenjak ia bermula menerusi gerakan reformasi 20 tahun lalu.

Yang pasti PRK Port Dickson harus menjadi penamat kepada politik lama yang menekankan aspek kepemimpinan berbanding pencapaian dan penyampaian. Politik Malaysia Baharu harus segera lari dari ‘terlalu banyak main politik’ dan kembali kepada matlamat sebenar berpolitik.

Cukup dan buanglah semua amalan politik lama yang memualkan rakyat. Kerangka lama seperti politik perkauman, menunggang agama, fitnah dan pembunuhan karakter (character assassination) individu harus segera ditolak dan dihindarkan.

Dengan cabaran baharu yang bakal dihadapi Malaysia, aspek-aspek berpolitik mesti segera beranjak bukan sahaja dalam kerangka pemikiran dan amalan, tetapi ia juga harus memberikan idea dan falsafah baharu dalam mencorak naratif politik Malaysia yang sebelumnya terlalu pasif, konservatif dan parokial.

Tidak menolak bahawa agak mustahil untuk mengikis apatah lagi membuang perkara-perkara asas yang membentuk dasar kerangka politik Malaysia terutamanya yang berkait rapat dengan aspek 3R; Race, Religion and Royals (Raja-raja), namun begitu, berterusan menggunakan isu-isu sebegitu tidak akan membawa Malaysia ke mana-mana.

Di sinilah peranan Anwar sebagai tokoh politik Malaysia yang disenangi semua. Kebolehan dan kelebihan Anwar di mata rakyat berbilang kaum di Malaysia harus digembleng dan dimanfaatkan sepenuhnya bagi membawa politik Malaysia segera keluar dari naratif lama yang beliau sendiri antara yang menyumbang kepada perkara itu.

Anwar harus segera menamatkan segala polemik politik yang melatari Malaysia. Ini bagi membolehkan negara berganjak dari politik lama kepada politik bentuk baharu yang menekankan soal kesejahteraan rakyat, keadilan sosial dan semangat demokrasi yang sebenar berbanding sebelumnya.

Dalam tempoh terdekat ini, adalah menjadi harapan semua untuk melihat proses peralihan kuasa daripada Dr Mahathir kepada Anwar akan berlaku dengan baik dan tersusun dalam keadaan yang lancar dan aman.

Semoga Malaysia terus maju dan makmur walau siapa pun yang menjadi pemerintah.    

* Penulis Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)