OGOS lalu, penulis telah mengupas tentang bencana alam, teknologi dan pengajaran yang boleh dipelajari daripada musibah berlaku di seluruh dunia, khususnya di rantau Asia Tenggara.

Penulis terpanggil untuk mengupas lagi tentang bencana alam apabila membaca laporan Jabatan Pengurangan Risiko Bencana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dikeluarkan Jumaat lalu.

Laporan tersebut menyebut ekonomi dunia kerugian USD$661.5 bilion (RM 2.7 trilion) daripada 1998 sehingga 2017. Daripada jumlah tersebut, tsunami dan gempa bumi menyebabkan kerugian USD$280 bilion (RM 1.2 trilion).

Persoalannya sekarang apakah yang dilakukan pihak berkuasa di negara ini? Apatah lagi pada saat Malaysia dikatakan bakal `dihadiahkan’ gempa bumi pertama di kawasan Malaysia Barat.

Ini rentetan penyiaran berita pada awal Oktober lalu yang menyebut 20 penduduk Orang Asli Kampung Pawong di Perak diarah keluar daripada kediaman selepas berlaku pergerakan tanah menyebabkan rumah mereka mengalami keretakan.

Pergerakan tanah tersebut menghasilkan rekahan selebar hampir dua meter dan sepanjang 150 meter. Kombinasi dua berita tersebut menimbulkan kesedaran kepada penulis.

Pada 1986, penulis masih ingat satu insiden pihak berkuasa di Boston, Massachussetts mengerah penduduk agar berwaspada dengan puting beliung yang bakal berlaku. Penduduk diberikan amaran sebulan lebih awal daripada bencana tersebut bagi membolehkan mereka melakukan persiapan berlindung daripada puting beliung tersebut.

Mengambilkira daripada insiden pesawat Lion Air JT 610 yang terhempas di perairan Karawang, Jakarta, wujud spekulasi kononnya ada prosedur yang tidak dipatuhi. Pesawat dibenarkan berlepas meskipun 20 jam sebelum itu jurutera penerbangan telah memberi amaran ia tidak selamat untuk diterbangkan.

Kembali kepada segenap musibah yang berlaku, penulis menyedari kebelakangan ini tiada ramalan kaji cuaca bagi tempoh enam bulan disiarkan untuk pengetahuan penduduk di Malaysia.

Dalam sistem kejuruteraan, bencana bermula daripada satu analisis yang kecil. Seharusnya, jurutera dan saintis di negara ini mesti sentiasa menganalisis data ramalan cuaca dengan tepat tentang malapetaka yang akan berlaku.

Secara kasarnya, data boleh dihasilkan daripada kaedah sistem kawalan yang tahan lasak (robust) dengan merujuk kepada rekabentuk kawalan sedia ada, termasuk parameter dan anggaran laluan orbit, gangguan luaran, persamaan linear dan tidak linear.

Bayangkan bagaimana sistem kawalan satelit ini dapat direka bentuk supaya ia dapat mengetahui keupayaan dan batasannya? Sistem kejuruteraan yang rumit memerlukan sistem kawalan canggih tiada batasan.

Sistem kawalan yang sedang dibangunkan adalah jenis sistem kawalan secara ruang terbuka tiada batasan (unlimited open space) atau infiniti bagi menentukan prestasi Sistem Kawalan Kedudukan Satelit Fleksibel-Tegar atau Attitude Control System of Rigid-Flexible Satellite (ACS-RFS).

Sistem kawalan infiniti mampu mengenal dan membezakan gangguan luaran dan berupaya menyeimbangkan sistem kejuruteraan dalaman tanpa gangguan. Ini adalah prinsip asas kesan kehidupan kepada keseimbangan alam semula jadi dan manusia, selain dari pengkhususan kepada pengaplikasian sistem kawalan kejuruteraan.

Ruang terbuka tiada batasan atau ruang infiniti ini boleh dirujuk sebagai ruang alam semesta yang disebut sebagai ruang angkasa yang tidak bertepi. Walaupun demikian, bumi yang kita duduk ini dilitupi oleh lapisan nipis seperti cangkerang untuk menampung oksigen yang membolehkan kita bernafas.

Kita hanya mampu menjangkau pemerhatian di ruang angkasa semaksimum 55,000 kilometer (km) dengan menggunakan satelit yang diletakkan di orbit bumi. Realitinya, sehingga ke hari ini tiada siapa yang mampu menjangka saiz ruang angkasa. Ini menjadikan kita sangat kerdil berbanding dengan alam semesta yang cuba kita terokai.

Tetapi pernahkah kita berfikir bahawa kejadian alam semesta ini jika dibongkar akan memberi kita suatu manifestasi terhadap penciptaan baru yang boleh dimanfaatkan kepada kehidupan kita?

ALLAH SWT telah memberi kita suatu pencerahan melalui Surah Al-A’raaf [7:54] yang bermaksud: “Sesungguhnya Tuhan kamu ialah ALLAH yang telah menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, lalu Dia bersemayam di atas Arasy. Dia menutupkan malam kepada siang yang mengikutinya dengan cepat, dan (diciptakan-Nya pula) matahari, bulan dan bintang-bintang (masing-masing) tunduk kepada perintah-Nya. Ingatlah, menciptakan dan memerintah hanyalah hak Allah Maha Suci ALLAH, Tuhan semesta alam.”

ALLAH juga telah memberi amaran dan peringatan kepada pemimpin negara supaya sentiasa mendapatkan petunjuk daripada Pencipta sebagaimana dijelaskan dalam Surah Nuh [21:73-77] maksudnya:

“Kami telah menjadikan mereka itu sebagai pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami dan telah Kami wahyukan kepada mereka mengerjakan kebajikan, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, dan hanya kepada Kami lah mereka selalu menyembah; dan kepada Lut, Kami telah berikan hikmah dan ilmu, dan telah Kami selamatkan dia dari (azab yang telah menimpa penduduk) kota yang mengerjakan perbuatan keji. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang jahat lagi fasik; dan Kami masukkan dia ke dalam rahmat Kami; karena sesungguhnya dia termasuk orang-orang yang saleh; Dan (ingatlah kisah) Nuh, sebelum itu ketika dia berdoa, dan Kami memperkenankan doanya, lalu Kami selamatkan dia beserta pengikutnya dari bencana yang besar.”

Kesimpulannya, daripada kejuruteraan cuaca, kita mampu memantapkan penganalisaan data ramalan cuaca bagi membolehkan rakyat Malaysia peka dan ‘peduli’ terhadap ‘keganasan’ bencana alam yang bakal berlaku.

*Penulis adalah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor (Unisel)