KEBANYAKAN akhbar di Malaysia memberikan liputan meluas kepada kerjasama Proton dengan Zhejiang Geely Holdings Group Company Limited (Geely).

Sebagai permulaan, projek tersebut akan memperkenalkan model Proton SUV menggunakan kuasa enjin 1.8L TGDi yang akan memasuki pasaran akhir tahun ini. Model 1.5L TGDi pula dijangka diperkenalkan tahun hadapan. Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yakin model Proton SUV ini akan memberi nafas baharu kepada Proton.

Penulis dimaklumkan, dengan bantuan sistem transmisi automatik 6-kelajuan, enjin Proton SUV ini mampu menghasilkan kuasa hampir mencecah 200 kuasa kuda (hp) walaupun kelajuan enjinnya di bawah 6,000 pusingan seminit (rpm). Dengan kelajuan enjin di antara 1,500 rpm sehingga 4,000 rpm, enjin 1.8L TGDi ini menghasilkan nilai tork awalan menghampiri 200 Newton meter (Nm).

TGDi bermaksud Turbo Gasoline Direct Injection merujuk kepada reka bentuk tembakan bahan api (petrol) secara langsung ke dalam kebuk enjin pembakaran dalaman yang meningkatkan kecekapan pengendalian bahan api dan sistem pembakarannya.

Jumlah dan tempoh peratusan kemasukan petrol ke dalam kebuk pembakaran ditingkatkan sekali gus memberi kelebihan kepada model reka bentuk ini. Ia juga mampu meningkatkan kuasa kuda berbanding kapasiti enjin itu sendiri.

Selaku pakar kejuruteraan automotif yang pernah terlibat secara langsung dengan industri permotoran nasional sejak 1996, penulis begitu teruja dengan pengenalan model SUV ini kerana ia memberi konotasi bayangan bahawa Proton kini kembali menjadi produk yang dipercayai masyarakat di negara ini.

Ia bakal memastikan kelangsungan Proton pada pasaran penjualan kenderaan kembali diperkukuhkan dengan pengenalan model terbaharu. Soal kenderaan bukannya isu remeh. ALLAH SWT telah menyampaikan pesanan tentang kenderaan sebanyak 11 kali dalam al-Quran.

Surah At-Taubah [9:92-93] bermaksud: “Mereka datang kepadamu (memohon) supaya engkau memberi kenderaan kepada mereka, engkau berkata: “Tidak ada padaku kenderaan yang hendak kuberikan untuk membawa kamu”, mereka kembali sedang mata mereka mengalirkan air mata yang bercucuran, kerana sedih bahawa mereka tidak mempunyai sesuatu pun yang hendak mereka belanjakan (untuk pergi berjihad pada jalan ALLAH); Sesungguhnya jalan (untuk menyalah dan mengenakan seksa) hanyalah terhadap orang-orang yang meminta izin kepadamu, padahal mereka itu kaya dan mampu. Mereka rela berada bersama-sama orang-orang yang tidak ikut berperang dan Allah telah mengunci mati hati mereka, maka mereka tidak mengetahui (akibat perbuatan mereka).”

Urusan berkaitan kenderaan akan sentiasa mengingatkan kita agar sentiasa bersyukur kepada kekuasaan ALLAH dan tahu dari mana punca kewujudannya (kenderaan) sebagaimana dinyatakan dalam Surah Az-Zukhruf [43:12-13]:

“Dan (Dia) Yang menciptakan semua yang berpasang-pasangan dan menjadikan untukmu kapal dan binatang ternak yang kamu tunggangi; supaya kamu duduk tetap di atasnya; kemudian kamu mengingati nikmat Tuhan kamu apabila kamu duduk tetap di atasnya, serta kamu (bersyukur dengan) mengucapkan: Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya.”

Tetapi persoalan yang tidak kurang pentingnya ialah berkenaan pembangunan kemahiran dalam industri automotif di Malaysia. Persoalan yang timbul sejak kewujudan rakan kongsi dari China dalam Proton adakah generasi model Proton terbaharu akan dibangunkan oleh tenaga kerja tempatan atau sebaliknya?

Persoalan tersebut sudah pasti dibincangkan Tun Dr Mahathir ketika beliau bertemu Pengerusi Geely, Dr Li Shufu baru-baru ini. Geely dilaporkan bersedia untuk bekerjasama dengan pakar dan industri tempatan dalam membangunkan pengeluaran model Proton pada masa akan datang.

Penulis juga ingin menyatakan bahawa sesuatu yang berlaku itu adalah susunan ALLAH Yang Maha Mengetahui dan ia perlu diselidik secara mendalam supaya manusia tidak akan buntu pada pertengahan jalan.

Penulis ingin mengingat bahawa semua penciptaan teknologi peralatan dan jentera pengangkutan moden seperti kereta atau kapal terbang adalah aliran transformasi yang amat penting sejak penggunaan kenderaan unta pada zaman dahulu dan sehinggalah sekarang.

ALLAH berfirman dalam Surah At-Takwiir [81:4]: “Dan apabila unta-unta yang bunting ditinggalkan (tidak dipedulikan).” Ayat ini menceritakan tentang keadaan dan suasana ketika akan berlakunya akhir kiamat. Namun, Surah At-Takwiir ini harus ditafsir dengan penuh ketelitian.

Kesimpulannya, pembangunan teknologi kenderaan mesti diutamakan dan diberi perhatian serius demi menjaga keperluan generasi akan datang. Sekiranya ia tidak dijaga dan dibiarkan berlalu begitu sahaja, inilah tanda-tanda akan berlaku kehancuran kepada industri permotoran Malaysia.

* Prof Madya Dr Ir Muhidin Arifin Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor (Unisel)