KEPINTARAN buatan atau artificial intelligent (AI) ialah elemen yang penting dalam Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0). AI sama penting dengan elemen IR 4.0 yang lain iaitu big data, Industrial Internet of Things (IIoT), data acquisition system, communication, networking dan security serta clouds applications.

Peri pentingnya AI telah menyebabkan sebuah syarikat multinasional terkemuka dunia, Airbus mencipta sebuah robot yang dinamakan CIMON atau Crew Interactive Companion di atas Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS). Airbus ialah perintis dan peneraju industri aeroangkasa di dunia.

Jumaat lalu, Agensi Angkasa Eropah (ESA) mengeluarkan sebuah video menunjukkan seorang angkasawan bernama Alexander Gerst berinteraksi buat kali pertama dengan Cimon. Robot AI sebesar bola keranjang itu dicipta untuk menguji tahap interaksi di antara mesin dan manusia di ruang angkasa.

Cimon adalah robot AI yang dibangunkan bersama Pusat Aeroangkasa Jerman (DLR) dan Airbus. Penciptaannya bertujuan untuk menguji tahap pengurusan ruang angkasa menggunakan robot AI. Matlamat akhir Airbus ialah untuk meneroka bulan atau planet Marikh menggunakan robot AI.

Soalan pertama yang terlintas di benak pemikiran penulis sekarang ialah ke manakah hala tuju IR 4.0 di Malaysia? Adakah Malaysia setaraf dengan 'pemain-pemain’ IR 4.0 di Barat atau negara ini hanya sekadar melukut di tepi gantang?

Selepas menghadiri Persidangan Meja Bulat TVET Selangor anjuran Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Sains Teknologi dan Inovasi Selangor serta Universiti Selangor (Unisel) di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Oktober lalu, penulis mengerti realiti tentang tahap sebenarnya IR 4.0 di Malaysia.

Persidangan dua hari itu menyaksikan pakar TVET dari Switzerland dan Jerman bercanggah pendapat tentang persediaan dan keupayaan Malaysia untuk menyediakan elemen IR 4.0 seperti AI, big data, Industrial Internet of Things (IIoT), data acquisition system, communication, networking dan security serta clouds applications.

Seorang pakar industri daripada Siemens, sebuah syarikat multinasional Jerman berpangkalan di Kuala Lumpur yang turut terlibat dalam persidangan tersebut pula berpendapat Malaysia jauh ketinggalan berbanding Eropah. Namun, beliau percaya Malaysia mampu untuk menjadi perintis elemen IR 4.0 tersebut, di rantau Asia Tenggara.

Setelah penulis melihat video yang dikeluarkan oleh ESA, timbul satu persoalan besar pada pemikiran penulis. Adakah Malaysia mampu menghantar robot AI seperti Cimon ke ISS. Penulis juga cuba untuk merungkai pertanyaan yang tersembunyi sehingga Airbus sanggup berbelanja berbilion ringgit semata-mata mencari rahsia kemajuan ruang angkasa. Apakah realiti sebenar tahap persediaan IR 4.0 di Malaysia?

Jika kita lihat kandungan al-Quran, ALLAH SWT sebenarnya telah menjelaskan kepentingan meneroka alam angkasa. ALLAH berfirman dalam Surah Al-Israa’ [17:99] yang bermaksud: “Dan apakah mereka tidak memperhatikan bahawasanya ALLAH yang menciptakan langit dan bumi adalah kuasa (pula) menciptakan yang serupa dengan mereka, dan telah menetapkan waktu yang tertentu bagi mereka yang tidak ada keraguan padanya? Maka orang-orang zalim itu tidak menghendaki kecuali kekafiran.”

Tidak cukup dengan itu, ALLAH mencabar manusia dalam peristiwa Israk menerusi perjalanan Rasulullah SAW ke langit ketujuh dalam Surah Al-Israa’ [17:1] yang maksudnya: “Maha Suci ALLAH, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”

Jelas sekali al-Quran telah menerangkan rahsia ruang angkasa yang perlu dikaji untuk dimanfaatkan kepada kehidupan manusia. Ternyata saintis di Barat lebih pantas memanfaatkan seruan ALLAH tentang rahsia yang tersembunyi di ruang angkasa.

Al-Quran telah pun menerangkan dengan jelas kenapa ruang angkasa mesti diteroka dan dikuasai demi kemajuan manusia pada masa hadapan.

Bagi penulis, Cimon membawa cerita tersembunyi yang boleh dijadikan iktibar buat saintis di negara ini. Saintis di Malaysia harus mula mengorak langkah dan mencipta inovasi berkualiti dalam elemen IR 4.0. jika perlu, harus mula menghasilkan robot AI seperti Cimon. Pada masa sama, syarikat besar di Malaysia mesti berani melabur wang ringgit untuk pembangunan elemen terpenting dalam IR 4.0.

* Penulis adalah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor (Unisel)