PERKARA 152 Perlembagaan Malaysia

1. Bahasa Kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa jua tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen.

Dengan syarat:
(a) tiada sesiapa pun boleh dilarang atau ditahan daripada menggunakan (bagi apa-apa maksud, lain daripada maksud  rasmi), atau daripada mengajar atau belajar, apa-apa bahasa lain: dan
(b) tiada apa-apa jua dalam Fasal ini boleh menyentuh hak kerajaan Persekutuan atau hak mana-mana Kerajaan Negeri bagi memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain dalam Persekutuan.

Demikian Fasal (1) Perkara 152 Perlembagaan Malaysia. Namun mungkin banyak yang tidak membacanya atau tidak tahu langsung berkenaan fasal tersebut. Mungkin juga ada pihak yang membacanya atau tahu tentang fasal tersebut tetapi laras bahasa undang-undang mungkin menjadi kekangan untuk lebih memahaminya. Persoalannya, apakah yang tersirat di sebalik ayat yang tersurat itu?

Dalam syarat (a) Fasal (1), mana-mana pihak atau individu tidak dilarang daripada menggunakan apa-apa bahasa lain. Perlu diingat bahawa frasa dalam kurungan iaitu lain daripada maksud rasmi, bermakna urusan rasmi hendaklah menggunakan bahasa Kebangsaan. Bahasa Kebangsaan yang dinyatakan dalam Perkara 152 Perlembagaan Malaysia ialah bahasa Melayu. Sama ada secara sedar atau tidak, banyak pihak atau individu masa kini lebih gemar menggunakan bahasa Inggeris semasa berurusan. Mungkin urusan tersebut merupakan urusan rasmi?

Kita gunakan contoh berdasarkan situasi yang berlaku di sekolah. Pada setiap awal minggu iaitu hari Ahad bagi negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah atau hari Isnin bagi negeri-negeri lain, akan diadakan Perhimpunan Rasmi Sekolah. Jika kita lihat pada istilah rasmi, jelas membuktikan bahawa perhimpunan tersebut merupakan urusan rasmi.

Kadang-kadang terdapat sekolah yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa dalam perhimpunan rasmi tersebut. Atau, ada dalam kalangan guru yang menyampaikan ucapan dalam bahasa Inggeris dalam salah satu slot perhimpunan itu. Tidak pasti sama ada guru yang dimaksudkan itu tidak fasih berbahasa Melayu atau sengaja ingin menunjukkan beliau hebat dalam bahasa Inggeris. Isu ini ditimbulkan bukan kerana ingin menyisihkan bahasa Inggeris tetapi kita perlu lihat dan fahami maksud Fasal (1) (a) Perkara 152  Perlembagaan Malaysia. Persoalannya, adakah dengan penggunaan bahasa Inggeris dalam Perhimpunan Rasmi Sekolah bermaksud pihak sekolah telah melanggar Perlembagaan Malaysia?

Kita lihat satu lagi contoh yang sering berlaku iaitu urusan di pejabat-pejabat kerajaan. Semua sedia maklum bahawa mana-mana pejabat kerajaan adalah di bawah naungan Kerajaan Malaysia. Kerajaan Malaysia merupakan pemerintah atau pentadbir negara Malaysia. Jadi tentunya negara Malaysia mempunyai bahasa Kebangsaan seperti yang dijelaskan dalam Perkara 152 Perlembagaan Malaysia. Maka bahasa yang perlu digunakan semasa berurusan di mana-mana pejabat kerajaan ialah bahasa Kebangsaan. Hal ini demikian kerana urusan di mana-mana pejabat kerajaan dikira sebagai urusan rasmi. Lainlah jika yang berurusan itu ialah individu atau pihak yang datang dari luar negara. Jika yang berurusan itu warganegara Malaysia, wajiblah menggunakan bahasa Kebangsaan kerana sebagai warganegara Malaysia, kita seharusnya fasih berbahasa Kebangsaan.

Bahasa Jiwa Bangsa. Maksudnya bahasa kita iaitu bahasa Kebangsaan merupakan jiwa kepada bangsa Malaysia. Jika kita sendiri tidak yakin akan kehebatan bahasa Kebangsaan kita, siapa lagi yang boleh memberikan keyakinan itu? Kita sebagai rakyat Malaysia perlulah berbangga dengan bahasa Kebangsaan agar martabat bahasa kita akan terus abadi di bumi Malaysia yang tercinta ini.