SEORANG rakan berseloroh bahawa tiada bezanya sesuatu warna itu. Saya tahu, selorohnya itu berkaitan dengan warna yang digunakan untuk menggambarkan parti-parti politik di negara kita. Baginya, semua warna adalah sama. Mungkin itu falsafah bagi orang yang agak  liberal dalam politik.

Saya tidak berminat untuk mengulas warna yang melambangkan parti-parti politik tetapi agak tertarik dengan peranan warna dalam proses komunikasi dan penyampaian maklumat. Warna telah memainkan peranan besar dalam proses tersebut di seluruh dunia.

Komunikasi bukan sahaja dilakukan melalui medium pertuturan dan lisan. Komunikasi ialah penyampaian fikiran atau perasaan seseorang kepada orang lain dalam bentuk lambang atau simbol sama ada dalam bentuk bahasa (pertuturan dan tulisan), gerakan badan, bahasa isyarat, gambar, warna dan bunyi yang mampu menterjemahkan pemikiran penyampai maklumat kepada penerima.

Beberapa hari yang lepas saya telah ke sebuah hospital kerajaan dan dapat melihat maklumat yang cuba disampaikan oleh pihak hospital kepada orang ramai. Penggunaan warna untuk menggambarkan tahap keseriusan pesakit di unit kecemasan dapat memberi maklumat kepada pengunjung bagi mengagak jangka masa menunggu sebelum mendapatkan  khidmat doktor. Pesakit yang agak kritikal diletakkan di zon merah yang akan mendapat keutamaan untuk mendapat khidmat doktor berbanding pesakit yang diletakkan di zon kuning dan hijau. Pesakit di zon hijau terpaksa menunggu paling lama kerana dianggap tidak  kritikal berdasarkan saringan yang telah dibuat.

Warna pakaian kakitangan di hospital berkenaan juga dapat  memberi pemahaman kepada kita tentang jawatannya. Berdasarkan pengamatan saya, jika seseorang kakitangan itu memakai pakaian yang berwarna ungu tua menunjukkan dia seorang jururawat. Berbeza pula yang memakai ungu muda kerana warna pakaian itu melambangkan tugasnya sebagai seorang pembantu jururawat.

Saya masih ingat sewaktu kecil dahulu, apabila selesai peperiksaan di sekolah, anak-anak akan membawa pulang buku rekod kemajuan murid yang di dalamnya tercatat markah diperoleh dalam peperiksaan untuk ditandatangani oleh ibu bapanya. Bagi ibu bapa yang tidak pandai menurunkan tanda tangan, penggunaan cap jari juga dibenarkan. Ibu bapa yang tidak tahu membaca dan tidak kenal akan huruf dan angka dapat mengetahui pencapaian anak-anaknya melalui warna pen yang digunakan oleh guru untuk menulis markah anaknya.

Warna pen merah menunjukkan gagal, manakala warna biru ataupun hitam menunjukkan  anaknya lulus dalam sesuatu mata pelajaran. Penggunaan pencetak komputer kini telah melenyapkan keindahan itu kerana semua markah dicetak dengan warna hitam.

Apabila menonton perlawanan bola sepak, sama ada pemain ataupun penonton di rumah malah penonton di stadium pun mengetahui hukuman yang diterima oleh pemain melalui warna kad yang dilayangkan oleh pengadil perlawanan. Jika pemain menerima kad kuning, bermakna pemain itu diberi amaran oleh pengadil manakala kad merah pula memberi isyarat pemain berkenaan diarahkan meninggalkan padang. Dalam sukan ragbi dan hoki juga hampir sama dengan bola sepak, cuma bezanya ialah kad kuning menandakan seseorang pemain itu diarahkan untuk ‘berehat’ selama beberapa minit di luar padang manakala penerima kad merah bagi sukan hoki dan ragbi akan menerima nasib sama dengan penerima kad merah dalam sukan bola sepak.

Banyak warga asing yang mampu memandu kenderaan di negara kita tanpa sebarang masalah besar. Selain undang-undang jalan raya yang hampir sama, penggunaan warna lampu isyarat yang selaras di seluruh dunia memudahkan semua pemandu di dunia untuk menggunakan kenderaan walau di mana-mana sahaja mereka berada. Warna lampu isyarat merah menandakan berhenti manakala kuning dan hijau masing-masing melambangkan bersedia untuk berhenti dan terus jalan. Kita dapat melihat kepatuhan masyarakat kepada warna lampu isyarat mampu membantu semua pemandu semasa berada di jalan raya, seterusnya dapat melancarkan sistem trafik di seluruh dunia.

Warna bukanlah hanya sekadar warna. Warna itu sendiri mampu membentuk jalinan komunikasi antara penduduk di seluruh dunia. Kalaulah ditakdirkan tiada tulisan, tiada suara dan tiada anggota badan sebagai isyarat, komunikasi dan proses penyampaian maklumat  masih mampu dijalankan dengan adanya warna dengan syarat kita ada mata untuk melihat.

Itulah nikmat ALLAH SWT menciptakan warna dan menganugerahkan deria penglihatan kepada hamba-Nya.