“KEDAI JAHIT WANITA”. Itulah antara papan tanda iklan yang agak melucukan pernah kita lihat. Seorang anak kecil mungkin akan menganggap bahawa kedai itu merupakan kedai yang menjadi tempat untuk menjahit wanita, bukannya kedai untuk menjahit pakaian wanita. Sepatutnya papan iklan tadi tertulis dengan frasa “KEDAI MENJAHIT PAKAIAN WANITA”.

Kita seharusnya menggunakan bahasa Melayu yang betul dalam apa-apa keadaan sekali pun termasuklah dalam penggunaan pada papan-papan tanda iklan. Jika bahasa yang digunakan tidak betul dari segi bahasa Melayu maka akan timbullah pelbagai kesan yang negatif seperti masalah salah faham dan menjadi bahan lawak dalam kalangan masyarakat.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menyediakan Khidmat Pengesahan Bahasa (KPB) untuk mengesahkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul pada papan iklan dan papan tanda. Semua pengusaha bolehlah mendapatkan khidmat ini dan secara langsung menggambarkan sikap cinta akan bahasa Melayu.  

Bahasa rojak sering digunakan pada papan-papan tanda iklan di negara kita. Peniaga cenderung  menggabungkan beberapa bahasa khususnya bahasa Melayu dan bahasa Inggeris pada papan-papan tanda. Antara contoh penggunaan papan tanda tersebut ialah Jam Tangan Centre (sepatutnya Pusat Jam Tangan), Pusat Service Kereta (Pusat Membaiki Kereta) , Kedai Perabot dan Hardware (Kedai Perabot dan  Perkakasan Binaan), Kedai Membaiki Aircond (Kedai Membaiki Pendingin Hawa) dan lain-lain. Penggunaan bahasa rojak dalam iklan ini akan merosakkan bahasa Melayu kerana frasa dalam bahasa Inggeris yang telah digunakan sebenarnya dapat ditulis dengan sempurna dalam bahasa Melayu.

Ramli Kedai Runcit, Kedai Membaiki Penghawa Dingin, Ahmad Burger dan lain-lain merupakan antara papan tanda yang salah penggunaannya dalam bahasa Melayu. Contoh-contoh papan tanda di atas salah kerana bertentangan dengan hukum D-M (Diterangkan-Menerangkan) dalam bahasa Melayu.

Dalam peraturan atau hukum ini, unsur yang diterangkan itu merupakan unsur inti yang hadir pada kedudukan pertama dan unsur menerangkan merupakan unsur penerang yang hadir pada kedudukan kedua. Papan-papan tanda iklan tadi sepatutnya ditulis Kedai Runcit Ramli, Kedai Membaiki Pendingin Hawa dan Burger Ahmad atau lebih tepat Kedai Burger Ahmad.  

Ketika melawati sebuah kampung, saya melihat ada satu papan tanda yang tertulis Di Sini Ada Jual Sut Belup. Pada mulanya saya agak hairan kerana tidak memahami maksud yang cuba disampaikan melalui papan tanda iklan berkenaan. Akhirnya saya mendapat tahu bahawa kedai makan berkenaan menjual sup belut.

Penggunaan ejaan yang salah telah menyebabkan papan tanda iklan tadi tidak difahami. Banyak lagi ejaan yang salah digunakan pada papan iklan di negara kita, antaranya Kedai Membaiki Telepon (Kedai Membaiki Telefon), Kelinik Hassan (Klinik Hassan), Kedai Membaiki Motorsikal (Kedai Membaiki Motosikal) dan lain-lain lagi. Sepatutnya kesalahan ejaan pada papan-papan iklan dapat dielakkan supaya bahasa Melayu terus terpelihara kesuciannya.

Banyak lagi papan tanda yang salah dari segi ejaannya seperti Kedai Perabut Norizah (Kedai Perabot Norizah) dan Kedai Kuew Teow Aziz (Kedai Kuetiau Aziz).

Satu lagi contoh kesalahan bahasa yang dapat dilihat pada papan-papan tanda berkaitan kesalahan penggunaan kata selain Kedai Jahit Wanita ialah Kedai Gunting Lelaki (Kedai Gunting Rambut Lelaki).

Sesetengah pihak yang berkecimpung dalam bidang perniagaan menganggap bahawa  bahasa tidak penting kerana perkara yang lebih penting ialah maksud yang hendak disampaikan. Jikalau maksud yang hendak disampaikan itu berjaya difahami oleh masyarakat, maka tugas mereka telah selesai.

Tanggapan sedemikian seharusnya dielakkan kerana bahasa melambangkan bangsa. Sekiranya bukan kita yang berusaha mendaulatkan bahasa Melayu, siapakah lagi yang harus memikul tanggungjawab ini?


Ruangan ini dikelolakan oleh DBP Wilayah Timur