SEJARAH tulisan jawi di Nusantara berkait rapat dengan kedatangan Islam ke Nusantara. Berpandukan beberapa fakta, kebanyakan sejarawan terutamanya dari Barat berpendapat, kedatangan Islam ke Nusantara berlaku pada abad ke-13 Masihi. Islam dibawa oleh saudagar-saudagar Islam berbangsa Arab, Parsi dan India.

Dari segi bukti, terdapat lima bukti utama menunjukkan tulisan Arab telah digunakan di alam Melayu. Bukti-bukti tersebut ialah:

i) Batu nisan makam Syeikh Abdul Qadir Ibn Husin Syah Alam, di Langgar, Alor Setar, Kedah,  yang bertarikh 290 H (910 M) telah ditemui. Penemuan batu nisan ini menolak pendapat yang menyatakan Islam mula diterima oleh penduduk Kedah pada akhir abad ke-15 M.

Hal ini demikian kerana sekiranya batu nisan itu ditemui bertarikh 910 M sudah tentu penduduk di Langgar, Kedah lebih awal menganut Islam sebelum tarikh yang tertera pada batu nisan tersebut.

ii) Sebuah batu nisan telah ditemui di Pekan, Pahang, pada 14 Rabiulawal 419 H (1026  M). Batu nisan turut ditemui di Phanrang, Vietnam yang bertarikh 431 H (1039 M). Batu nisan makam puteri Sultan Abdul Majid Ibn Muhammad Shah yang bertarikh 440 H (1048 M) turut ditemui di tanah perkuburan Islam, Jalan Residensi Bandar Seri Begawan, Brunei.

iii) Bukti lain ialah penemuan batu nisan makam Fatimah bt Maimun bin Hibat Allah bertarikh 475 H (1082 M) di Leran Grisek, Jawa Timur.

Daripada kelima-lima penemuan itu telah menjadi suatu bukti yang kukuh bahawa tulisan Arab telah wujud di Asia Tenggara sejak abad ke-10 M lagi. Namun demikian, bukti-bukti tersebut ditulis dalam bahasa Arab dan belum ada yang ditulis dalam bahasa Melayu.

iv) Kira-kira 300 tahun lebih kemudian, daripada bukti pertama yang bertulis Arab, barulah ditemui bukti dalam bahasa Melayu yang menggunakan tulisan jawi.

Bukti tersebut ialah bukti batu bersurat yang ditemui di Kuala Berang, Terengganu yang bertarikh pada 4 Rejab 702 H bersamaan 22 hari bulan Februari 1303 M. Bukti ini ditulis di empat penjuru dengan bahasa Melayu huruf jawi dan mengandungi hukum syarak yang wajib dipatuhi oleh semua rakyat.

Penemuan ini menunjukkan tulisan jawi telah digunakan sebelum tahun 1303 M lagi dan sehingga hari ini, tulisan jawi masih digunakan. Bentuk tulisan jawi pada bukti ini ialah tulisan khat  yang mudah dibaca dan nada menyebut nama Tuhan dengan panggilan “Dewata Yang Mulia”.

Bukti ini merupakan satu kesan sejarah Islam yang terpenting dijumpai di Malaysia kerana telah membuktikan dengan jelas betapa ajaran Islam sebenarnya telah dilaksanakan dan diamalkan dengan sempurna dan kuat pada kurun ke-14 M.

iv) Dari segi manuskrip pula, tulisan jawi yang tertua bertarikh pada 998 H (1590 M) iaitu naskhah bagi kitab’Aqaid al-Nasafi karangan Syeikh Nuruddin ar-Raniri. Buku ‘Aqa’id al- Nasafi, diterjemahkan daripada bahasa Arab ke bahasa Melayu, yang merupakan manuskrip Melayu tertua dijumpai sehingga kini.

Menjelang abad Masihi ke-20, tulisan jawi telah digunakan dalam semua bidang kehidupan pada masa itu. Namun keagungan tulisan jawi beransur-ansur kurang penting tahun demi tahun apabila penekanan kepada penggunaan tulisan Rumi lebih diutamakan.

Akhirnya generasi sekarang banyak yang tidak menguasai tulisan jawi lagi. Semoga dengan usaha yang berterusan daripada pelbagai pihak dalam memartabatkan tulisan jawi akan memberi kesan positif bagi mengangkat tulisan jawi ke persada dunia seiring dengan bahasa rumi.