BANYAK orang bersetuju bahawa “tuan” hanya digunakan untuk orang lelaki manakala “puan” untuk orang perempuan. Bagaimanakah pula keadaannya dengan frasa “tuan puteri”? Adakah “tuan puteri” juga merujuk kepada golongan lelaki? Jawapannya sudah pasti tidak.

Memang benar bahawa “tuan” digunakan bagi golongan lelaki akan tetapi dalam keadaan-keadaan tertentu sahaja. Penggunaan kata “tuan” yang pertama  merujuk kepada orang lelaki yang dihormati, contohnya:

(i)    “Tuan dipersilakan untuk menyampaikan ucapan,” umum Pengerusi Majlis.
(ii)    “Silakan masuk, tuan,” kata penyambut tetamu itu dengan sopan.

Kata “tuan” juga digunakan untuk panggilan bagi orang lelaki yang berpangkat dan patut dihormati.

Contohnya:

(i)    Tuan Imam Masjid Semesta ialah Ustaz Ibrahim Samat.
(ii)    Tuan Pengetua disayangi oleh semua murid kerana sifat dedikasinya.

“Tuan” juga digunakan untuk merujuk orang lelaki berbangsa Eropah. Hal ini demikian kerana orang Melayu merupakan bangsa yang amat menghormati dan memandang tinggi bangsa-bangsa lain terutama bangsa Eropah. Contohnya:

(i)    Tuan Robert dan Tuan William sedang mengkaji tumbuhan di puncak Gunung Tahan.
(ii)    Tuan dan memnya sedang berjoging di kawasan taman itu.

Namun demikian, kata “tuan” sebenarnya bukan merujuk golongan lelaki sahaja. “Tuan” boleh juga digunakan untuk merujuk golongan perempuan.

Antara penggunaan “tuan” yang bukan hanya terhad untuk golongan lelaki sahaja adalah untuk merujuk  orang yang menjadi tempat menghambakan diri.

Orang yang menjadi tempat untuk menghambakan diri tidak kira lelaki atau perempuan boleh digunakan kata tuan. Contohnya:

(i)    Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi sedang bersiram di kolam itu.
(ii)    Hamba sahaya itu sangat takut kepada tuannya.

“Tuan” juga digunakan untuk menggambarkan orang yang memiliki sesuatu atau pemilik sesuatu. Contohnya:

(i)    Tuan rumah sewa itu telah mengarahkan Azam agar  mengosongkan rumahnya.
(ii)    Kita perlu meminta kebenaran daripada tuan tanah dahulu sebelum mengusahakannya.

“Tuan” juga digunakan sebagai kata ganti diri kedua yang merupakan kata ganti diri yang halus bagi orang lelaki atau perempuan yang dilawan bercakap. Hal ini demikian bermakna, kata ganti diri “tuan” merupakan satu aspek kesantunan berbahasa yang diamalkan dalam bahasa Melayu. Contohnya:

(i)    “Mengapakah tuan masih belum mengerti hasrat hati hamba?” tanya Andika kepada Ratna.
(ii)    “Hamba begitu cemburu melihat tuan beriringan dengan lelaki lain,” rintih Perwira kepada Kencana.

Dalam surat rasmi juga kita boleh menggunakan kata panggilan “tuan” untuk merujuk penerima surat tanpa perlu menyelidik dahulu sama ada penerima surat itu lelaki atau perempuan.

Kita tidak perlu menggunakan kata panggilan “puan” jika penerima surat itu merupakan seorang perempuan kerana “tuan” sudah merangkumi lelaki dan perempuan.

Di negeri Kelantan dan Terengganu terutamanya, “Tuan” merupakan satu gelaran yang berkaitan asal keturunan.

Orang berketurunan “Tuan” terdiri daripada mereka yang berdarah raja. Oleh sebab itu, sama ada lelaki atau perempuan, mereka boleh menggunakan gelaran “Tuan”  jikalau mereka berasal daripada suatu keturunan yang ada kaitan dengan kerabat diraja.

Contohnya:

(i)    Guru Bahasa Inggeris itu menjelaskan bahawa Allahyarham datuknya bernama Tuan Mat.
(ii)    Isteri Ramli bernama Tuan Norliza.

Banyak perkara tersembunyi tentang bahasa Melayu yang perlu dikaji. Penggunaan kata “tuan” misalnya, dianggap hanya sebagai kata ganti diri ketiga untuk merujuk kepada golongan lelaki sedangkan maknanya lebih meluas.

Oleh sebab itu, marilah sama-sama kita merungkai pelbagai ilmu tentang bahasa Melayu yang luas ini. Jikalau tidak kita, siapakah lagi yang akan mendaulatkan bahasa Melayu?

Akhir kata “Cintailah Bahasa Kita, Bahasa Jiwa Bangsa”.