KISAH Mahsuri dan tarikan faktor geografi menjadikan  Pulau Langkawi sangat strategik sebagai suatu pusat  pelancongan di negara kita. Pada cuti Tahun Baharu Cina baru-baru ini, saya berkesempatan bercuti di pulau yang menjadi kebanggaan kita semua itu bersama-sama keluarga.

Perkara yang menarik perhatian saya ialah beberapa papan tanda yang terdapat di pulau  berkenaan. Banyak papan tanda yang ditulis dengan perkataan  ‘lagenda’ untuk mengaitkan sesuatu tempat dengan kisah Mahsuri.

Sebenarnya, perkataan ‘lagenda’ tidak mempunyai sebarang makna dalam bahasa Melayu. Istilah sebenar ialah  ‘legenda’ iaitu perkataan yang dipinjam daripada bahasa Inggeris –legend yang bermaksud cerita dongeng yang bersangkutan dengan kisah-kisah bersejarah.

Walau bagaimanapun, tahniah kerana perkataan ‘legenda’ sudah dieja dengan betul pada beberapa papan tanda. Pihak-pihak yang berwajib  seharusnya membetulkan ejaan ‘lagenda’ kepada ejaan yang sebenar iaitu ‘legenda’ untuk mengelakkan kekeliruan kepada pelancong-pelancong khususnya pelancong asing.

Terdapat juga beberapa barangan yang berjenama ‘Lagenda’. Kita tidak pasti sama ada niat sebenar mereka untuk menamakan barangan tersebut dengan nama ‘Lagenda’ yang tidak ada maksud tertentu, atau sebenarnya mereka silap dalam mengeja.

Selain ‘legenda’, terdapat beberapa lagi perkataan yang sering dieja secara salah. Antara perkataan tersebut ialah ‘kerenah’. Banyak pihak yang cenderung mengejanya sebagai ‘karenah’ untuk menunjukkan perangai seseorang.

Sebenarnya perkataan ‘karenah’ merupakan perkataan yang berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud alamat, bukti atau tanda. Jikalau ingin  menggambarkan sifat atau perilaku seseorang, ejaan yang sebenar ialah ‘kerenah’ yang secara terperinci maksudnya ialah ragam, tingkah laku dan kemahuan.

Contoh-contoh ayat di bawah diharapkan dapat membantu kita membezakan penggunaan antara ‘karenah’ dengan ‘kerenah’. (i) Pihak polis bertindak atas karenah yang diperoleh. (ii) Saya sudah tidak tahan akan kerenahnya yang suka memburuk-burukkan saya.

Kita juga sering melihat penggunaan perkataan ‘persona’ untuk menggambarkan pemandangan yang menarik hati. Contohnya, saya terpersona melihat pemandangan di Pulau Redang pada waktu malam. Ayat ini sebenarnya salah dari segi penggunaannya dalam bahasa Melayu.

Banyak pengguna bahasa Melayu yang terkeliru antara penggunaan ‘persona’ dengan ‘pesona’. Jikalau ingin merujuk  sesuatu yang menarik hati, sudah pasti ejaan yang sepatutnya ialah ‘pesona’ bukannya ‘persona’.

‘Pesona’ bermaksud guna-guna, mantera dan sihir. Jadi, penggunaan guna-guna, mantera dan sihir  dikatakan dapat memikat hati seseorang. Maka untuk menggambarkan sesuatu yang memikat atau menarik hati serta sangat menarik perhatian, maka kita perlu menggunakan perkataan ‘mempesona’ atau ‘mempesonakan’.

Namun harus diingat, maksud ‘mempesonakan’ selain memikat, menarik hati, sangat menarik perhatian, menggoda dan mengagumkan, juga bermaksud menggunakan pesona iaitu gunaguna, mantera dan sihir.

Apakah pula maksud ‘persona’? ‘Persona’ bermaksud watak rekaan dalam cereka, drama, novel dan karya-karya sastera serta watak  atau sifat seseorang seperti yang ditampilkan kepada orang lain serta seperti yang ditanggapi oleh orang lain. Bagi menjelaskan lagi perbezaan antara ‘pesona’ dan ‘persona’, sila lihat contoh di bawah:

(i) Pemandangan di Pantai Cenang begitu mempesona. (ii) Lelaki itu telah berjumpa pawang untuk mempesonakan anak Pak Hussin. (iii) Perwatakan Halimah telah mempesonakan setiap lelaki yang mendampinginya. (iv) Aziz telah melakukan kajian terhadap persona utama dalam novel itu. (v) Artis itu mempunyai persona unik yang mampu menjadikannya terkenal.

Kita seharusnya cakna akan ejaan yang betul semasa menggunakan bahasa Melayu. Sesuatu ejaan yang lazim  digunakan tidak semestinya betul dan sesuatu yang betul tidak semestinya lazim digunakan.

Marilah sama-sama kita mendaulatkan bahasa Melayu.

* Ruangan ini dikelolakan oleh DBP  Wilayah Timur