KETIKA kecil, saya tidak berani walaupun hanya untuk melewati ruang tamu jika ada tetamu bapa yang bertandang ke rumah. Jelingan tajam daripada bapa sudah memberi kefahaman kepada saya bahawa dia tidak suka jika saya melintas di hadapan tetamu apatah lagi berada bersama-sama di situ. Ajaran itu telah saya gunakan untuk mendidik anak-anak saya pula supaya tidak melakukan perkara yang sama. Kini barulah saya sedar bahawa jelingan mata juga merupakan salah satu cara untuk menyampaikan maklumat atau berkomunikasi.

Komunikasi ialah penyampaian fikiran atau perasaan seseorang kepada orang lain dalam bentuk lambang atau simbol sebagai perantaraan.   Lambang atau simbol yang digunakan dalam komunikasi sama ada dalam bentuk bahasa (pertuturan dan tulisan), gerakan badan, bahasa isyarat, gambar, warna dan bunyi yang mampu menterjemahkan pemikiran penyampai maklumat kepada penerima.

Penemuan artifak-artifak lama menunjukkan masyarakat zaman prasejarah menggunakan lukisan untuk berkomunikasi. Begitu juga dalam pelayaran, penggunaan rumah api amat membantu pelayar kerana dapat dijadikan alat komunikasi untuk membantu mencari arah. Hal ini demikian menunjukkan terdapat pelbagai cara untuk menyampaikan maklumat antara manusia.

Mungkin tidak sukar untuk kita memahami penggunaan bahasa lisan dan tulisan dalam komunikasi kerana kedua-dua alat ini merupakan bahasa komunikasi utama yang digunakan di seluruh dunia. Tidak kira apa-apa sahaja bahasa di dunia sama ada bahasa Inggeris, Arab, Perancis, Melayu berserta tulisan dalam bahasa-bahasa ini merupakan alat komunikasi yang berkesan untuk menyampaikan maklumat daripada penyampai maklumat kepada penerima.

Komunikasi juga dapat dilakukan dengan menggunakan anggota badan tanpa menggunakan suara dan tulisan. Penggunaan mimik muka, mata, mulut, serta anggota-anggota badan lain dapat menyampaikan maklumat dan perasaan penyampai kepada penerima maklumat. Apabila kita menanyakan seseorang tentang sesuatu, orang itu cuma mengangkat  bahunya maka sudah dapat memberi kefahaman bahawa orang itu tidak tahu jawaban bagi soalan yang dikemukakan tadi. Apabila seseorang itu mencebik bibirnya, mesej yang ingin disampaikan ialah dia tidak suka akan sesuatu perkara atau keadaan.

Sekolah pendidikan khas terutama untuk murid-murid pekak serta bisu memerlukan guru-guru yang mahir dalam bahasa isyarat untuk mengajar mereka. Bahasa isyarat yang digunakan ini standard dan dapat difahami di seluruh dunia. Hal ini demikian bermakna, tanpa lisan dan tulisan juga komunikasi dapat dijalankan. Dalam bahasa isyarat, gerakan dan simbol menggunakan tangan dibentuk untuk menyampaikan sesuatu maklumat kepada penerima maklumat.

Seseorang yang suka melancong ke tempat orang tidak perlu bimbang akan  kesukaran ketika menggunakan kenderaan di jalan raya di seluruh dunia. Lampu hijau membawa maksud jalan, kuning bermaksud bersedia untuk berhenti dan lampu merah membawa maksud berhenti. Masyarakat di seluruh dunia dapat menerima bahasa yang disampaikan melalui warna ini kerana penggunaan warna ini selaras di seluruh dunia. Sebab itulah dikatakan tadi bahawa komunikasi juga dapat dilakukan dengan menggunakan warna.

Penggunaan gambar dan simbol juga merupakan salah satu cara untuk berkomunikasi. Sebagai contohnya penggunaan gambar lelaki dan perempuan di pintu tandas dapat memberi maklumat kepada pengguna tentang kedudukan tandas lelaki dan tandas perempuan. Begitu juga penggunaan simbol di jalan raya seperti selekoh tajam, kawasan haiwan liar melintas, jalan licin dan lain-lain lagi dapat menyampaikan maklumat kepada pengguna jalan raya supaya keselamatan mereka terjaga.

Sejak zaman-berzaman lagi manusia berhubung antara satu dengan yang lain. Sesuatu maklumat yang hendak disampaikan sama ada dengan apa-apa cara pun mestilah jelas dan dapat difahami oleh penerima maklumat supaya tidak timbul salah faham.

Oleh itu, marilah sama-sama kita memastikan komunikasi antara kita dapat dijalankan dengan baik.

* Ruangan ini dikelolakan oleh DBP Wilayah Timur