PERKATAAN dalam sesuatu bahasa boleh terdiri daripada kata dasar iaitu satu bentuk kata terkecil yang tidak menerima sebarang imbuhan ataupun bentuk terbitan, iaitu bentuk yang dihasilkan daripada proses memperluas kata dasar tadi melalui berbagai-bagai cara.

Dalam proses menghasilkan kata terbitan, proses pengimbuhan merupakan salah satu caranya. Imbuhan ialah unit-unit bahasa tertentu yang ditambahkan pada bentuk-bentuk lain yang menyebabkan perubahan makna dan nahunya.

Contohnya kata dasar main, jika diimbuhkan dengan imbuhan ber-, -an, memper-kan, ter-, per-an, pe-, dan sebagainya akan menyebabkan perbezaan maknanya. Kata terbitan bermain sudah pasti berbeza maknanya dengan mainan, mempermainkan, termain, permainan dan pemain walaupun berasal daripada kata dasar yang sama iaitu main. Hal ini menunjukkan bahawa imbuhan mempunyai fungsi yang sangat besar dalam mengubah makna sesuatu kata.

Imbuhan juga mampu mengubah golongan kata sesuatu perkataan, misalnya perkataan main yang terdiri daripada kata kerja berubah menjadi kata nama mainan, permainan dan pemain setelah diimbuhkan dengan imbuhan akhiran –an, apitan per-an dan awalan pe-.

Terdapat enam jenis imbuhan yang terdapat dalam bahasa iaitu imbuhan awalan, akhiran, sisipan, apitan, morfem kosong dan fleksi. Bagaimanapun, imbuhan morfem kosong dan bentuk fleksi tidak wujud dalam bahasa Melayu.

Imbuhan yang paling tidak popular penggunaannya ialah sisipan. Dalam penggunaan sekarang, bentuk sisipan tidak produktif lagi dan dapatlah dikatakan perkataan bersisipan sudah membeku. Sisipan ialah imbuhan yang diselitkan di antara unsur kata dasar. Ada sesetengah pihak yang mengistilahkan sisipan sebagai imbuhan di antara perkataan. Terdapat empat sisipan dalam bahasa Melayu iaitu –el-, -er-, -em- dan –in-.

Sisipan –el-, contohnya telapak (sisipan terhadap kata dasar tapak), kelangkang (kangkang), kelembung (kembung), kelupas (kupas), telunjuk (tunjuk), kelemumur (kemumur), gelanggang (ganggang), selerak (serak), gelembung (gembung), geleman (geman), geletar (getar), gelabah (gabah), jelajah (jajah), pelatuk (patuk), selenggara (senggara), gelegak (gegak), jelujur (jujur), telangkup (tangkup) dan lain-lain.

Contoh sisipan –er- pula ialah keruping (kuping), gerigi (gigi), seruling (suling), kerelip (kelip), gerodak (godak), serabut (sabut), keretot (ketot), ceracak (cacak), kerontang (kontang), gericau (gicau) dan lain-lain.

Sisipan –em- pula ialah kemuning (kuning), kemuncup (kuncup), gemerlap (gerlap), gemuruh (guruh), gemilang (gilang), semerbak (serbak), semantan (santan), kemetot (ketot), temali (tali), gemerang (gerang), gementar (gentar).

Hanya terdapat satu sahaja sisipan –in- iaitu sinambung yang berasal daripada kata dasar sambung. Kesemua contoh kata terbitan yang dihasilkan melalui sisipan di atas terdiri daripada kata nama dan kata adjektif.

Dalam bahasa Melayu tidak terdapat sisipan yang membentuk kata kerja tetapi bentuk perkataan yang terdiri daripada kata nama dan kata adjektif yang mengandungi sisipan dapat dijadikan kata kerja melalui proses pengimbuhan.

Contohnya perkataan telangkup (berasal daripada kata dasar tangkup) merupakan golongan kata adjektif dapat dijadikan kata kerja melalui proses pengimbuhan apitan meN-kan menjadi menelangkupkan.

Kadang-kadang kita telah menggunakan sesuatu kata terbitan yang berasal daripada kata dasar yang mengalami proses sisipan tetapi kita tidak tahu bahawa perkataan itu telah mengalami sisipan.

Walaupun pengimbuhan sisipan tidak popular dan dianggap membeku kerana tidak berkembang, namun kita perlu melakukan kajian terhadap proses ini agar tidak terus diabaikan.
Dirgahayu Bahasaku!