TENTUNYA kita biasa melihat papan tanda yang tertulis, “Dilarang Masuk Tanpa Urusan” sewaktu berkunjung ke mana-mana premis, sama ada kerajaan atau swasta.

Jika sekali pandang, kita mungkin tidak dapat mengesan apa-apa kejanggalan tetapi jika dilihat dari sudut kesantunan berbahasa, tulisan atau ungkapan tersebut seolah-olah memperkecil orang yang membacanya.

Mengapa saya mengatakan sedemikian? Seandainya kita teliti secara mendalam papan tanda yang tertulis, “Dilarang Masuk Tanpa Urusan”, adakah seseorang yang berkunjung ke premis tersebut tiada urusan? Biasanya papan tanda tersebut ditujukan terutamanya kepada jurujual yang datang tanpa janji temu dengan pihak pengurusan atau pentadbiran premis berkenaan.

Jika kita fikir secara logik, jurujual juga mempunyai urusan, iaitu ingin menjual barangan mereka. Sepatutnya disediakan satu kaunter pertanyaan dan jurujual itu bolehlah bertanya sama ada diizinkan untuk memasuki premis tersebut atau disediakan papan tanda yang tertulis “Jurujual Tidak Dibenarkan Masuk”.

Bagaimanakah pula jika pihak yang berkunjung itu bukan jurujual? Sebagai contoh, seorang tua yang terpaksa menaiki anak tangga ke tingkat satu atau dua sebelum masuk ke pejabat premis berkenaan.

Dalam keletihan setelah menaiki anak tangga, orang tua itu hanya sempat membaca dua patah perkataan setakat “Dilarang Masuk” sahaja, mungkinkah berasa marah dan kecewa.

Jadi, dari sudut kesantunan berbahasa, adalah wajar papan tanda seumpama itu ditulis, “Silakan Masuk Jika Ada Urusan”. Orang tua itu, walaupun keletihan dan sempat membaca hanya dua patah perkataan, iaitu “Silakan Masuk”, akan terus masuk dan
beliau tentunya datang ke pejabat itu kerana mempunyai urusan.

Mungkin juga kita pernah mendengar ungkapan, “Tujuan saya berdiri di sini adalah untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk …” atau ungkapan, “ Seperti yang kita semua ketahui…”

Sekali lagi saya nyatakan di sini, kita mungkin tidak berasa apa-apa kesilapan dengan ungkapan tersebut. Jika dilihat dari sudut kesantunan berbahasa, ungkapan yang digunakan itu juga seolah-olah menggambarkan penceramah menganggap bahawa audiensnya tidak tahu sebab dia naik ke pentas. Adakah betul? Bukankah pengacara majlis telah memaklumkannya berserta tajuk ceramah yang akan disampaikan. Sepatutnya ungkapan tersebut tidak perlu dinyatakan lagi oleh penceramah.

Begitu juga ungkapan, “Seperti yang kita semua ketahui…”. Jika kita semua ketahui maka tidak perlu bagi penceramah atau orang yang sedang berucap mengungkapkan ungkapan tersebut. Tidakkah perbuatan itu membuang masa sahaja kerana semua sudah mengetahui. Sepatutnya penceramah atau orang yang sedang berucap itu memberitahu, “Saya ingin menarik perhatian tuan-tuan dan puan-puan tentang hal…”.

Satu perkara lagi yang biasa berlaku dalam pengucapan awam, iaitu pengucap memberitahu pada awal ucapan atau ceramahnya bahawa beliau tidak sihat. Apakah tujuan dan niat sebenar orang yang berucap atau penceramah memberitahu hal tersebut?

Adakah beliau ingin menutup kelemahan dalam penyampaian ucapan atau ceramahnya? Jika tidak sihat, sepatutnya hal tersebut diberitahu kepada doktor. Jadi, ungkapan atau pemberitahuan itu sebenarnya telah merosakkan ucapan atau ceramah tersebut.

Di samping itu, kita juga mungkin pernah mendengar pada akhir ucapan atau ceramah ungkapan, “kerana masa tidak mengizinkan saya …” Masa bukanlah manusia yang dapat memberikan keizinan atau tidak.

Ungkapan sedemikian sebenarnya memberi gambaran kepada kita bahawa orang yang sedang berucap atau penceramah itu tidak pandai atau bijak untuk mengurus masa ucapan atau ceramahnya.

Alah bisa tegal biasa.

* Ruangan ini dikelolakan oleh DBP Wilayah Timur