SUATU hari, saya berjumpa dengan seorang rakan lama dan keluarganya di sebuah pusat beli-belah. Banyak cerita yang kami kongsikan, dari kisah zaman sekolah sehinggalah perkembangan terkini masing-masing.

Apabila anak lelakinya yang berusia empat tahun itu bersalam dengan saya, saya dapat mengagak, rakan saya ini mempunyai pembantu rumah warga Indonesia di rumahnya kerana cara anak lelakinya meletakkan tangan saya di dahinya ketika bersalam menggambarkan budaya orang Indonesia yang berbeza dengan budaya orang Melayu.

Senario di atas bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana keperluan hidup memaksa kita meninggalkan anak kepada pembantu rumah warga Indonesia setiap hari.

Tempoh 12 jam sehari dan 60 jam seminggu itu terlalu panjang untuk seorang kanak-kanak terpengaruh dengan budaya yang diamalkan oleh pembantu rumah warga Indonesia.

Ini juga menyebabkan cara berbahasa kanak-kanak turut dipengaruhi bahasa Indonesia, seperti capek, kakek, banget, nyonya, tante, gue, lo, bilang dan copet. Anak kita sudah mula selesa dan serasi untuk menggunakan istilah ini sedangkan dalam bahasa Melayu sudah terdapat istilah untuk menggambarkan maksud sama.

Kita memerlukan pembantu rumah warga Indonesia kerana terdesak, tidak kiralah gaji bulanannya mencecah RM900 di samping bayaran pendahuluannya sebanyak RM8,000.

Bukan isu itu yang menjadi masalahnya, tetapi kita bimbang lama-kelamaan bahasa Melayu akan ditelan oleh bahasa Indonesia dalam penggunaan seharian.

Tidak mustahil satu hari nanti, kita tidak dapat membezakan antara orang Malaysia dengan orang Indonesia kerana rakyat negara serumpun ini berbahasa dengan cara sama.

Pengaruh bahasa Indonesia masih berterusan sehinggalah kanak-kanak itu memasuki alam persekolahan sama ada di tadika atau dalam sistem pendidikan formal kerana pada masa itu pengajaran dan pembelajaran di sekolah dijalankan dalam bahasa Melayu standard.

Walau bagaimanapun, kita masih belum dapat menarik nafas lega kerana perhubungan dengan rakan sebaya yang sama-sama mempunyai pembantu rumah warga Indonesia masih mampu membugarkan pengaruh bahasa Indonesia.

Bagi kanak-kanak yang tidak membesar dengan pembantu rumah warga Indonesia, pengaruh pertuturan itu masih berlaku kerana dipengaruhi drama dari Indonesia. Stesen televisyen di negara kita terlalu galak untuk menayangkan drama dari Indonesia.

Jalan cerita yang menarik ditambah dengan ketampanan dan keayuan pelakonnya menjadikan drama dari Indonesia ini mendapat perhatian masyarakat kita.

Waktu siarannya pada waktu petang dan hampir dengan waktu senja seolah-olah menjadi waktu yang sesuai untuk ahli keluarga berkumpul di hadapan kaca televisyen sambil minum petang.

Istilah seperti enggak, pacar, cowok, cewek, gampang, ganteng, mantan, jaguh dan bisa telah mempengaruhi penggunaan bahasa golongan remaja.

Begitu juga dengan lagu dendangan artis Indonesia yang menjadi siulan golongan remaja. Cara sebutan dalam bahasa Indonesia ternyata lebih romantik didengar khususnya dalam lagu-lagu yang bertemakan percintaan walaupun dalam liriknya terdapat perkataan ‘gila’.

Sebenarnya lagu-lagu dendangan penyanyi tempatan juga ada kelebihan, namun sikap mengagung-agungkan sesuatu perkara dari luar menjadi punca sambutan hangat terhadap lagu dari Indonesia.

Kita perlu mengakui industri hiburan Indonesia lebih maju daripada kita kerana jumlah penduduk mereka yang ramai menyebabkan industri hiburan mereka berkembang dengan baik. Perkembangan positif ini menyebabkan wujud persaingan sengit antara syarikat dan berusaha untuk menghasilkan filem atau lagu lebih berkualiti.

Kita berharap agar industri hiburan di negara kita terus mengorak langkah untuk menyaingi industri hiburan negara jiran itu. Hiburan mencerminkan jati diri dan dapat mengekalkan identiti bangsa.

Dalam apa-apa sahaja bentuk perjalanan kita menuju destinasi, sudah pasti kita menghadapi pelbagai cabaran yang tidak dapat dielakkan. Seharusnya kita bersedia dengan pelbagai strategi untuk mengurangkan kesukaran akibat cabaran tersebut, begitu juga dengan cabaran pengaruh bahasa dari negara jiran itu.

Kita tidak dapat mengelakkan pengaruh itu, namun kita seharusnya bersedia untuk memastikan pengaruh itu berada pada tahap minimum agar kelestarian bahasa Melayu terus terpelihara.

Dirgahayu Bahasaku!