APABILA dijelaskan maksud bahasa rojak, seseorang itu dapat memahaminya dengan mudah kerana pernah melalui pengalaman melihat dan mendengar bahasa rojak dituturkan malah melalui tulisan sekali pun. Rojak dalam Kamus Dewan bermaksud sejenis makanan daripada buah-buahan mentah dan sayur-sayuran campur yang berkualiti. Jadi, bahasa rojak sudah tentu membawa maksud suatu jenis percakapan di Malaysia yang mencampurkan pelbagai bahasa dalam sesuatu perbualan.

Antara contoh bahasa rojak dalam pertuturan ialah:
(i)      At least, I harap you  datang, coz I nak jumpa you. (bahasa Melayu + bahasa Inggeris)
(ii)     Buat kerja jangan cincai-cincai maa. (bahasa Melayu + bahasa Cina)
(iii)    Hei macha, mari sini. (bahasa Melayu + bahasa Tamil)
(iv)    I rasa you patut tapau saja nasi tu. (bahasa Melayu + bahasa Cina + bahasa Inggeris)

Bahasa rojak juga digunakan dalam bidang hiburan dan penyiaran. Contohnya:
(i)    Karnival Sure Heboh. (bahasa Melayu + bahasa Inggeris)
(ii)   Senario The Movie. (bahasa Melayu + bahasa Inggeris)
(iii)  Playboy Itu Suami Aku. (bahasa Melayu + bahasa Inggeris)
(iv)  KL Gengster. (bahasa Melayu + bahasa Inggeris)

Kalau diimbau sejarah negara yang begitu panjang, maka tidak hairanlah jika bahasa rojak begitu berleluasa di negara kita. Melaka pernah menjadi pelabuhan perdagangan yang pesat dengan kehadiran pedagang lebih dari 80 negara. Selepas itu, negara kita pernah dijajah oleh kuasa asing seperti Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun. Dasar kerajaan Inggeris yang membawa masuk imigran dari China dan India juga menyuburkan bahasa rojak di negara kita.

Dalam masyarakat majmuk Malaysia masih terdapat warganegara yang tidak fasih berbahasa Melayu. Mereka terpaksa menggunakan istilah-istilah yang dapat difahami oleh semua jika tidak dapat menerangkan sesuatu dalam bahasa Melayu. Senario ini memang tidak dapat dielakkan malah sudah dianggap sebagai perkara biasa.

Sesiapa sahaja yang dapat bertutur dalam bahasa Inggeris dianggap mempunyai status tinggi dalam masyarakat. Bagi sesetengah orang, demi mengangkat status diri, mereka menggunakan bahasa rojak kalau pun tidak menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya.

Bahasa rojak kadang-kadang digunakan dalam pertuturan kerana keperluan. Bidang-bidang baharu seperti teknologi, komunikasi serta sains masih memerlukan istilah bahasa lain kerana istilahnya dalam bahasa Melayu masih belum dikuasai semua orang. Bukan bermakna bahasa Melayu tidak mampu untuk memenuhi keperluan semasa bahasa, namun masyarakat nampaknya lebih selesa menggunakan istilah-istilah tertentu dalam bahasa Inggeris terutamanya. Kita patut memuji usaha Dewan Bahasa dan Pustaka yang sentiasa menerbitkan panduan istilah bagi memenuhi segala keperluan pelbagai disiplin ilmu.

Pengaruh media massa dan hiburan juga menyuburkan bahasa rojak di negara kita. Laman-laman sosial yang berkembang tanpa kawalan seperti facebook, twitter dan sistem pesanan ringkas membolehkan bahasa rojak berlegar-legar dalam kalangan masyarakat terutama remaja. Kecenderungan artis-artis berbahasa rojak mampu mempengaruhi remaja. Tidak keterlaluan jika dikatakan bukan hanya artis tetapi orang kenamaan turut menggunakan bahasa rojak ketika ditemu ramah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika merasmikan Bulan Bahasa Kebangsaan 2012 melahirkan kebimbangan kerana bahasa rojak akan beransur-ansur menghakis kekuatan bahasa Melayu. Kebimbangan beliau ini ada asasnya kerana bahasa rojak mampu mempengaruhi pertuturan yang akhirnya mengurangkan kualiti penulisan pelajar. Lama-kelamaan, jati diri bahasa Melayu akan terhakis seterusnya akan turut menggugat maruah bangsa Melayu dan Malaysia kerana bahasa Melayu merupakan imej bagi bangsa Melayu dan Malaysia. Akhir kata “Cintailah Bahasa Kita, Bahasa Jiwa Bangsa”.

Ruangan ini dikelolakan oleh DBP Wilayah Timur