TERDAPAT kekeliruan berkaitan makna sebenar bahasa slanga kerana ada pihak yang menganggap bahasa slanga merupakan dialek atau loghat sesuatu daerah atau negeri.

Ada juga pihak yang mengaitkan bahasa slanga dengan cara percakapan yang dipengaruhi oleh bahasa asing (sebutan dalam bahasa Melayu tetapi cara sebutan bahasa asing). Kedua-dua konsep di atas sebenarnya menggambarkan definisi slang bukannya slanga.

Secara ringkasnya, bahasa slanga ialah bahasa yang digunakan oleh suatu kelompok manusia dan hanya kelompok tersebut yang memahaminya serta dianggap bahasa yang tidak rasmi.

Antara bahasa slanga yang popular dalam kalangan remaja dan sudah difahami oleh masyarakat ialah mat rempit, cun, jambu, balak, pak we, mak we, skema, dan lain-lain lagi.

Selain itu terdapat beberapa contoh bahasa slanga lain yang kurang popular dan hanya difahami oleh kumpulan remaja tertentu seperti hantu (spy guru), mengopi (meniru dalam peperiksaan), loga (rambut keriting), relay (merokok), spot light (mata luas) dan spike (rambut tercacak).

Remaja merupakan golongan yang berada pada zaman peralihan antara kanak-kanak dengan dewasa. Pertumbuhan remaja pada peringkat umur 16 hingga 18 tahun menyebabkan mereka amat memerlukan teman-teman sama ada yang sama jenis atau berlainan jenis.

Hubungan yang intim antara remaja telah menyebabkan suburnya bahasa slanga dalam kalangan mereka.

Bahasa slanga dicipta adalah untuk menunjukkan identiti kumpulan berkenaan. Mereka mencipta bahasa slanga mereka sendiri untuk tujuan berhubung dengan ahli kumpulan mereka.

Kebanggaan terhadap kumpulan mereka juga terserlah apabila mereka memiliki sesuatu bahasa yang tidak dimiliki oleh kumpulan lain.

Tekanan emosi yang dihadapi oleh remaja sama ada dari aspek pelajaran, percintaan dan kewangan menyebabkan bahasa slanga tercipta.

Bagi meleraikan masalah dan tekanan emosi tersebut maka beberapa bahasa slanga telah dicipta, antaranya ialah kantoi (gagal), sengkek (miskin), frust (kecewa) dan lain-lain.

Remaja selalu ingin cepat kerana terlalu banyak kerja yang ingin dilakukan. Akhirnya terciptalah beberapa istilah yang merupakan kependekan terhadap sesuatu perkataan, contohnya, Add Math (Additional Mathematics), Mod Math (Modern Mathematics), prep (preparation class), lab (laboratory), CC (cyber café) dan lain-lain.

Beberapa istilah dicipta oleh remaja sebagai tujuan berjenaka dengan rakan mereka bagi meleraikan tekanan yang dihadapi. Antara istilah yang tercipta ialah gob (telinga besar), kawad (jalan macam askar), kerengga (punggung tonggek), spot light (mata luas) dan lain-lain.

Sesuatu yang lucah amat tidak manis jika dinyatakan secara langsung. Antara bahasa slanga yang menunjukkan perkara-perkara lucah ialah ciles (lesbian), sipon (pondan), awek comel (bapuk), seret, sakok dan lain-lain. Namun, perkara-perkara lucah itu diberi istilah lain sebagai lesen untuk mereka menggunakannya tanpa difahami orang lain.

Bahasa slanga digunakan remaja bagi menyembunyikan kegiatan mereka seperti bunga (janji temu dengan seseorang yg berlainan jantina),  relay (sebatang rokok dikongsi oleh beberapa orang), mengopi (meniru dalam peperiksaan), bawa toyol (membawa nota dalam peperiksaan) dan lain-lain.

Industri hiburan yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan telah menyuburkan bahasa slanga dalam kalangan remaja di samping terdapat pelbagai medium untuk menyampaikan maklumat dan menjadi kegilaan remaja seperti internet, sistem pesanan ringkas (sms), blog, Facebook dan Twitter.

Sesetengah pihak berpendapat selagi ada remaja selagi itulah bahasa slanga akan terus berkembang. Namun, penyebaran bahasa slanga ini harus dikawal supaya keindahan bahasa Melayu terus terpelihara.
Marilah sama-sama kita memartabatkan bahasa Melayu.

Akhir kata “Cintailah Bahasa Kita, Bahasa Jiwa Bangsa”.