KECELARUAN penggunaan perkataan ramai dan banyak masih berterusan. Hal ini demikian timbul oleh sebab terlalu banyak pendapat dan kesimpulan yang dihasilkan pengguna-pengguna bahasa Melayu ataupun berdasarkan kelaziman penggunaan.

Perkataan ramai dan banyak mengikut ilmu morfologi terhimpun dalam golongan kata adjektif. Mengapakah saya berpendapat sedemikian? Sebenarnya untuk mengesahkan sama ada perkataan tersebut itu, tergolong dalam kata adjektif adalah dengan cara memadankan sesuatu perkataan itu dengan kata penguat, jika serasi, pastilah perkataan tersebut ialah kata adjektif, contohnya:
• cantik + sangat - cantik sangat > serasi
• besar + sekali - besar sekali > serasi
• merah + sungguh - merah sungguh >    serasi
• banyak + amat - banyak amat > serasi
• terlalu + ramai - terlalu ramai > serasi

Perkataan seperti cantik, besar, merah, banyak dan ramai adalah padan digunakan bersama dengan kata penguat sangat, sekali, sungguh, amat dan terlalu. Hal ini demikian jelas menunjukkan perkataan yang serasi jika digunakan dengan kata penguat terdiri daripada golongan kata adjektif. Lihat pula padanan di bawah ini;
• kerja + sangat - kerja sangat > tidak serasi
• makan + sekali - makan sekali > tidak serasi
• rumah + sungguh - rumah sungguh > tidak serasi
• jalan + amat - jalan amat > tidak serasi

Bagi perkataan seperti kerja, makan, rumah dan jalan, penggunaannya bersama dengan kata penguat adalah jelas tidak serasi dan hal ini menunjukkan perkataan tersebut bukannya tergolong dalam kata adjektif. Perkataan kerja dan makan ialah kata kerja dan perkataan rumah dan jalan pula merupakan golongan kata nama.

Berbalik semula kepada perkara yang mahu diperkatakan, iaitu sejauh manakah tepatnya penggunaan perkataan ramai dan banyak oleh pengguna bahasa Melayu sama ada dalam situasi ilmu bahasa mahupun penggunaan dalam komunikasi seharian.

Dua patah perkataan yang terhimpun dalam golongan kata adjektif ini mempunyai maksud dan penggunaan yang sama dan hampir sama menyebabkan wujud sedikit kekeliruan, namun kekeliruan itu sebenarnya dapat diperbetul dengan mudah jika kita lebih prihatin dan bertanggungjawab semasa menggunakannya.

Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan banyak merujuk maksud bukan sedikit, tidak sedikit, bilangan atau jumlah. Manakala perkataan ramai pula merujuk maksud riuh rendah, hiruk-pikuk, sangat hebat, dahsyat, sangat gembira, aktif, giat.

Kamus tersebut memberikan maksud perkataan ‘ramai’ lebih kepada suasana atau keadaan yang meriah dan serba giat. Namun di samping maksud suasana, kamus tersebut juga menyelitkan maksud lain bagi perkataan ramai ialah banyak penghuni, banyak orang, sebanyak dan lain-lain.

Berdasarkan maklumat kamus yang menjadi rujukan utama pengguna bahasa Melayu, perkataan ramai dan banyak boleh disimpulkan sedemikian, iaitu perkataan ramai digunakan untuk menggambarkan suasana yang meriah dan giat.

Ramai juga boleh digunakan untuk menunjukkan bilangan (banyak) khususnya kepada manusia sahaja. Contoh penggunaan:
1. Orang yang menonton persembahan itu sungguh ramai.
2. Ramai pelajar yang turut serta dalam aktiviti perbengkelan itu.
3. Majlis keramaian itu diadakan tanpa mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan.
4. Kehadiran penyokong bola sepak Kelantan tidaklah seramai mana.

Ayat 1 dan 3 di atas menunjukkan contoh ayat yang menggunakan perkataan ramai yang merujuk maksud suasana, manakala ayat 2 dan 4 pula ialah contoh ayat yang menggunakan perkataan ramai sebagai merujuk maksud banyak iaitu khususnya untuk bilangan kepada manusia.

Perkataan ramai yang membawa maksud banyak tidak boleh digunakan untuk benda, binatang dan lain-lain. Contoh kesalahan penggunaan perkataan ramai:
• Ramai kereta di jalan raya menyebabkan berlakunya masalah kesesakan lalu lintas.
• Amin menternak ramai kambing.

Berlainan pula dengan penggunaan kata banyak yang hanya merujuk maksud bilangan sesuatu sama ada bilangan benda, binatang mahupun manusia. Contoh penggunaan:
1. Banyak ternakan yang mati akibat bencana alam itu.
2. Kerana terlalu banyak kenderaan di jalan raya menyebabkan pergerakan trafik  terganggu.
3. Banyak guru yang menghadiri kursus pada kali ini.

Akhir kata, marilah kita tamatkan polemik yang remeh ini. Perkataan ramai dan banyak merupakan jenis perkataan istimewa yang mempunyai maksud yang sama dan hampir sama, yang menjadikan bahasa Melayu menjadi indah dan segar! Dirgahayu Bahasaku!

*Ruangan ini dikelolakan oleh DBP Wilayah Timur