SUDAH sekian lama imbuhan asli dalam bahasa Melayu mampu menampung keperluan kebahasaan bahasa Melayu. Namun, perkembangan bidang ilmu yang begitu pesat menyebabkan kita terpaksa meminjam imbuhan asing.

Hakikatnya imbuhan asing diperlukan untuk memenuhi keperluan peristilahan bagi bidang ilmu yang baharu berkembang di negara kita.

Perkembangan bidang ilmu dan peristilahan yang kita ambil istilahnya daripada bahasa Sanskrit, Arab-Parsi dan Yunani-Latin-Inggeris memerlukan kita meminjam imbuhan daripada bahasa berkenaan juga.

Antara imbuhan daripada bahasa asing yang kita pinjam ialah daripada bahasa Sanskrit iaitu maha-, tata-, pra-,-wan, -man, -wati dan lain-lain, daripada bahasa Arab-Parsi (bi-, -wi, -iah, -ah, -in dan lain-lain) dan daripada bahasa Yunani-Latin-Inggeris (pro-, anti-, poli-, -isme, -is, -si dan lain-lain).

Kali ini saya mahu memfokuskan perbincangan dari aspek imbuhan awalan yang kita pinjam daripada bahasa Yunani-Latin-Inggeris. Imbuhan asing yang paling banyak dibawa ke dalam bahasa Melayu berasal daripada bahasa Yunani-Latin-Inggeris.

Namun, imbuhan-imbuhan tersebut tidak semuanya berfungsi sebagai imbuhan dalam bahasa Melayu, kecuali beberapa bentuk imbuhan awalan seperti pro- yang digunakan untuk menunjukkan tanda bersetuju, memihak atau menyebelahi sesuatu pihak; anti- (menunjukkan tanda melawan, membantah, menentang, atau tidak bersetuju dengan sesuatu pihak); poli- (memberi pengertian banyak); auto- (memberi pengertian secara bersendirian); sub- (memberi pengertian sebahagian daripada keseluruhan); dan supra- (memberi pengertian melebihi, mengatasi, atau merentasi).

Apabila disebut imbuhan, maka sudah pasti tidak akan dapat berdiri dengan sendiri kerana imbuhan itu sendiri merupakan unit-unit bahasa tertentu yang ditambahkan pada bentuk-bentuk lain, menyebabkan perubahan makna nahunya. Hal ini bermakna, imbuhan perlu dieja secara serangkai dengan kata yang mengikutinya.

Contohnya, prokerajaan, antipenjajah, poliklinik, automobil dan suprasistem. Tidak sukar untuk kita memahami konsep ini jika kita membuat perbandingan dengan imbuhan asli dalam bahasa Melayu seperti mem- dan ber- yang dieja serangkai dengan kata yang mengikutinya menjadi membaca dan bermain.

Tidak ada orang yang mengeja perkataan itu sebagai mem-baca dan ber-main ataupun mem baca dan ber main.

Contoh-contoh perkataan yang menerima imbuhan awalan daripada bahasa Yunani-Latin-Inggeris ialah probarat, propembangkang, propekerja, prososialis, proaktif, antipembangunan, antisosial, antibiotik, antidadah, politeknik, polisemi, policakera, poliarca, polifasa, autocarta, autograf, automatik, autonomi, subbidang, subkategori, subtajuk, subsistem, supranasional, suprasegmen, suprakelas, supragolongan dan lain-lain.

Namun, cara mengeja bagi perkataan-perkataan yang menggunakan imbuhan awalan Yunani-Latin-Inggeris berbeza jika perkataan tersebut terdiri daripada nama khas yang huruf pertamanya menggunakan huruf besar. Contohnya, pro-Jepun, pro-Rusia, anti-Hitler. Hal ini kerana penggunaan tanda sempang diperlukan untuk memisahkan imbuhan dengan nama khas yang permulaannya menggunakan huruf besar.

Tanda sempang juga digunakan untuk memisahkan imbuhan dengan angka, contohnya pro-60, pro-55, anti-60-an, anti-777. Cara inilah yang digunakan untuk mengeja perkataan yang menggunakan imbuhan awalan  Yunani-Latin- Inggeris walaupun jarang-jarang digunakan.

Pengguna bahasa Melayu sering melakukan kesilapan pengejaan semasa menggunakan imbuhan awalan Yunani-Latin- Inggeris kerana tidak sedar imbuhan itu merupakan suatu imbuhan. Antara kesilapan pengejaan yang sering dilakukan ialah pro-demokrasi, pro demokrasi, pro Jepun, anti-pengganas, anti pengganas, anti Rusia, poli-teknik, poli teknik, auto-mobil, auto mobil, sub tema, sub-tema, supra nasional,  supra-nasional dan lain-lain.

Kesilapan dalam pengejaan tidak seharusnya dianggap remeh oleh pengguna bahasa Melayu, justeru semua pihak seharusnya mengambil perhatian tentang hal ini. Jika kita tidak mengambil serius tentang sesuatu kesilapan, nescaya kesilapan itu akan terus berleluasa.

Sebenarnya, sesuatu yang biasa itu tidak semestinya betul dan kita seharusnya berusaha membiasakan penggunaan yang betul.
Dirgahayu Bahasaku!

* Ruangan ini dikelolakan oleh DBP Wilayah Timur