PANTUN-pantun Melayu sering menjadi pemanis kata dalam sesuatu majlis dan upacara-upacara rasmi. Tanpa penggunaan pantun dalam majlis dan upacara tertentu, barangkali keindahan dan kesempurnaan majlis akan menjadi hambar.         

Pantun merupakan satu puisi Melayu sejati. Pantun terpendek terdiri daripada dua baris yang mempunyai ikatan berirama dan mempunyai sebutan yang sama di hujungnya.

Baris-baris ini pula boleh dikumpulkan menjadi empat, enam ataupun lapan baris. Jarang terdapat pantun yang melebihi lapan baris dan pada kebiasaannya pantun terdiri daripada empat barisan.

Pantun terbahagi kepada dua bahagian yang sama banyak rangkapnya, iaitu bahagian pembayang dan diikuti pula dengan maksud pantun.

Bahagian pembayang bagi pantun empat kerat terdiri daripada dua ayat pembayang dan dua ayat maksud, dan bagi pembayang pantun lapan kerat ialah empat ayat pembayang dan empat ayat maksud dan demikianlah seterusnya.

Penggunaan pantun dalam sesuatu ucapan bukan sahaja memperindah dan mempertajam penyampaian, malah akan lebih menyentuh hati khalayak. Pantun sering digunakan dalam majlis-majlis rasmi:

Sirih pinang sirih berlipat,
Sirih dari Pulau Mutiara;
Pemanis kata selamat datang,
Awal bismillah pembuka bicara.

Atau majlis-majlis praperkahwinan dan majlis perkahwinan:
Awal bismillah menepek inai,
Inai ditepek di tapak tangan;
Mari berdoa beramai-ramai,
Supaya pengantin di dalam bahagia.

Juga sebagai wahana pelepas rindu dendam:
Apa diharap padi seberang,
Entah menjadi entahkan  tidak;
Apa diharap kasihnya orang,
Entah sudi entahkan tidak.



Jika diteliti, pantun-pantun lama ini (sekadar beberapa contoh) amat terjaga kesantunannya dari segi susunan rima tengah, rima akhir dan pertautan maksud antara pembayang dan maksud.

Pembayang pantun selalunya merujuk kepada alam dan ruang lingkup budaya Melayu. Budaya Melayu bukan sekadar berkisar dalam diri malah mencakupi soal-soal yang lebih besar sehingga boleh mencerminkan peribadi dan sifat terpuji orang-orang Melayu.

Hal ini amat bersesuaian dengan fungsi pantun yang memancarkan kebijaksanaan dan ketajaman fikiran masyarakat terdahulu dalam kehidupan mereka.

Amat menggembirakan kita apabila pantun masih diterima oleh masyarakat sekarang terutama dalam kalangan remaja. Namun, hakikatnya kesantunan pantun kian terhakis dengan lahirnya pantun-pantun moden.


Cenderawasih terbang malam,
Terima kasih wassalam.


Pantun  dua kerat ini semakin digunakan sebagai penutup kata, waima pembayangnya kurang tepat. Apakah benar burung cenderawasih hanya terbang pada waktu malam? Apakah yang dimaksudkan terima kasih?  Apakah yang dimaksudkan dengan perkataan Arab wassalam?

Contoh lain,

Pen merah pen biru,
U marah I love U.


Sudah tentu kita biasa dengan pantun berkasih ini yang sangat popular dalam kalangan pelajar dahulu sehingga kini.

Tidak dinafikan pengaruh pantun ini mencetuskan minat remaja untuk terus berpantun, namun kehadiran ‘bahasa rojak’ dalam pantun ini sebenarnya begitu jelas menghakis ketulenan dan kesantunan pantun Melayu. Penggunaan bahasa yang bercelaru akan menyebabkan keaslian pantun tidak dapat dipelihara.

Menyedari khazanah dan warisan budaya Melayu ini menghadapi kemungkinan pupus sebagai wahana pengantara dalam masyarakat Melayu masa kini, dan amat menyedihkan apabila unsur-unsur moden terus menular sehingga keaslian pantun kian terjejas, seharusnya usaha-usaha untuk mempopularkan pantun yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka, dan pihak media dipuji dan diberi sokongan.

Kesimpulannya, pantun mempunyai keistimewaan yang tersendiri dalam masyarakat kita. Situasi ini menjadikan kedudukan pantun itu sesuatu yang bernilai dan harus dikekalkan dalam kebudayaan kita, “biar mati anak, jangan mati adat” membuktikan bahawa pantun itu sesuatu yang berharga dalam kebudayaan kita.