PELBAGAI program yang berkaitan pengiktirafan terhadap insan-insan seni telah disiarkan melalui televisyen sama ada secara siaran langsung mahupun rakaman. Pelbagai kategori  diperkenalkan dan setiap kategori akan dipilih pemenangnya. Penganjuran program-program seperti ini diharapkan dapat menaikkan semangat insan-insan seni di negara kita untuk bersaing secara sihat seterusnya mengangkat martabat seni tanah air kita.

Dalam rancangan sedemikian, kita dapat menyaksikan kemunculan selebriti-selebriti tanah air yang diundang bagi mengumumkan pemenang-pemenang bagi pelbagai kategori. Antara pengumuman yang dilakukan oleh selebriti-selebriti berkenaan ialah:

(i)    Pelakon lelaki terbaik ialah ....................

(ii)    Pelakon lelaki terbaik adalah ................

(iii)Pelakon lelaki terbaik .................. (terus menyebut nama pemenang)

Apabila menonton pengumuman tersebut, saya merasakan ada sesuatu yang perlu dikongsikan dengan para pembaca. Saya akan memfokuskan perbincangan tentang aspek penggunaan kata “ialah” dan “adalah”. Kata “ialah” dan “adalah” tergolong sebagai kata pemeri.

Kata pemeri ialah unsur yang menjadi pemeri hal atau penghubung antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat.

Kata pemeri “ialah” menunjukkan persamaan dan hadir di hadapan frasa nama.

Contohnya:

(i)    Azizi ialah suami Azizah.(Subjek + ialah + Frasa Nama)

(ii)    Kedai menjual kereta di simpang itu ialah kedai milik Sabri. (Subjek + ialah + Frasa Nama)

Kata pemeri “adalah” pula menunjukkan huraian yang hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama.

Contohnya:

(i)    Hasil kerja Faizah adalah cantik. (Subjek + adalah + Frasa Adjektif)

(ii)    Perniagaan Roslina adalah sangat laris. (Subjek + adalah + Frasa Adjektif)

Kata pemeri “adalah” juga menunjukkan huraian yang hadir di hadapan frasa sendi nama. Contohnya:

(i)    Surat itu adalah daripada Mat Yusoff. (Subjek + adalah + Frasa Sendi Nama)

(ii)    Tarikh ulang tahun perkahwinan mereka adalah pada 20 Ogos. (Subjek + adalah + Frasa Sendi Nama)

Semua contoh ayat di atas menunjukkan bukti bahawa kata pemeri “ialah” dan “adalah” hanya merupakan pilihan dan tidak akan mencacatkan ayat jika digugurkan.

Setiap pengguna bahasa Melayu perlu sedar bahawa terdapat beberapa kesilapan dalam penggunaan kata pemeri “ialah” dan “adalah”. Kata pemeri “ialah” dan “adalah” tidak boleh hadir di hadapan frasa kerja.

Contohnya:

(i)    Tugasnya adalah memastikan semua urusan lancar. (salah)

    Tugasnya adalah untuk memastikan semua urusan lancar. (betul)

(ii)    Satu usaha yang dijalankan adalah membantu golongan miskin. (salah)

    Satu usaha yang dijalankan adalah dengan membantu golongan miskin. (betul)

Dalam keadaan-keadaan tertentu, kata pemeri “ialah” dan “adalah” tidak perlu hadir kerana ayat atau frasa tersebut sudah mencapai maksud dan menepati struktur tatabahasa.

Contohnya:

(i)    Hasdi adalah merupakan seorang jutawan. (salah)

    Hasdi merupakan seorang jutawan. (betul)

(ii)    Keputusan ini diambil adalah berdasarkan pengalamannya. (salah)

Keputusan ini diambil  berdasarkan pengalamannya. (betul)

Kata pemeri juga tidak boleh hadir di hadapan kata nafi “bukan” dan “tidak” melainkan kata nafi yang bersifat adjektif. Contohnya:

(i)    Mokhtar adalah bukan guru. (kata pemeri + kata nafi + kata nama: salah)

(ii)    Dakwaannya adalah tidak benar. (kata pemeri + kata nafi + kata adjektif: betul)

Kata pemeri tidak boleh digunakan pada permulaan ayat. Contohnya:

(i)    Adalah dimaklumkan bahawa.......(salah)

Dengan ini dimaklumkan bahawa....(betul)

Penggunaan kata pemeri amat terbatas dan tidak digalakkan dalam pembentukan ayat bahasa Melayu. Penggunaannya meluas juga disebabkan pengaruh bahasa Inggeris iaitu penggunaan “is” dan “are” dalam ayat.

Akhir kata, “Cintailah Bahasa Kita, Bahasa Jiwa Bangsa”.