SEJAK kecil lagi kita didedahkan dengan frasa menjolok mata yang seolah-olah menggambarkan sesuatu yang tidak selesa apabila dipandang. Selepas itu timbul pula pendapat bahawa frasa tersebut tidak tepat penggunaannya dalam bahasa Melayu kerana frasa yang sepatutnya ialah mencolok mata.

Ada juga pendapat yang menyatakan bahawa kedua-dua frasa tersebut mempunyai makna yang sama dan boleh bertukar ganti penggunaannya. Sehingga kini masih banyak pihak yang keliru akan penggunaan perkataan menjolok dan mencolok.

Bagi memperjelas kekeliruan yang timbul berkaitan isu ini, cuba perhatikan contoh-contoh ayat di bawah:

(i) Dia tidak disukai oleh kawan-kawannya kerana sering mengenakan pakaian yang menjolok mata.

(ii) Dia tidak disukai oleh kawan-kawannya kerana sering mengenakan pakaian yang mencolok mata.

Daripada kedua-dua ayat di atas, yang manakah dianggap gramatis? Adakah kedua-dua ayat tersebut gramatis dari sudut bahasa? Bagi memahami konsep ini dengan lebih jelas dan terperinci, marilah sama-sama kita mendalami maksud menjolok dan mencolok secara lebih khusus.

Menjolok bermaksud menusuk atau merodok sesuatu dengan galah dan lain-lain supaya gugur. Selain itu, makna menjolok yang lain ialah menusuk ke dalam lubang dan lain-lain. Contohnya:

(i) Budak nakal itu dimarahi ibunya kerana cuba menjolok sarang tebuan yang terdapat di atas pokok ketapang.

(ii) Rosli menggunakan galah yang panjang untuk menjolok buah nangka di hadapan rumahnya.

(iii) Doktor wanita itu terpaksa menjolok lubang hidung Lokman dengan menggunakan besi untuk melancarkan pernafasannya.

Berdasarkan makna menjolok yang dinyatakan, adakah bermakna frasa menjolok mata dianggap salah? Cuba sama-sama kita teliti ayat-ayat di bawah:

(i) Yuniza dan Herman menegur pasangan itu kerana tanpa segan silu telah melakukan perbuatan yang menjolok mata di tempat awam.

(ii) Rodziah memberitahu Halim bahawa dia telah menjolok mata perompak itu dengan menggunakan garfu.

Ayat (i) dalam contoh tersebut dianggap tidak gramatis kerana bersalahan dengan konsep menjolok, manakala contoh ayat (ii) pula dianggap gramatis kerana bertepatan dengan konsep menjolok yang sebenarnya iaitu perbuatan menusuk atau merodok sesuatu ke dalam lubang kerana mata mempunyai lubang ataupun rongga.

Jika menjolok bermaksud menusuk atau merodok, apakah pula makna mencolok? Mencolok bermaksud membangkitkan kemarahan orang yang melihat, menyakitkan hati dan memberi malu. Contohnya:

(i) Artis dari luar negara itu tidak dibenarkan melakukan persembahan di Malaysia kerana memakai pakaian yang mencolok mata.

(ii) Penduduk Taman Guchil Baharu tidak suka akan pasangan suami isteri itu kerana selalu melakukan perbuatan yang mencolok mata.

(iii) Pak Hamid tidak keluar dari rumah selama beberapa hari kerana malu akan perbuatan anak perempuannya yang mencolok mata.

Walaupun masalah penggunaan frasa mencolok mata dan menjolok mata ini dianggap sebagai masalah yang kecil tetapi jika tidak diperbetul akan menimbulkan perbezaan makna seterusnya menyebabkan berlakunya silap faham dalam komunikasi. Sudah menjadi lumrah sesetengah pengguna bahasa Melayu termasuk orang Melayu sendiri yang sering membuat tanggapan negatif bahawa sesuatu kesalahan dalam bahasa sebagai perkara yang remeh-temeh sahaja.

Bagi mereka, gramatis atau tidak sesuatu aspek bahasa itu bukanlah perkara penting yang harus diberi perhatian asalkan maksud dalam komunikasi dapat dicapai.

Namun kesedaran harus timbul dalam sanubari kita semua bahawa sesuatu yang gramatis perlu kita gunakan untuk menjaga kemapanan bahasa kita. Kalau bukan kita, siapakah lagi yang akan menjaga dan memelihara bahasa kita.  Marilah sama-sama kita memartabatkan bahasa Melayu.

Akhir kata “Cintailah Bahasa Kita, Bahasa Jiwa Bangsa”.

* Ruangan ini dikelolakan oleh DBP Wilayah Timur