APABILA mendapat tahu saya menjadi penulis ruangan bahasa dalam akhbar Sinar Harian, seorang rakan yang merupakan guru Bahasa Inggeris bertanya tentang kaitan peribahasa bagai melepaskan batuk di tangga dengan maksudnya, iaitu melakukan sesuatu pekerjaan dengan tidak bersungguh-sungguh.

Pada pendapatnya, peribahasa itu tidak langsung menggambarkan maksud yang hendak disampaikan. Memang benar, saya pun bersetuju bahawa peribahasa berkenaan tidak menggambarkan maksud itu jika perkataan batuk merujuk perbuatan melepaskan nafas dari paru-paru dengan keras dan bising bunyinya.

Sebenarnya, peribahasa asal ialah bagai melepaskan batok di tangga. Batok merupakan tempurung kelapa dan bagi orang yang berasal dari kampung ataupun yang pernah merasai suasana kampung sudah pasti dapat membayangkan rupa sebenar batok. Batok digunakan bagi mencedok air dari dalam tempayan bagi membasuh kaki ataupun digelar juga sebagai gayung.

Ejaan lama batok ini telah mengalami perubahan kepada pola ejaan baharu selepas 16 Ogos 1972 supaya selaras dengan pola keselarasan vokal dalam bahasa Melayu. Pola keselarasan vokal bermaksud keselarasan atau kesesuaian huruf vokal yang membentuk dua suku kata pada kata dasar.

Keselarasan vokal melibatkan pasangan antara huruf vokal pada suku kata praakhir dengan huruf vokal pada suku kata akhir tertutup, contohnya mabuk, masuk, kasut dan beberapa perkataan lain lagi.

Ketiga-tiga contoh perkataan itu mempunyai pola keselarasan vokal a-u. Bagi kata dasar yang lebih daripada dua suku kata, hanya dua suku kata akhir sahaja terlibat. Contohnya cerobong (pola keselarasan vokal o-o), kelubi (pola keselarasan vokal u-i) dan perkasa (pola keselarasan vokal a-a).

Dalam bahasa Melayu terdapat 18 pola keselarasan vokal iaitu a-a, a-i, a-u, e pepet-a, e-i, e-u, etaling-a, e-e, e-o, i-a, i-i, i-u, o-a, o-e, o-o, u-a, u -i dan u-u.

Dalam penulisan ini saya hanya akan menyentuh tentang pola a-u. Berdasarkan 18 pola keselarasan vokal, tidak ada pola keselarasan vokal a-o.

Bagi menjadikan perkataan batok selaras dengan pola keselarasan vokal maka perkataan itu telah diubah kepada batuk supaya menepati pola keselarasan vokal a-u.

Mari kita kembali membincangkan peribahasa bagai melepaskan batuk di tangga. Jika perkataan batuk berasal daripada perkataan batok, maka sudah pasti peribahasa berkenaan sesuai untuk menggambarkan maksud melakukan sesuatu pekerjaan dengan tidak bersungguh-sungguh apabila seseorang itu hanya melepaskan alat tersebut bukannya meletakkan di tempat yang sepatutnya.

Apabila membincangkan pola keselarasan vokal yang tepat ialah a-u dan pola a-o dianggap salah, mengapakah masih ada beberapa perkataan terutama merujuk nama khas yang masih menggunakan pola keselarasan vokal a-o? Contohnya, Kampong Baru, Bachok, Yang di-Pertuan Agong, Baloh Raja, Baroh Pial, Tanjong Pinang dan Banggol Kulim. Jawapannya, nama-nama khas ini dikekalkan ejaannya kerana wujud sebelum Permuafakatan Kebahasaan Majlis Bahasa Indonesia-Malaysia (MABIM) pada 16 Ogos 1972.

Jikalau demikian, adakah bermakna perkataan-perkataan seperti lakon, lancong, perabot, atom dianggap salah kerana tidak bertepatan dengan pola keselarasan vokal?

Jawapannya tidak, kerana contoh-contoh di atas merupakan perkataan daripada bahasa asing yang memang tepat ejaannya lantaran terdapat kekecualian bagi perkataan yang berasal daripada bahasa pinjaman.

Jika bahasa Melayu mengalami perubahan bukan bermakna bahasa ini tidak mantap. Bahasa-bahasa yang mantap di dunia seperti bahasa Inggeris juga mengalami perubahan sesuai dengan perkembangan semasa. Marilah sama-sama kita memartabatkan bahasa Melayu. Akhir kata “Cintailah Bahasa Kita, Bahasa Jiwa Bangsa”.

* Ruangan ini dikelolakan oleh DBP Wilayah Timur