SUATU hari, seorang rakan telah menanyakan saya tentang penggunaan perkataan yang betul, sama ada memperisterikan atau memperisteri. Kedua-dua perkataan ini kelihatan hampir sama dari segi maksud dan penggunaannya tetapi hakikatnya, kedua-duanya amat berbeza.

Memperisterikan bermaksud memberikan isteri kepada seseorang atau menjadikan seseorang itu beristeri. Manakala memperisteri bermaksud menjadikan seseorang itu isteri. Perbezaan kedua-dua perkataan ini dapat dijelaskan dalam ayat-ayat contoh di bawah:

(i) Pak Mail telah memperisterikan Azman dengan anak saudaranya.

(ii) Azman telah memperisteri anak saudara Pak Mail.
 
Kedua-dua ayat contoh di atas diharap dapat memberi kefahaman tentang perbezaan antara memperisterikan dengan memperisteri. Dalam ayat (i), Pak Mail telah memberikan Azman isteri, iaitu anak saudaranya sendiri. Manakala ayat contoh (ii), Azman telah menjadikan anak saudara Pak Mail sebagai isterinya. Kita seharusnya berhati-hati ketika menggunakan perkataan-perkataan ini kerana ketidakjelasan semasa menggunakannya akan menyebabkan berlaku salah faham.

Memperisterikan dan memperisteri merupakan dua contoh kata kerja yang terhasil daripada proses pengimbuhan daripada kata dasar isteri. Memperisterikan berasal daripada imbuhan apitan memper-…-kan yang digabungkan dengan kata dasar isteri, manakala memperisteri berasal daripada imbuhan awalan memper- yang digabungkan dengan kata dasar isteri.

Imbuhan apitan memper-…kan, memper-…-i, diper-…-kan dan diper-…-i seharusnya difahami oleh pengguna bahasa Melayu supaya tidak berlaku kesilapan dalam penggunaannya. Imbuhan-imbuhan ini pula seharusnya dapat dibezakan dari segi maksud dan penggunaannya dengan imbuhan awalan memper-… dan diper-….

Hanya golongan kata nama dan kata kerja boleh bergabung dengan apitan memper-…-kan untuk membentuk kata kerja. Contohnya:

> suami (kata nama) - mempersuamikan

> kuda (kata nama) - memperkudakan

> senda (kata nama) - mempersendakan

> lihat (kata kerja) - memperlihatkan

> tunjuk (kata kerja) - mempertunjukkan

> banding (kata kerja) - memperbandingkan
 
Hal ini bermakna, kata adjektif (kata sifat) tidak boleh bergabung dengan apitan memper-…-kan untuk membentuk kata kerja. Sehubungan itu, penggunaan kata adjektif (kata sifat) yang bergabung dengan apitan memper-…-kan tidak gramatis. Contohnya:

> besar (kata adjektif) -memperbesarkan (salah)

> besar (kata adjektif) -memperbesar (betul)

> kecil (kata adjektif) - memperkecilkan (salah)

> kecil (kata adjektif) - memperkecil (betul)

> dalam (kata adjektif) - memperdalamkan (salah)

> dalam (kata adjektif) -memperdalam (betul)
 
Kata kerja yang terhasil dengan apitan memper-…-kan bersifat transitif, iaitu diikuti oleh objek, contohnya:

(iii) Cikgu Razuki telah mempersuamikan anak perempuan sulungnya.

(iv) Kita tidak seharusnya memperkudakan orang lain demi kepentingan peribadi.

(v) Pemain bola sepak itu tidak disukai penonton kerana sering mempertunjukkan kemahiran individunya.


Berdasarkan ayat-ayat di atas, perkataan mempersuamikan, memperkudakan dan mempertunjukkan diikuti oleh objek anak perempuan sulungnya, orang lain dan kemahiran individunya.

Setelah mengetahui cara penggunaan apitan memper-…-kan, marilah pula kita mendalami apitan memper-…-i. Apitan memper-…-i  tidak begitu produktif dan tidak banyak kata yang dapat bergabung dengannya.

Apitan memper-…-i ini wujud hasil daripada perkembangan bahasa, iaitu keperluan menyatakan makna khusus bagi sesuatu perbuatan, iaitu kata kerja, yang sebelum ini tidak terungkap dalam bahasa Melayu. Setakat ini hanya bentuk yang berikut wajar dianggap sebagai jenis kata kerja yang terbentuk dengan apitan memper-…-i, iaitu memperingati, memperkawani, mempersuami dan memperisteri. Bentuk mempersuami dan memperisteri sebenarnya berbentuk mempersuamii dan memperisterii tetapi telah berlaku pengguguran satu huruf i dalam kedua-dua perkataan.

Bentuk yang lazim digunakan dengan apitan memper-…-i seperti memperolehi, memperbaiki, memperkuasai, memperdalami, memperakui, mempersetujui dan memperhalusi, sebenarnya merupakan kata terbitan yang lewah. Bentuk terbitan tadi seharusnya digantikan dengan memperoleh, membaiki, menguasai, mendalami, mengakui, menyetujui dan menghalusi.

Penggunaan imbuhan dalam bahasa Melayu perlu diberi perhatian kerana imbuhan mampu mengubah makna sesuatu perkataan. Pengguna bahasa Melayu yang sejati mampu menggunakan bahasa Melayu dengan menggunakan imbuhan yang betul. Dirgahayu Bahasaku!
 
* Ruangan ini dikelolakan oleh DBP Wilayah Timur