APABILA Tan Sri Annuar Musa (TSAM) dilantik menjadi Pengerusi Majlis Amanah Rakyat, banyak pihak telah mengucapkan tahniah atas pelantikan itu.

Pelbagai ucapan diterima oleh beliau, antaranya, ‘ Semoga Tan Sri Berjaya Menggemilangkan MARA’,  ‘Mara Terus Gemilang di Bawah Tan Sri’ dan ucapan-ucapan lain lagi.

Namun yang lebih menarik perhatian saya adalah tentang ejaan yang tepat bagi kata nama akronim Majlis Amanah Rakyat. Adakah ejaannya ‘Mara’ ataupun ‘MARA’? Kekeliruan bukan hanya berlaku bagi kata nama akronim Majlis Amanah Rakyat  ini sahaja malah turut melibatkan akronim-akronim lain.

Dalam artikel pada hari ini, saya akan mengulas tentang penggunaan kata nama akronim kerana masih banyak kesilapan yang dilakukan sedangkan penggunaannya begitu popular. Kata nama akronim bermaksud perkataan yang dihasilkan melalui percantuman bahagian-bahagian daripada serangkaian perkataan. Bahagian-bahagian perkataan itu boleh terdiri daripada huruf, suku kata, atau bahagian daripada perkataan.

Kata nama akronim boleh dibahagikan kepada empat jenis berdasar cara percantuman bahagian-bahagian perkataan itu, iaitu:

(i) Kata nama akronim cantuman huruf awal perkataan

Kata nama akronim  yang dibentuk melalui percantuman huruf awal beberapa perkataan kebanyakannya terdiri daripada nama khas. Kata nama akronim yang terbentuk dengan cara ini dieja dengan huruf besar keseluruhannya. Contohnya:

DUN  -    Dewan Undangan Negeri
MAS -     Malaysian Airlines System
KTM -     Keretapi Tanah Melayu
NATO - North Atlantic Treaty Organisation
SDAR -     Sekolah Datuk Abdul Razak

(ii) Kata nama akronim cantuman huruf dan suku kata perkataan

Kata nama akronim jenis ini terbentuk daripada cantuman huruf dan suku kata sejumlah perkataan. Kata nama akronim jenis ini juga membentuk nama khas; oleh itu, ejaannya bermula dengan huruf besar. Contohnya:

Felda -     Federal Land Development Authority
Mara -    Majlis Amanah Rakyat
Jess -     Jeli Science School
Perhilitan -     Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara
Perkim -     Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia

(iii) Kata nama akronim cantuman suku kata awal perkataan

Kata nama akronim jenis ini dibentuk melalui percantuman suku kata awal sejumlah perkataan. Contohnya:
tadika -     taman didikan kanak-kanak
pawagam -     panggung wayang gambar
cerpen -     cerita pendek

Jikalau kata nama akronim yang terbentuk itu merupakan kata nama khas, maka ejaannya hendaklah bermula dengan huruf besar. Contohnya:
Bernama -    Berita Nasional Malaysia
Perkeso -    Pertubuhan Keselamatan Sosial

(iv) Kata nama akronim
Cantuman bahagian awal perkataan pertama  dengan bahagian lain perkataan yang mengikutinya

Kata akronim jenis ini dibentuk melalui huruf atau suku kata perkataan pertama dengan bahagian bukan awal perkataan yang lain. Contohnya:
jentolak -    jentera tolak
debunga -    debu bunga
jenama -    jenis nama
purata -    pukul rata
jalurah -    jalan lurah

Sebenarnya banyak pengguna bahasa tidak kira pengguna bahasa Melayu ataupun bahasa-bahasa lain yang menggunakan sesuatu kata nama akronim tanpa menyedari bahawa perkataan itu merupakan akronim kerana perkataan itu sudah sebati digunakan. Contohnya:
laser -      light amplification by stimulated emission ofradiation
radar -    radio detectiang and ranging
sonar -    sound navigation ranging

Keragaman dalam berbahasa menjadikan sesuatu penggunaan bahasa itu unik dan menarik. Keunikan ini perlu dipelihara supaya penggunaannya tidak tersasar daripada hukum bahasa yang sebenar. Marilah sama-sama kita memartabatkan bahasa Melayu.

Akhir kata “Cintailah Bahasa Kita, Bahasa Jiwa Bangsa”.

Ruangan ini dikelolakan oleh DBP Wilayah Timur