MANA bulu ayam, Tok?” Itulah antara dialog daripada satu kumpulan lawak yang mengambil bahagian dalam rancangan Maharaja Lawak Mega yang pernah disiarkan dalam salah satu saluran televisyen tempatan baru-baru ini.

Pastinya kita akan tercuit dan tersenyum apabila mengimbas kembali dialog tersebut.

Saya ingin menarik perhatian di sini tentang frasa bulu ayam. Jika dilihat dalam sketsa rancangan Maharaja Lawak Mega tersebut, frasa bulu ayam yang dimaksudkan bukanlah bulu ayam yang sebenar tetapi merujuk penyapu habuk yang diperbuat daripada plastik dan mempunyai pemegang.

Penyapu habuk tersebut bukan diperbuat daripada bulu ayam pun, namun sebelum terciptanya penyapu daripada plastik, pengguna telah biasa menggunakan penyapu yang diperbuat daripada bulu ayam.

Fenomena ini sememangnya biasa dalam pertuturan  masyarakat Malaysia, khususnya dalam kalangan penutur bahasa Melayu.

Dalam pertuturan seharian, kita sering menggunakan sesuatu perkataan atau istilah yang pada dasarnya merujuk perkara lain, tetapi menerangkan perkara yang lain, namun demikian masyarakat masih faham akan istilah tersebut.

Mengapakah hal sedemikian berlaku? Sebelum menjawab persoalan ini, saya bawakan beberapa contoh lain iaitu pertamanya  penggunaan istilah ridsect untuk merujuk kepada penyembur racun serangga, di samping KFC (ayam goreng), motor (motosikal), color Luna (pensel warna) dan plastik (beg yang diperbuat daripada plastik).

Contoh pertama iaitu ridsect yang dimaksudkan sebagai penyembur racun serangga kerana penggunaan jenama penyembur racun serangga  ini amat popular dalam masyarakat kita.

Walaupun penyembur racun serangga daripada jenama lain digunakan, sebutan ridsect tetap menjadi pilihan yang kemungkinan besar menjadi jenama racun serangga pertama yang dikeluarkan.

KFC pula dimaksudkan sebagai ayam goreng kerana ayam goreng merupakan pilihan utama jika kita berkunjung ke mana-mana premis KFC. Walaupun ada makanan lain seperti burger dan kentang goreng, apabila kita menyebut KFC maka akan terbayang dalam kepala kita tentang ayam goreng yang rangup.

Dalam contoh ketiga iaitu motor yang dimaksudkan sebagai motosikal, disebabkan masyarakat sering menggunakan istilah atau sebutan pendek bagi memudahkan pertuturan.

Walaupun jelasnya motosikal itu sendiri sememangnya menggunakan motor untuk menggerakkannya, penggunaan istilah yang ringkas iaitu motor lebih memudahkan pengguna bahasa Melayu untuk menyebut istilah tersebut.

Contoh keempat iaitu color Luna yang dimaksudkan pensel warna, samalah seperti ridsect. Masyarakat lebih maklum akan pensel warna berjenama Luna berbanding jenama lain.

Walaupun jenama pensel warna lain digunakan, sebutan Luna lebih menjadi pilihan.

Contoh terakhir iaitu beg plastik, selain bahan asal yang digunakan untuk membuat beg tersebut, masyarakat lebih gemar menggunakan sebutan plastik tanpa disebut beg terlebih dahulu kerana memudahkan cara sebutan.

Sesuatu istilah yang merujuk sesuatu benda digunakan dalam pertuturan masyarakat di Malaysia disebabkan beberapa perkara. Bahan asal benda tersebut dan cara sebutan yang lebih mudah menjadi antara faktor penyebabnya.

Bagi contoh bulu ayam, ridsect, KFC dan color Luna pula, masyarakat telah menerimanya sebagai sesuatu yang popular menjadikan istilah itu digunakan untuk apa-apa sahaja keluaran yang sama atau hampir sama fungsinya.

Popularnya sesuatu perkara disebabkan pengeluarannya lebih awal atau lebih dahulu diperkenalkan kepada masyarakat.  Biar apa-apa pun penyebabnya, biar apa-apa pun sebutan, yang penting istilah tersebut tidak dirosakkan sewenang-wenangnya.

Semua bahasa yang digunakan di seluruh dunia bersifat dinamik yang boleh berubah mengikut budaya masyarakat setempat. Sifat dinamik yang dimiliki oleh bahasa ini telah menyebabkan perkembangan semua bahasa, termasuk bahasa Melayu begitu rancak dan menarik untuk dikaji.

Tugas kita sebagai pengguna bahasa Melayu untuk memastikan perkembangan ini tidak akan merosakkan bahasa kebanggaan kita ini.

Dirgahayu bahasaku.