DALAM keasyikan rakyat Malaysia menyokong pasukan bola sepak kegemaran mereka yang menyertai Piala Dunia Brazil 2014, kita tidak seharusnya meminggirkan Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-56. Acara tahunan yang diadakan di Kuala Lumpur ini juga merupakan acara yang bertaraf dunia kerana menghimpunkan peserta terbaik dari seluruh dunia.

Pada tahun ini Malaysia telah menyapu bersih semua empat kategori yang dipertandingkan. Tahniah diucapkan kepada Ahmad Tirmizi Ali yang mengungguli kategori qari, Hanimzah Jalaluddin (qariah), Mohd Ersyad Abdullah (hafiz) dan Norhafizah Mohd Syafie (hafizah). Keempat-empat individu ini mewakili golongan muda yang mampu mendalami dan menghayati kalam ALLAH dengan baik. Ahmad Tirmizi dan Hanimzah masing-masing berumur 29 tahun dan 32 tahun. Mohd Ersyad dan Norhafizah juga masih muda belia yang seharusnya dicontohi oleh golongan muda Islam di Malaysia.

Johan qari dan qariah telah menerima hadiah jongkong emas bernilai RM70,000 dan wang tunai RM40,000, manakala johan hafiz dan hafizah menerima wang tunai bernilai RM30,000. Hadiah yang begitu besar mendapat sambutan daripada seluruh umat Islam dunia untuk menyertai majlis ini. Namun, kita berharap agar pihak-pihak yang berkenaan dapat meningkatkan lagi jumlah hadiah kepada pemenang seperti yang diperoleh oleh pemenang-pemenang dalam bidang lain seperti bidang hiburan dan sukan.

Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa yang dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan temanya Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah ini telah menarik 29 buah negara menghantar wakil bagi kategori tilawah, manakala 27 buah negara bagi kategori menghafaz. Wasatiyyah merupakan perkataan dalam bahasa Arab yang bermaksud kesederhanaan.

Justeru berdasarkan tema dapat difahami bahawa kesederhanaan yang diamalkan oleh orang Islam menjadi kunci perpaduan manusia sejagat. Islam menekankan kesederhanaan dalam hidup, iaitu semasa mengejar akhirat, kita tidak boleh melupakan dunia dan begitu jugalah sebaliknya. Umat Islam tidak boleh terlalu taksub mengejar dunia sehingga mengabaikan nilai-nilai keduniaan.

Tahniah diucapkan kepada penganjur kerana meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam majlis penutupan. Juruacara menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama sebelum diterjemahkan ke bahasa Arab dan bahasa Inggeris. Penggunaan bahasa Arab selepas bahasa Melayu bertujuan memudahkan peserta dari luar negara kerana rata-rata daripada mereka menguasai bahasa al-Quran tersebut. Bahasa Inggeris pula merupakan bahasa antarabangsa yang dikuasai oleh kebanyakan masyarakat dunia.

Sehingga kini saya masih mampu menyebut nama beberapa orang qari dan qariah yang pernah menjuarai Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa. Antara nama yang masih saya ingat ialah Ismail Hashim, Asmawi Duet, Sapinah Mamat, Faridah Mat Saman dan Rogayah Sulong. Antara qari dari negara luar yang saya ingat namanya ialah Abbas Salimi Naleeni dari Iran dan Mirwan Batubara dari Indonesia. Namun, jika ditanya golongan muda hari ini, mereka tidak mampu untuk menyebut nama qari dan qariah tersebut.

Hal ini demikian kerana pada tahun 1970-an dan 1980-an, saluran televisyen tidak banyak dan majlis tilawah al-Quran disiarkan secara langsung. Maknanya, penonton tidak mempunyai pilihan lain, selain menonton majlis berkenaan. Hal ini berbeza dengan zaman sekarang kerana golongan remaja mempunyai pilihan saluran lain untuk ditonton walaupun RTM 1 menyiarkan siaran langsung majlis berkenaan.

Kita berharap agar Jakim terus memperkasakan penganjuran pertandingan ini dengan pendekatan yang terbaik sesuai dengan matlamat untuk melahirkan masyarakat Islam yang celik al-Quran.

Proses penambahbaikan hendaklah dilakukan dari semasa ke semasa supaya dapat menarik lebih ramai pengunjung untuk hadir menyaksikan majlis ini atau setidak-tidaknya menonton di kaca televisyen.

Ruangan ini dikelolakan oleh DBP Wilayah Timur