DALAM tahun 644 Masihi, kerajaan Melayu pernah menghantar utusan ke China. Hal ini demikian bermakna hubungan diplomasi pernah dijalin oleh kerajaan Melayu ketika itu di peringkat antarabangsa.

Senario ini jelas membuktikan bahawa kerajaan Melayu tua itu turut mempunyai ketamadunan budaya yang tinggi dan bahasa yang maju.

Catatan-catatan I-Tsing, Godinho de Erachia dan Francois Valentijn turut menyatakan bahasa Melayu telah menjadi Lingua Franca di Kepulauan Melayu sejak awal kurun ketujuh Masihi lagi. Persoalannya, adakah bahasa Melayu masih mempunyai kedudukan seperti itu?

Hanya berdasarkan artifak-artifak yang ditemui, pengkaji-pengkaji terdahulu telah berpendapat bahawa kumpulan pertama Melayu berasal dari selatan China hadir pada tahun 2500 Sebelum Masihi (SM). Golongan ini dikenali sebagai Melayu-Proto. Seribu tahun selepas itu (tahun 1500 SM), puak kedua pula hadir iaitu Melayu-Deutro.

Melayu-Deutro mempunyai tamadun yang lebih baik berbanding Melayu-Proto. Melayu- Deutro ini tinggal di kawasan yang subur di pesisir pantai. Mereka juga mahir dalam banyak ilmu seperti bidang pelayaran. Hal ini menyebabkan Melayu-Proto lari ke kawasan-kawasan hutan, lembah dan gunung.

Faktor geografi telah memisahkan Melayu-Proto dari dunia luar yang lebih bertamadun. Golongan Melayu-Proto inilah yang dikenali sebagai Orang Asli seperti Senoi, Negrito, Semang, Jahut dan Jakun.

Manakala, golongan Melayu-Deutro yang mempunyai kemahiran dalam bidang pelayaran, telah belayar dan mengembara ke pulau-pulau dalam Kepulauan Melayu.

Mereka telah membuka petempatan baharu yang menyebabkan perkembangan bahasa Melayu dan bahasa Indonesia sehingga kini.

Seterusnya, faktor geografi yang menjadi pemisah telah menyebabkan berlakunya perubahan dalam sebutan bahasa yang ditutur oleh mereka walaupun pada asalnya bahasa yang sama.

Sebutan dalam pertuturan bahasa turut mengalami perubahan mengikut masa. Namun, masa yang diambil tentunya lama. Dalam membincangkan faktor masa ini, mari kita lihat beberapa istilah kajian yang dikaitkan dengan masa.

1.    Filum – bermaksud   kelompok bahasa yang berumur 5000 tahun.
2.    Rumpun – bermaksud kelompok bahasa yang berumur antara 2500 hingga 5000 tahun.
3.    Keluarga – bermaksud kelompok bahasa yang berumur kurang dari 2500 tahun.

Bahasa Melayu berasal daripada Filum Austris dan daripada Rumpun Austronesia  (di  samping Rumpun Austronesia, terdapat dua lagi rumpun lain iaitu Rumpun Austroasia dan Rumpun Tibet-Cina).

Seterusnya dari sudut keluarga, bahasa Melayu berasal daripada Keluarga Indonesia  (di samping Keluarga Indonesia, terdapat tiga lagi keluarga lain iaitu Keluarga Melanesia, Keluarga Mikronesia dan Keluarga Polinesia).

Bahasa lain yang berasal daripada Keluarga Indonesia ialah bahasa Aceh, bahasa Minangkabau dan bahasa Lampung.

Dalam keluarga yang sama ini akan terdapat sedikit penyimpangan dari segi kata, bunyi dan golongan kata. Berbeza dengan bahasa yang berasal daripada keluarga yang lain jelas menampakkan perbezaan yang ketara. Kita mungkin tidak memahami bahasa tersebut seperti bahasa Tagalog.

Bahasa Melayu telah mengalami perubahan yang pesat. Di bawah ini saya sertakan contoh bahasa Melayu kuno abad ketujuh:

Swasti Shri. Shakawarsatita 605 ekadashi, Shuklapaksa wulan Washakha dapunta Hiyang naik disambau mangalap siddhayatra
Yang bermaksud: Selamat dan Bahagia. Dalam Syaka 605, pada sebelas hari bulan Waisyakha Baginda naik kapal mencari untungnya. (Dipetik daripada tulisan Batu Bersurat Kedukan Bukit yang bertarikh 683 Masihi)

Bahasa Melayu seterusnya menjadi Lingua Franca yang dituturkan oleh pedagang-pedagang sehingga zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka.

Pedagang-pedagang boleh menguasai bahasa Melayu kerana berpendapat bahasa ini mudah dipelajari. Namun kepelbagaian asal-usul pedagang ini telah mewujudkan pula bahasa pasar yang digunakan hingga hari ini.


Ruangan ini dikelolakan oleh DBP Wilayah Timur