SAYA pernah terbaca peribahasa hasil rekaan sendiri murid saya dalam karangan mereka iaitu “kerana sirap setitik musnah susu sejag”. Adakah peribahasa ini sesuai bagi menggantikan peribahasa “kerana nila setitik rosak susu sebelanga”? Banyak lagi peribahasa hasil ciptaan sendiri golongan remaja yang digunakan, contohnya “seperti rokok dengan pemetik api” (seperti aur dengan tebing), “orang lapar diberikan nasi” (orang mengantuk disorongkan bantal), “harapkan kasut, kasut lukakan kaki” (harapkan pegar, pegar makan padi) dan lain-lain lagi.

Sebenarnya kita tidak boleh sewenang-wenangnya mencipta peribahasa mengikut kemahuan kita sendiri kerana peribahasa ialah ayat atau kelompok kata yang mempunyai susunan tetap dan mengandungi pengertian khusus. Peribahasa telah dicipta oleh orang-orang terdahulu melalui pemerhatian dan kajian teliti. Pemilihan perkataan juga amat sesuai dengan maksud yang hendak disampaikan selain menonjolkan keindahan bahasa Melayu itu sendiri.

Kalau dikaji peribahasa Melayu secara menyeluruh, sebenarnya kita dapat mempelajari jati diri dan imej orang Melayu yang menjadi pendukung kewujudan peribahasa Melayu. Ciri-ciri yang terkandung dalam peribahasa membolehkan kita mengenali sifat dan perwatakan orang Melayu sejak dahulu lagi.

Banyak peribahasa Melayu dicipta dengan menggunakan perlambangan alam seperti “harapkan pagar, pagar makan padi”, “bagai belut pulang ke lumpur”, “ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni”, “pucuk dicita ulam mendatang” dan lain-lain lagi. Hal ini demikian membuktikan bahawa masyarakat Melayu dahulu begitu rapat dengan alam kerana mereka terdedah kepada alam pada setiap masa lantaran kediaman dan tempat mereka mencari rezeki berpaksikan alam.

Peribahasa merupakan suatu ayat atau kelompok kata yang tersirat bagi menyampaikan sesuatu maksud. Peribahasa “mabuk kerana beruk berayun” sebagai contohnya bermaksud menggilai seorang wanita cantik yang tidak mungkin didapati.

Penggunaan peribahasa yang mempunyai maksud tersirat ini menggambarkan sifat orang Melayu yang bersopan santun kerana menyampaikan sesuatu maksud secara tersirat. Orang Melayu begitu berlapis bahasanya dan tidak menyampaikan sesuatu maksud lebih-lebih lagi yang kurang elok secara terbuka atau terang-terangan.

Melalui pemerhatian dan kajian masyarakat terdahulu terciptalah peribahasa seperti “bagai bulan empat belas” yang menggambarkan kecantikan seseorang perempuan dan “baik ikut resmi padi daripada membawa resmi lalang”. Kedua-dua peribahasa ini tercipta hasil daripada pemerhatian dan kajian masyarakat Melayu dahulu. Tanpa kajian dan pemerhatian tidak mungkin masyarakat Melayu dapat menyamakan kecantikan seseorang wanita dengan kecantikan bulan pada 14 hari bulan dan mengetahui perbezaan antara sifat padi dengan lalang. Hal ini demikian membuktikan bahawa masyarakat Melayu merupakan masyarakat yang sangat teliti apabila berhadapan sesuatu situasi.

Mengapakah terciptanya peribahasa “seperti si buta kehilangan tongkat” yang menggambarkan seseorang kehilangan tempat bergantung bukannya peribahasa “seperti nelayan kehilangan kail”? Mengapakah tidak tercipta peribahasa “bagai burung mendapat udang” untuk menggambarkan perasaan gembira seseorang kerana mendapat barang kesukaannya sebaliknya peribahasa bagi menggambarkan maksud tersebut ialah “bagai perempuan bunting bertemu idamannya”? Si buta yang kehilangan tongkat sebenarnya lebih sengsara daripada nelayan kehilangan kail, begitu juga bagi perempuan mengandung mendapat idamannya lebih menunjukkan kegembiraan berbanding burung yang mendapat udang. Kita perlu sedar bahawa perkataan yang digunakan itu merupakan kiasan yang tepat dan mempunyai nilai bagi menjelaskan sesuatu maksud.

Orang Melayu sebenarnya suatu bangsa yang tersusun dalam pelbagai bidang sejak dahulu lagi. Kemantapan orang Melayu dari segi politik, ekonomi dan sosial dapat kita kaji dan pelajari melalui kisah-kisah sejarah dan hasil karya lama. Imej itu merupakan imej orang Melayu yang dapat diperhatikan melalui khazanah ciptaan mereka iaitu peribahasa kerana peribahasa itu sendiri merupakan ayat atau kelompok kata yang teratur, ringkas dan padat.