TANGGAL 16 Mei setiap tahun telah diisytiharkan sebagai Hari Guru bagi meraikan warga pendidik di negara kita. Walaupun tarikh itu telah dua minggu berlalu, namun rasanya masih belum terlewat untuk kita membincangkan isu ini memandangkan jasa guru terlalu besar dalam pembinaan negara bangsa.

16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada tarikh yang sama dalam tahun 1956, Penyata Razak yang menjadi salah satu daripada empat laporan Jawatankuasa Pendidikan yang menjadi asas pendidikan di negara kita telah diluluskan oleh Majlis Perundangan Persekutuan Tanah Melayu.

Ada suatu kisah yang menarik tentang kemuliaan seorang guru. Sewaktu Imam Syafie sedang menyampaikan kuliah kepada ribuan muridnya, masuklah seorang lelaki Badwi yang amat comot serta busuk. Melihat lelaki Badwi itu, Imam Syafie berhenti daripada menyampaikan kuliah dan mendekati lalu memeluknya menyebabkan muridnya tergamam. Selesai sahaja menyampaikan kuliah, maka bertanyalah muridnya kepada Imam Syafie sebab beliau memeluk lelaki Badwi itu. Imam Syafie menjelaskan, walaupun lelaki Badwi itu busuk dan comot, tetapi itu gurunya. Semua murid beliau hairan kerana seorang yang jahil itu menjadi guru kepada Imam Syafie yang terkenal dengan ketinggian ilmunya. Lalu Imam Syafie menjelaskan bahawa lelaki Badwi itulah yang mengajarnya untuk membezakan antara anjing yang cukup umur dengan anjing yang belum cukup umur.

Bayangkan seorang yang mulia, berilmu dan dihormati seperti Imam Syafie sanggup merendah diri dengan memeluk seorang yang comot dan busuk hanya kerana mengajarnya untuk membezakan antara anjing yang cukup umur dengan belum cukup umur.

Walau apa-apa pun persepsi masyarakat terhadap mereka, guru seharusnya memainkan peranan yang berkesan kerana merekalah arkitek pembangunan bangsa dan negara. Guru tidak seharusnya hanya menjadi pengajar di dalam kelas kerana perkara itu masih belum cukup untuk menghasilkan modal insan bertaraf dunia.

Semua guru harus sedar bahawa peranan pertama mereka adalah sebagai mualim. Mualim ialah perkataan dalam bahasa Arab yang bermaksud orang yang ahli dalam agama atau guru agama. Sebagai mualim, isi kandungan pendidikan perlu disampaikan berserta ilmu yang berkaitan dengan nilai-nilai murni dalam melahirkan insan bermoral.

Guru juga sebagai murabbi yang bererti orang yang mendidik dan membimbing. Pendidik bukan sahaja mengajarkan ilmu tetapi dalam masa sama cuba mendidik rohani, jasmani, fizikal dan mental anak didiknya untuk menghayati dan mengamalkan ilmu yang telah dipelajari.

Guru memainkan peranan sebagai mudarris iaitu untuk mengembangkan kemahiran dalaman dan luaran murid-murid. Guru seharusnya pandai mengesan kemahiran yang dimiliki oleh murid, seterusnya bijak untuk mengembangkan bakat berkenaan.

Peranan guru seterusnya sebagai muaddib yang bermaksud pengajar, pengasuh atau pendidik. Maka guru seharusnya memainkan peranan untuk  memupuk adab, akhlak, nilai atau proses pembentukan disiplin dan sikap murid bagi membentuk sahsiah yang cemerlang.

Peranan guru yang tidak harus dilupakan adalah sebagai mursyid yang bertanggungjawab memberi tunjuk ajar terutamanya dalam bidang kerohanian.

Rasanya masih belum terlambat untuk saya ucapkan terima kasih dan Selamat Hari Guru kepada semua guru yang pernah bertugas di SK Kampong Baru, SM Tiang Chandi, SM Tengku Panglima Raja, Pasir Mas dan pensyarah-pensyarah USM serta semua guru di Malaysia. Marilah sama-sama kita zahirkan penghargaan atas sumbangan mereka. Kepada guru-guru yang telah pergi meninggalkan kita buat selamanya, marilah sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah buat mereka kerana tanpa mereka, kita tidak akan jadi seperti kita pada hari ini.

Selamat Hari Guru. “Guru: Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi”.