Imbuhan asli bahasa Melayu sebenarnya sudah lengkap untuk menampung keperluan bahasa Melayu selama ini. Namun, bertambahnya bidang ilmu dan ikhtisas yang baharu menyebabkan imbuhan asing dipinjam untuk menampung kemasukan bentuk-bentuk kata pinjaman dalam bahasa Melayu.

Pada kali ini, saya akan membincangkan imbuhan pinjaman daripada bahasa Sanskrit.

Imbuhan yang berasal daripada bahasa Sanskrit ialah jenis imbuhan yang sudah lama terserap ke dalam sistem tatabahasa bahasa Melayu. Imbuhan ini terbahagi kepada dua bentuk iaitu imbuhan awalan dan imbuhan akhiran.

Imbuhan awalan daripada bahasa Sanskrit yang pertama ialah  maha-. Imbuhan awalan ini membawa pengertian paling atau tahap terbesar, tertinggi dan teragung.

Contohnya, mahamenteri (ketua menteri), mahameru (gunung tempat tinggal segala dewa), mahaputera (warganegara yang sangat besar jasanya terhadap negara), maharana (perang besar) dan lain-lain lagi.

Imbuhan awalan daripada bahasa Sanskrit yang kedua ialah tata- yang digunakan khusus untuk menerbitkan kata nama yang membawa pengertian satu susunan atau peraturan. Kata nama yang popular ialah tataayat (ilmu tentang susunan kata dalam ayat), tatahukum (peraturan-peraturan mengenai hukum dalam sesebuah negara), tatakerja (peraturan bekerja), tatanegara (susunan dan bentuk pemerintahan negara) dan lain-lain lagi.

Imbuhan awalan pra- juga produktif dalam bahasa Melayu yang membawa pengertian sebelum atau syarat kepada sesuatu yang mengikutinya. Contohnya, prabayar (telah dibayar terlebih dahulu), prahaid (sebelum datangnya haid), prakarsa (inisiatif), pramatang (lahir tidak cukup bulan) serta beberapa perkataan lagi.

Imbuhan awalan pinjaman bahasa Sanskrit swa- membawa pengertian sendiri.

Perkataan yang terbentuk daripada peminjaman ini ialah swakarya (hasil kerja sendiri), swalayan (layan diri sendiri), swasta (mengendalikan kegiatan perusahaan sendiri), swadaya (kekuatan sendiri) dan lain-lain lagi.

Imbuhan awalan tuna- tidak produktif dalam bahasa Melayu tetapi sering terdapat dalam bahasa Indonesia. Imbuhan tuna-  menerbitkan kata nama yang memberi makna tiada atau tidak mempunyai. Contohnya, tunaaksara (buta huruf), tunaanggota (cacat anggota), tunabusana (tidak berpakaian bagi bangsa-bangsa yang masih rendah peradabannya) dan tunakarya (penganggur).

Imbuhan awalan eka-(satu), dwi-(dua), tri- (tiga) dan panca-(lima) menerbitkan kata nama yang membawa pengertian bilangan. Contohnya, ekabahasa (satu bahasa), dwifungsi (dua fungsi), tribulan (tiga bulan) dan pancaindera (lima deria)

Imbuhan awalan pinjaman daripada bahasa Sanskrit yang terakhir ialah pasca- yang bermaksud sesudah atau selepas. Contohnya, pasca majlis (selepas majlis), pasca matang (berkembang melebihi tempoh matang), pasca mati (selepas mati) dan pasca merdeka (selepas merdeka).

Imbuhan akhiran pinjaman daripada bahasa Sanskrit yang digunakan dalam bahasa Melayu ialah –wan, -man, -wati dan –nita.

Imbuhan –wan digunakan untuk kata dasar yang berakhir dengan huruf a. Contohnya, cendekiawan (orang cerdik pandai), hartawan (orang berharta) dan jelitawan (perempuan  jelita). Walaupun kata dasar ilmu berakhir dengan huruf u, imbuhan akhiran –wan juga digunakan menjadi ilmuwan. Bagi kata dasar yang berakhir dengan huruf i, imbuhan akhiran –man digunakan. Contohnya, budiman (berbudi) dan seniman (orang mempunyai bakat seni).

Imbuhan akhiran –wati dan –nita tidak produktif dalam bahasa Melayu. Contohnya, seniwati (bintang filem wanita), angkasawati (angkasawan wanita), biduanita (penyanyi perempuan), karyawanita (wanita penghasil karya) dan sukarelawati (orang perempuan yang melakukan sesuatu secara sukarela).

Jika bahasa Melayu melakukan peminjaman imbuhan asing bukan bermakna bahasa ini tidak mantap. Bahasa-bahasa yang mantap di dunia seperti bahasa Inggeris juga melakukan peminjaman sesuai dengan perkembangan semasa. Marilah sama-sama kita memartabatkan bahasa Melayu.

Akhir kata “Cintailah Bahasa Kita, Bahasa Jiwa Bangsa”.