SUATU hari ketika di sebuah klinik swasta, saya melihat seorang perempuan muda bercakap agak kasar terhadap seorang lelaki warga emas yang pada anggapan saya ialah bapanya.

Berdasarkan percakapan wanita itu juga dapat saya gambarkan bahawa dia tidak begitu berpuas hati kerana terpaksa meninggalkan kerjanya untuk membawa bapanya ke klinik sedangkan adik-beradiknya yang lain tidak begitu.

Apakah pandangan orang bangsa lain terhadap orang Melayu jika mereka ada bersama-sama wanita berkenaan di klinik swasta itu? Slogan “Bahasa Jiwa Bangsa” juga bermaksud bahasa yang digunakan oleh sesuatu bangsa itu termasuklah cara berbahasa melambangkan identiti bangsa berkenaan.

Jika cara berbahasanya kasar, sudah pasti bangsa berkenaan akan dianggap sebagai bangsa yang kurang berbudi bahasa.

Abdullah bin Masud pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang jenis amalan yang paling disukai ALLAH SWT, maka Baginda menjawab amalan tersebut ialah solat tepat pada waktunya.

Kemudian Abdullah bin Masud menanyakan Rasulullah lagi tentang amalan selain solat tepat pada waktunya yang disukai ALLAH SWT, lalu Baginda menjawab melakukan kebaikan kepada kedua-dua ibu bapa.

Apabila ditanya lagi tentang amalan lain yang disukai ALLAH SWT selain solat tepat pada waktunya dan melakukan kebaikan kepada kedua-dua ibu bapa, maka Baginda menjawab amalan itu ialah jihad kerana agama ALLAH SWT.

Berdasarkan kisah wanita muda dan bapanya di klinik swasta itu tadi, saya dapat membuat kesimpulan bahawa dia seolah-olah tidak berpuas hati terhadap adik-beradiknya yang lain kerana dikatakan tidak prihatin akan bapanya.

Siapakah sebenarnya yang bertanggungjawab menjaga ibu bapa? Banyak kejadian yang berlaku dalam dunia hari ini, adik-beradik bertelagah kerana masing-masing tidak mahu menjaga ibu bapa mereka yang telah tua.

Menjaga ibu bapa sebenarnya lebih dipertanggungjawabkan kepada anak lelaki kerana setelah berumah tangga dia masih perlu mendahulukan ibunya berbanding isterinya, sedangkan anak perempuan perlu mendahulukan suaminya berbanding bapanya.

Suami merupakan ketua keluarga yang mempunyai lebih kuasa di rumah berbanding isteri. Lagipun dalam pembahagian harta pusaka, seorang anak lelaki mendapat lebih harta berbanding anak perempuan mengikut faraid.

Hal ini membuktikan bahawa anak lelaki yang lebih bertanggungjawab menjaga ibu bapa.

Namun, tugas menjaga ibu bapa warga emas ini tidak seharusnya dielakkan oleh anak-anak sama ada anak lelaki atau anak perempuan.

Jangan sampai ada yang sanggup menghantar ibu bapa ke rumah orang-orang tua walaupun mereka telah berjaya mendidik anak-anak yang hebat dalam bidang masing-masing.

Semua anak seharusnya berbincang antara satu dengan lain untuk memastikan ibu bapa mereka hidup dengan gembira dalam menghabiskan sisa-sisa hidup mereka.

Jika anak perempuan yang menjaga ibu bapa mereka, berbincanglah elok-elok dengan suami. Insya-ALLAH, keluarga itu akan dirahmati ALLAH SWT.

Isteri akan dimurahkan rezeki oleh ALLAH SWT, manakala suaminya akan dipermudah segala urusan dan anak-anak juga akan berjaya dalam bidang masing-masing.

Begitu juga dengan anak lelaki, perbincangan dengan isteri perlu dilakukan agar isteri dapat menerima kehadiran ibu atau bapa mentuanya kerana isteri merupakan jeneral di dapur yang menjaga makan minum.

Keinginan ibu bapa juga harus diberi keutamaan kerana ibu bapa juga berhak untuk memilih rumah anaknya untuk didiami.

Realiti hari ini, ibu bapa lebih suka tinggal dengan anak perempuan kerana anaknya sendiri yang menguasai dapur dan lebih banyak masa di rumah. 

Pemilihan juga biasanya dibuat berdasarkan keselesaan tempat tinggal serta sikap anak, menantu dan cucu-cucunya.

Lebih baik sekiranya anak bergilir-gilir menjaga ibu bapa warga emas agar semua anak mendapat peluang untuk berbakti kepada ibu bapa mereka.

Sesungguhnya, ibu bapa merupakan anugerah ALLAH SWT yang sangat berharga kepada anak-anaknya. Sayangilah ibu bapa kita.

* Ruangan ini dikelolakan oleh DBP Wilayah Timur