SEORANG rakan menelefon saya untuk mendapat kepastian sama ada tema Hari Ulang Tahun Kemerdekaan ke-57 iaitu “Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta” gramatis ataupun tidak. Baginya, cinta ialah sesuatu yang abstrak, jadi tidak perlukan penjodoh bilangan “buah”.

Memang dari sudut bahasa, cinta ialah sesuatu yang abstrak dan tidak memerlukan penjodoh bilangan. Walau bagaimanapun disebabkan tema itu disedut daripada baris lagu Warisan nyanyian Allahyarham Sudirman Haji Arshad maka tema tersebut dapat diterima. Hal ini kerana dalam karya-karya sastera sama ada puisi atau lagu dibenarkan melakukan perlanggaran tatabahasa. Pengkarya-pengkarya dibenarkan melakukan perlanggaran tatabahasa atas alasan mereka mempunyai lesen puitika (licentia poetica) serta mempunyai kebebasan imaginatif dan linguistik untuk menyimpang atau meninggalkan aturan yang biasa digunakan.

Kata bilangan dalam bahasa Melayu memerlukan penjodoh bilangan sebagai pasangan yang berfungsi sebagai penerang bentuk atau keadaan pada kata nama yang mengikutnya.

Contoh penggunaan penjodoh bilangan yang sesuai bagi kata nama yang berupa manusia ialah gerombolan bagi merujuk kelompok manusia atau kumpulan orang jahat, kumpulan (dua orang atau lebih), orang (manusia), pasang (dua orang), pasukan (lebih daripada dua orang, tersusun, berpakaian seragam), rombongan (bilangan yang banyak) dan lain-lain. Contohnya:

(i) Segerombolan pengganas telah ditawan oleh pihak tentera.

(ii) Liga Super Malaysia melibatkan persaingan 12 pasukan dari seluruh negara.

Penjodoh bilangan yang sesuai untuk benda hidup yang bukan manusia ialah ekor (semua jenis binatang), kawan (haiwan yang hidup berkumpulan), kumpulan (haiwan yang bilangannya lebih daripada dua ekor), pasang (dua ekor) dan lain-lain, contohnya:

(i) Pak Yusof memelihara beberapa ekor kambing.

(ii) Puan Norizah membeli dua pasang kucing walaupun dihalang oleh suaminya.

Penjodoh bilangan juga digunakan untuk benda tidak hidup seperti helai (benda yang tipis), buah (benda yang bentuknya tidak tentu), butir (barang-barang kecil yang bulat), cubit (sebanyak yang dapat disepit dengan ibu jari dan jari telunjuk atau jari lain), biji (bagi benda kecil) dan lain-lain. Contohnya:

(i) Rahim membeli sebuah kereta untuk isterinya.

(ii) Beberapa helai baju kepunyaan Azman telah hilang.

Penjodoh bilangan bagi makhluk lain ialah ekor (syaitan, iblis, jin, hantu, raksasa, jembalang) dan orang (bidadari, pari-pari, bunian).

Bagi kata bilangan tak tentu (kecuali beberapa) seperti kebanyakan, semua, sesetengah, sebahagian dan setiap tidak memerlukan penjodoh bilangan. Contohnya:

(i) Kebanyakan guru di sekolah ini perempuan.

(ii) Sesetengah penulis telah mendapat latihan yang secukupnya.

Walau bagaimanapun, hanya kata bilangan tak tentu “beberapa” memerlukan penjodoh bilangan, contohnya:

(i) Beberapa orang murid telah mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

(ii) Beberapa buah kereta telah dicuri di taman perumahan itu.

Benda-benda mikroorganisma dan bersaiz halus seperti virus, ameba, kuman dan atom tidak memerlukan penjodoh bilangan.

Kata nama am tak hidup bukan institusi abstrak berbilang  seperti cinta, senyuman, hembusan, bayangan, pendapat, rancangan, gangguan dan lain-lain tidak memerlukan penjodoh bilangan tetapi sudah mencukupi jika dipadankan dengan kata bilangan satu, suatu atau tiap-tiap. Contohnya:

(i) Kami tahu bahawa mereka mempunyai suatu rancangan rahsia.

(ii) Setiap pendapat yang dikemukakan akan dipertimbangkan oleh urus setia.

Aspek penggunaan penjodoh bilangan sering diambil mudah oleh pengguna bahasa Melayu kerana aspek ini dikatakan telah dipelajari sejak bangku sekolah rendah lagi. Namun kesilapan sering dilakukan lantaran sikap ambil mudah ini walaupun telah dipelajari sejak sekian lama.