Seorang rakan secara berseloroh memberitahu bahawa dia “boleh” berpoligami kalau dia mahu. Saya menanyakannya sebab dia berkata sedemikian.

Katanya, dia mempunyai tubuh badan yang sihat serta berpendapatan tetap untuk menyara isteri-isteri serta zuriatnya.

Lantas saya menduganya dengan bertanya sama ada isterinya akan mengizinkannya berbuat demikian ataupun tidak.

Sambil ketawa dia menjelaskan bahawa sudah pasti isterinya tidak mengizinkannya. Saya berfikir, kalau begitu jawapannya, sudah pasti dia masih belum “boleh” berpoligami tetapi hanya “dapat”.

Itulah antara senario yang terjadi berkaitan penggunaan kata boleh dan dapat. Kata boleh dan dapat terdiri daripada kata bantu ragam yang hadir sebelum kata kerja dalam frasa kerja untuk menerangkan ragam atau suasana perasaan sesuatu perbuatan itu dilakukan. Walaupun kedua-dua kata ini terdiri daripada kata bantu ragam, namun cara penggunaannya amat berbeza.

Kata bantu ragam boleh bermaksud pengizinan dan kebenaran untuk melakukan sesuatu perbuatan. Pengizinan dan kebenaran ini diberi oleh orang atau pihak yang berkuasa terhadap pelaku sesuatu perbuatan. Contohnya:

(i)     Semua murid tidak boleh pulang selagi tidak menyiapkan kerja sekolah mereka.
(ii)     Indraputra Mahyuddin sudah boleh menyertai pasukan bola sepak Felda United setelah kontraknya dengan pasukan Kelantan tamat.
(iii)     Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang masih belum menjelaskan hutang mereka tidak boleh ke luar negara.
(iv)     Seseorang itu boleh berbuka puasa jika keadaan kesihatannya ketika itu mendatangkan mudarat akibat terus berpuasa.
(v)     Akibat keputusan peperiksaan yang kurang memuaskan hati ayah, adik tidak boleh keluar bermain dengan rakan-rakannya.

Kata bantu ragam dapat pula berfungsi untuk menerangkan tentang keupayaan serta kemampuan melakukan sesuatu perbuatan. Keupayaan dan kemampuan ini merangkumi aspek fizikal dan mental. Contohnya:

(i)     Aziman dapat menanam rumput di padang ragbi dalam masa seminggu.
(ii)     Basirah dapat menghasilkan sebuah novel dalam masa tiga hari.
(iii)     Rasid dapat mengutarakan hujah-hujah yang bernas dalam pertandingan bahas  pada minggu lepas.
(iv)     Seseorang suami sepatutnya dapat membahagiakan isterinya pada setiap masa.
(v)     Tidak pernah sekali pun pasukan bola sepak Arsenal dapat mengalahkan Manchester United di Old Trafford.

Dalam sesetengah keadaan, kata bantu ragam boleh dan dapat boleh bertukar ganti tetapi maksudnya sudah berbeza. Contohnya:

(i)     Azmi tidak boleh keluar rumah dari semalam.
(ii)     Azmi tidak dapat keluar rumah dari semalam.

Ayat (i) gramatis kerana membawa maksud Azmi tidak boleh keluar dari rumah dari semalam lagi kerana tidak mendapat kebenaran daripada ibu bapanya. Ayat (ii) juga gramatis kerana kemungkinan Azmi tidak berkeupayaan atau berkemampuan untuk keluar dari rumah dari semalam lagi kerana demam atau kakinya sakit. Begitu juga dengan ayat-ayat di bawah:

(iii) Lelaki itu boleh melancong ke luar negara walaupun tidak mempunyai wang.
(iv) Lelaki itu dapat melancong ke luar negara walaupun tidak mempunyai wang.
Ayat (iii) juga gramatis kerana membawa maksud lelaki itu dibenarkan oleh pihak agensi pelancongan untuk melancong ke luar negara walaupun tidak mempunyai wang. Begitu juga ayat (iv) yang bermaksud lelaki itu berkeupayaan atau berkemampuan untuk melancong ke luar negara walaupun tidak mempunyai wang. Kemungkinan dia berjaya menggunakan kaedah lain tanpa memerlukan wang untuk melancong ke luar negara.
Banyak orang melakukan kesalahan dalam aspek penggunaan kata bantu ragam boleh dan dapat, tetapi kita seharusnya berusaha untuk memperbetul sesuatu kebiasaan yang salah kerana yang biasa tidak semestinya betul. Akhir kata “Cintailah Bahasa Kita, Bahasa Jiwa Bangsa”.


*Ruangan ini dikelolakan oleh DBP Wilayah Timur