DALAM Islam, meminjam wang atau barangan hukumnya harus manakala memberi pinjaman ataupun hutang hukumnya sunat tetapi dalam keadaan tertentu hukumnya wajib.

Apabila kita tidak mampu dan berada dalam keadaan terdesak, maka kita wajar untuk meminjam barangan ataupun sesuatu manfaat daripada orang lain.

Kalau tidak meminjam barangan atau sesuatu manfaat, seseorang itu mudah terjebak dalam perkara-perkara negatif demi mendapatkan barangan dan manfaat tersebut.

Saya cuba mengaitkan konsep meminjam barangan atau manfaat ini dengan konsep meminjam istilah daripada bahasa asing. Memang benar, bahasa Melayu banyak meminjam istilah daripada bahasa asing kerana keperluan.

Terdapat istilah-istilah tertentu terutama dalam bidang-bidang baharu yang memerlukan kita meminjam istilah daripada bahasa asing seperti daripada bahasa Arab, Inggeris, Sanskrit, Portugis, Belanda dan sebagainya.

Lama-kelamaan istilah-istilah asing berkenaan telah terserap dan diterima sebagai istilah bahasa Melayu sehingga sesetengah orang tidak sedar istilah tersebut bukanlah asli daripada bahasa Melayu.

Banyak istilah daripada bahasa Arab yang terserap ke dalam bahasa Melayu disebabkan orang Melayu yang beragama Islam lebih rapat dengan bahasa Arab.

Antaranya ialah rujuk, ikhtiar, maklumat, salam, jiran, akhbar dan banyak lagi. Istilah-istilah ini perlu dipinjam daripada bahasa Arab bagi menjelaskan sesuatu maksud yang tidak mampu dijelaskan oleh istilah dalam bahasa Melayu.

Berbalik kepada konsep meminjam dan berhutang dalam Islam tadi, adakah kita perlu lagi berhutang atau meminjam barangan dan sesuatu manfaat daripada orang lain sedangkan kita sudah mampu memiliki barangan atau manfaat itu tanpa meminjam atau berhutang daripada orang lain? Rasanya tidak perlu kerana pasti akan membebankan kita pula suatu hari nanti.

Adakah konsep ini sama dengan konsep meminjam istilah bahasa asing seperti bahasa Arab walaupun dalam bahasa Melayu sudah terdapat istilah yang dapat menjelaskan sesuatu maksud dengan sempurna?

Kini kita dapat melihat banyak pihak yang cuba menggunakan istilah-istilah daripada bahasa Arab untuk menjelaskan sesuatu maksud walaupun sudah terdapat istilah dalam bahasa Melayu yang dapat menjelaskan sesuatu maksud dengan tepat.

Wasatiyyah menjadi istilah yang cukup popular setelah menjadi tema bagi sambutan Maal Hijrah di negara kita. Wasatiyyah bermaksud kesederhanaan.

Tiada salahnya jika kita menggunakan istilah bahasa Melayu iaitu kesederhanaan. Tiada salahnya jika kita menjadikan tema sambutan Maal Hijrah sebagai Kesederhanaan Tonggak Perpaduan Ummah.

Ramadan yang kita tinggalkan beberapa hari yang lalu menyaksikan banyak majlis berbuka puasa dianjurkan oleh pelbagai pihak.

Untuk kelihatan gah dan sedap didengar, majlis-majlis berbuka puasa telah dinamakan dengan iftar. Maksudnya tetap sama iaitu berbuka puasa. Tiada salahnya jika kita menggunakan frasa majlis berbuka puasa.

Begitu juga istilah walimatulurus yang bermaksud kenduri perkahwinan, tetapi masyarakat lebih gemar menggunakan walimatulurus.

Pernahkah kita melihat kad undangan perkahwinan yang menggunakan tajuk kenduri perkahwinan? Rasanya setakat ini tidak ada.

Fenomena seperti ini berlaku kerana faktor bahasa Arab merupakan bahasa ibadat dan bahasa syurga yang lebih dekat dengan hati masyarakat Islam terutama untuk menggambarkan istilah-istilah agama.

Kebanyakan istilah digunakan berkaitan agama yang dianggap oleh masyarakat lebih tepat jika digunakan istilah bahasa Arab.

Terdapat beberapa istilah lain daripada bahasa Arab yang digunakan dalam bahasa Melayu walaupun sudah terdapat istilah yang tepat dalam bahasa Melayu.

Hal ini demikian kerana sesuatu organisasi itu berusaha untuk mengekalkan imej dan identiti yang dibawanya lebih-lebih lagi organisasi berkenaan berimej Islam.

Antara istilah yang selalu digunakan ialah ijmak ulama yang bermaksud kesepakatan pendapat para ulama, ijtimak (perhimpunan), muktamar (persidangan besar), Muslimat (wanita) dan banyak lagi. Istilah-istilah ini digunakan supaya sesuai dengan imej yang dibawa oleh sesuatu organisasi.

Semua istilah ini suatu hari nanti akan diserap terus ke dalam bahasa Melayu kerana faktor penggunaan popular. Kita boleh menggunakan istilah-istilah dalam bahasa Arab ini tetapi janganlah pula menguburkan terus istilah dalam bahasa Melayu yang telah kita miliki.

Dirgahayu Bahasaku.

* Ruangan ini dikelolakan oleh DBP Wilayah Timur