DALAM mata pelajaran Matematik, terdapat tajuk “Penaakulan Matematik”. Apabila sesuatu pernyataan diberi, maka penafian terhadap pernyataan itu juga harus dibuat dengan menggunakan perkataan bukan dan tidak.

Perkataan bukan dan tidak ini pula tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya bagi setiap penafian kerana jawapan yang diberi dianggap salah.

Saya cuba mendapatkan penjelasan lanjut daripada seorang guru Matematik yang agak senior untuk mengetahui kaedah penggunaan bukan dan tidak dalam membuat penafian sesuatu pernyataan agar mendapat markah bagi setiap jawaban murid.

Kata beliau, penafian pernyataan dibuat berdasarkan keserasian penggunaan dalam ayat serta sedap didengar tanpa mempunyai rumus-rumus tertentu. Contohnya:

(i)     20 tidak boleh dibahagi dengan 3.
Penafian menggunakan perkataan tidak  lebih serasi dan sedap didengar berbanding penafian menggunakan bukan, contohnya:

(ii)     20 bukan boleh dibahagi dengan 3.
Contoh ayat (ii) dianggap salah kerana tidak serasi dan tidak sedap didengar berbanding penafian menggunakan  tidak.

Dalam bahasa Melayu, penggunaan bukan  dan tidak  dikategorikan sebagai kata nafi. Kata nafi ialah unsur yang menyatakan maksud nafi atau negatif kepada unsur utama dalam predikat itu.

Hal ini demikian bermakna, kita perlu melihat golongan kata unsur utama atau inti dalam predikat sebelum dapat menggunakan kata nafi bukan  atau  tidak dengan tepat.

Dalam bahasa Melayu, kata nafi bukan digunakan untuk menafikan predikat yang terdiri daripada frasa nama dan frasa sendi nama. Contoh penggunaan kata nafi  bukan  untuk menafikan predikat frasa nama ialah:

(i)     16 bukan nombor perdana.
(ii)     Haslina bukan orang Pulau Pinang.
    
Dalam kedua-dua ayat di atas, penggunaan kata nafi bukan amat tepat kerana unsur utama atau inti dalam predikat ialah kata nama, iaitu nombor dan orang  menjadikan predikat dalam ayat itu ialah frasa nama.

Kata nafi bukan juga digunakan untuk menafikan predikat yang terdiri daripada frasa sendi nama. Contohnya:

(i)     Dia bukan dari pekan.
(ii)     Surat itu bukan daripada Shaffie.
    
Dalam kedua-dua ayat di atas, kata nafi bukan sepatutnya digunakan kerana berfungsi untuk menafikan predikat yang terdiri daripada frasa sendi nama. Frasa dari pekan dan daripada Shaffie terdiri daripada frasa sendi nama.

Satu lagi kata nafi ialah tidak,  yang digunakan untuk menafikan predikat terdiri daripada frasa kerja dan frasa adjektif (sifat). Contoh penggunaan kata nafi tidak untuk menafikan frasa kerja ialah:

(i)     Titik (3,0) tidak terletak di atas paksi - y.
(ii)     Azemi tidak mengendahkan teguran Fadzil.

Frasa terletak di atas paksi – y dan mengendahkan teguran Fadzil terdiri daripada frasa kerja, maka kata nafi  tidak  sepatutnya digunakan.

Kata nafi tidak  juga berfungsi untuk menafikan predikat yang terdiri daripada frasa adjektif (sifat). Contohnya:

(i)     Bentuk sfera tidak bulat.
(ii)     Lokman tidak pandai menyanyi lagu “Widuri”.
        
Dalam kedua-dua ayat di atas, predikatnya, iaitu bulat dan pandai menyanyi lagu Widuri terdiri daripada frasa adjektif (sifat).

Kata nafi bukan  boleh digunakan untuk menafikan predikat yang terdiri daripada frasa kerja dan frasa adjektif (sifat) jika membawa maksud pertentangan maklumat. Contohnya:

(i)     Mukhtar bukan tidur, tetapi hanya memejamkan matanya.
(ii)     Zakiah bukan  berlari, sebaliknya berjalan cepat.
    
Bahasa Melayu sebenarnya merentasi kurikulum dalam pendidikan kita. Kita mestilah yakin dan percaya bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa pendidikan di negara kita.

Jangan pisahkan bahasa Melayu dengan bidang-bidang lain di negara tercinta ini. Akhir kata “Cintailah Bahasa Kita, Bahasa Jiwa Bangsa”.

* Ruangan ini dikelolakan oleh DBP Wilayah Timur