KEHADIRAN bulan Ramadan amat dinanti oleh seluruh umat Islam di dunia kerana berpeluang untuk meningkatkan ibadat kepada ALLAH SWT. Pada bulan ini ALLAH SWT telah menjanjikan suatu malam penuh keberkatan, iaitu lailatulqadar yang lebih mulia daripada seribu bulan lain.

Kehadiran Ramadan juga telah memberikan peluang kepada peniaga-peniaga untuk menjual makanan kepada umat Islam yang berpuasa. Pendek kata, di mana-mana sahaja terdapat bazar Ramadan. Anehnya, bazar-bazar ini hanya muncul ketika Ramadan tetapi tidak pula wujud pada bulan-bulan lain seperti Syawal, Zulkaedah dan Zulhijah.

Sepanjang pemerhatian saya ketika berkunjung ke bazar Ramadan, terdapat pelbagai cara untuk mengeja Ramadan. Ada yang mengeja sebagai Ramadan malah ada juga yang mengejanya sebagai Ramadhan. Dalam kedua-dua ejaan tersebut, ejaan 'Ramadhan' yang paling banyak ditemui. Persoalannya, bagaimanakah cara mengeja perkataan tersebut dengan tepat?

Ejaan yang tepat ialah Ramadan walaupun perkataan tersebut dipinjam daripada bahasa Arab. Sesuatu perkataan yang dipinjam daripada bahasa Arab apabila diserap ke dalam bahasa Melayu, maka akan berlaku penyesuaian ejaan dengan membuat perubahan daripada ejaan bahasa Arab kepada bentuk ejaan bahasa Melayu mengikut kaedah-kaedah tertentu.

Secara mudahnya dapat dikatakan bahawa perkataan asing yang diserap ke dalam bahasa Melayu telah ditukar mengikut sistem ejaan Rumi baharu agar kita mendapat kata pinjaman yang bersifat bahasa Melayu.

Begitu juga bagi perkataan reda yang bermaksud bersedia dengan ikhlas hati ataupun rela sepatutnya dieja reda bukannya "redha”. Ejaan ini sama dengan reda yang bermaksud mulai berkurang ataupun hampir berhenti, cuma cara sebutannya sahaja yang berbeza. Reda yang bermaksud bersedia atau rela menggunakan bunyi e (taling) manakala reda yang bermaksud mulai berkurang atau hampir berhenti menggunakan e (pepet).

Bagi perkataan pinjaman daripada bahasa Arab, bunyi 'dh' telah berubah menjadi 'd' sahaja, contohnya dhaif menjadi daif,  dhobi (dobi), hadhir (hadir), fardhu (fardu), dhif (dif), dharab (darab), dharurat (darurat) dan lain-lain lagi.

Bunyi 'dz'telah disesuaikan menjadi 'z' sahaja, contohnya dzalim menjadi zalim, dzat (zat), dzikir (zikir), adzab (azab), adzan (azan) dan lain-lain.

Bunyi 'sh' telah disesuaikan dengan bunyi 'sy' bagi perkataan bahasa Arab yang diserap ke dalam bahasa Melayu seperti sharat menjadi syarat, isharat (isyarat), shaitan (syaitan), masharakat (masyarakat) dan skuash (skuasy).

Bagi bunyi 'q' pula telah disesuaikan dengan bunyi 'k' dalam bahasa Melayu, contohnya qadhi menjadi kadi, maqam (makam), aqiqah (akikah), qalbu (kalbu) dan lain-lain.

Bunyi 'th' pula telah disesuaikan dengan bunyi 's' seperti Ithnin menjadi Isnin, Thalatha (Selasa), mithal (misal), bahath (bahas), thalji (salji) dan lain-lain.

Bagi mengelakkan kekeliruan, kita perlu tahu bahawa hanya terdapat lima konsonan gabungan (digraf) dalam bahasa Melayu, iaitu ng, ny, kh, gh dan sy.

Dalam keadaan-keadaan tertentu, atas dasar istilah pinjaman daripada bahasa Arab berkait dengan akidah dan al-Quran yang tidak ada perkataan sepadan, maka ejaannya dikekalkan mengikut bunyi asalnya, seperti qada, qadak, qari, qasar, qasidah, qiamullail, qidam, qunut, Quran, lailatulqadar, fasakh, dan lain-lain lagi.

Tidak ada suatu bahasa pun di dunia yang kebal tanpa menerima serapan daripada bahasa asing, termasuklah bahasa-bahasa yang sudah mantap seperti bahasa Inggeris atas dasar keperluan penggunaannya. Proses peminjaman dilakukan dengan tujuan mendukung konsep atau perkara baharu timbul dalam masyarakat pengguna bahasa itu.

Apabila ada perkataan baharu dalam sesuatu bahasa, membuktikan bahawa bahasa itu pesat berkembang di dunia. Bahasa Inggeris juga meminjam perkataan amuk daripada bahasa Melayu untuk menggambarkan tindakan menyerang secara membabi buta.

Namun demikian, dalam keghairahan kita menyerap perkataan asing ke dalam bahasa kita, identiti bahasa kita haruslah dikekalkan selagi tidak merosakkan makna perkataan yang dipinjam tersebut.


*Ruangan ini dikelolakan oleh DBP Wilayah Timur