PADA minggu lepas saya berpeluang untuk menghadiri mesyuarat agung suatu pertubuhan bukan kerajaan di sebuah hotel setelah diundang oleh seorang rakan yang merupakan ahli jawatankuasa pertubuhan tersebut.

Setelah membelek-belek buku program mesyuarat berkenaan yang terdiri daripada empat muka surat itu, saya berasa sangat pilu. Sebagai seorang yang cinta akan bahasa Melayu, saya berasa begitu terpukul apabila dapat mengesan 13 kesalahan bahasa daripada buku program yang jumlah perkataan terkandung di dalamnya hanya kurang lebih 100 patah perkataan.

Pada kulit hadapan buku program tersebut tertulis Mesyuarat Agong Persatuan... yang ternyata salah dari segi ejaannya. Perkataan “Agong” ternyata dieja secara tidak betul kerana ejaan yang sebenar ialah Agung. Dalam pola keselarasan vokal bahasa Melayu tidak terdapat pola a-o tetapi yang ada hanyalah a-u. Cuma dalam frasa Yang di-Pertuan Agong sahaja yang mencatatkan ejaan Agong kerana terdapat kekecualian walaupun bertentangan dengan pola ayat dasar bahasa Melayu lantaran frasa ini wujud sebelum 16 Ogos 1972 lagi.

Penggunaan kata majmuk yang salah juga dapat dikesan dalam buku program ini kerana kata majmuk yang tercatat ialah “aturcara”, “urussetia” dan “tengahhari”. Ketiga-tiga perkataan ini dieja secara tidak tepat kerana perkataan-perkataan itu sepatutnya dieja sebagai atur cara, urus setia dan tengah hari. Hal ini kerana ketiga-tiga perkataan itu terdiri daripada kata majmuk tidak mantap yang sepatutnya dieja secara terpisah.

Mata saya segera menangkap ejaan “sessi” yang terdapat dalam klausa Mesyuarat Agong Persatuan...... Sessi 2013/2014. Perkataan ini merupakan perkataan yang kita pinjam daripada bahasa Inggeris iaitu session. Apabila ditukar kepada bahasa Melayu, ejaan yang sepatutnya ialah sesi kerana tidak dibenarkan menggunakan dua konsonan yang sama secara berturutan. Hal ini sama dengan konsep ejaan bagi hajah, majalah dan musala.

Saya difahamkan bahawa mesyuarat agung berkenaan ialah mesyuarat kali keempat diadakan kerana tertera kali ke 4. Huruf ‘e’ dalam perkataan “ke” perlu dipisahkan daripada angka empat dengan menggunakan tanda sempang (-). “Kali ke 4” yang terdapat dalam buku program tersebut perlu ditulis sebagai kali ke-4. Tanda sempang (-) juga perlu digunakan untuk memisahkan antara huruf besar dengan huruf kecil, contohnya pro-Jepun, anti-Amerika serta bagi menulis perkataan  e-mel (singkatan bagi electronic mail dalam bahasa Inggeris).

Dalam atur cara majlis perasmian terdapat “kata-kata aluan” yang ternyata tidak tepat penggunaannya. Frasa yang sepatutnya digunakan ialah kata alu-aluan kerana yang ditekankan ialah perbuatan mengalu-alukan tetamu yang biasanya dilakukan oleh tuan rumah bagi majlis berkenaan.

“Juru” merupakan imbuhan dalam bahasa Sanskrit yang bermaksud orang yang mahir dalam sesuatu bidang. Oleh sebab juru merupakan imbuhan maka juru perlu dieja bercantum dengan perkataan selepasnya seperti jurulatih, juruhebah, juruukur dan lain-lain lagi. Jadi, ejaan “juru acara” yang terdapat dalam buku program tersebut tidak tepat kerana ejaan yang sebenar ialah juruacara.

Selain kesalahan-kesalahan yang dinyatakan di atas, terdapat beberapa kesalahan lain seperti penggunaan kata sendi di atas dalam ayat “Terima kasih diucapkan kepada semua pihak di atas sumbangan yang telah diberikan”. Penggunaan kata sendi “di atas” dalam ayat di atas tidak gramatis kerana “di atas” merupakan kata sendi yang menunjukkan tempat sedangkan sumbangan bukannya tempat. Jadi ayat yang sepatutnya ialah “...semua pihak atas sumbangan...”. Kesalahan-kesalahan lain yang dapat dikesan ialah ejaan “setia usaha” dan “jawatan kuasa” yang sepatutnya dieja setiausaha dan jawatankuasa kerana kedua-duanya merupakan kata majmuk mantap yang perlu dieja bercantum.

Sungguh memalukan jika di Malaysia yang dikatakan mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi terdapat kesalahan bahasa yang berleluasa. Apabila menyebut bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi bukanlah bermakna kita hanya perlu bertutur dalam bahasa Melayu sedangkan terdapat pelbagai kesalahan yang sengaja dibiarkan tanpa dihiraukan.


Ruangan ini dikelolakan oleh DBP Wilayah Timur