APABILA membaca kisah kejayaan Dolhi-Albert Holding menguasai perniagaan di Malaysia, tentu kita semua akan berasa bangga kerana kedua-dua ahli perniagaan berbangsa Melayu dan Cina ini dapat bekerjasama bagi membangunkan perniagaan milik mereka.

Walaupun kisah itu hanyalah secebis daripada sinopsis novel Renyah karya Gunawan Mahmood, namun cukup mengesankan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada masyarakat majmuk.

Renyah merupakan novel yang dipelajari oleh pelajar tingkatan empat di negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Melaka sebagai komponen sastera (Komsas) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.

Mesyuarat Jemaah Menteri Bil. 4/99 bertarikh 24 Februari 1999 mencadangkan agar Komsas dimasukkan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dari tingkatan satu hingga tingkatan lima.

Pengajaran Komsas dalam mata pelajaran Bahasa Melayu ini diharapkan dapat membina insan yang positif terhadap ilmu dalam kehidupan.

Kewujudan media sosial yang pelbagai menyebabkan pelbagai unsur negatif disebarkan. Kenyataan berbaur hasutan, fitnah dan sensitif sering menjadi perkara biasa dalam masyarakat.

Jika tidak ditangani, sudah pasti Gagasan 1Malaysia yang sama-sama kita impikan hanya akan menjadi satu mimpi.

Pengajaran Komsas diyakini mampu menjadi wadah yang paling efisien untuk menentang pengaruh negatif ini kerana penyemaian unsur perpaduan amat sesuai dilakukan sejak di bangku sekolah.

Hal ini demikian kerana pada usia muda amat sesuai untuk membentuk diri seseorang bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Masa seseorang pelajar itu berada di sekolah juga panjang iaitu dalam lingkungan tujuh atau lapan jam sehari.

Gagasan 1Malaysia ialah satu gagasan bagi memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat.

Perpaduan di Malaysia berbeza dengan negara lain kerana di sini identiti kaum dikekalkan tetapi di negara lain, identiti kaum dilenyapkan dan diganti dengan satu identiti sama.

Karya-karya yang dipilih oleh Dewan Bahasa dan Pustaka untuk dijadikan teks Komsas di sekolah amat sesuai sebagai wadah perpaduan.

Contohnya, beberapa karya yang dipelajari pelajar tingkatan empat dan lima jelas menggambarkan usaha pemupukan perpaduan di Malaysia. Antara karya yang dikesan mempunyai unsur pemupukan perpaduan selain novel Renyah ialah prosa tradisional “Hikayat Indera Nata”, cerpen “Mellisa”, drama “Forum Remaja 2020”, drama “Cempaka Berdarah”, sajak “Di Bawah Langit yang Sama” dan cerpen “Pungut alias Zahara alias Yap Siew Hong”.

Paling jelas unsur perpaduan digambarkan dalam cerpen “Mellisa”.

Cerpen ini mengisahkan persahabatan (mungkin cinta monyet) antara Mellisa dan Hisyam. Walaupun kedua-dua kanak-kanak ini berlainan bangsa namun tidak menghalang mereka untuk bersahabat dengan intim.

Keakraban mereka telah diragut peristiwa 13 Mei 1969 apabila Hisyam dan ibunya terbunuh sehingga Mellisa benar-benar sedih.

Mellisa juga pernah melihat kesengsaraan yang dihadapi oleh orang Cina akibat daripada peristiwa tersebut lalu dia membuat kajian tentang punca peristiwa berdarah tersebut agar detik hitam itu tidak berlaku lagi. Akhirnya, Mellisa menyertai pasukan bersenjata demi cintanya akan negara.

Guru-guru Bahasa Melayu perlu memastikan Komsas yang diajar di sekolah berjaya memulakan usaha untuk memupuk perpaduan di Malaysia.

Sikap kurang berminat terhadap sastera dalam kalangan pelajar perlu ditangani dengan guru perlu kreatif semasa mengajar.

Janganlah pula guru mengajar Komsas untuk persediaan pelajar menghadapi peperiksaan sahaja kerana matlamatnya sebenar bukanlah setakat itu.

*Ruangan ini dikelolakan oleh DBP Wilayah Timur