BAGI individu yang amat rapat hubungannya dengan laman-laman sosial, sudah pasti dapat mengagak perkataan atau istilah yang paling popular digunakan dalam saluran komunikasi terkini itu.

Perkataan atau istilah yang dimaksudkan ialah kipidap yang telah diperkenalkan oleh Abdul Rani Kulup. Tidak banyak orang yang tahu maksud istilah kipidap itu, malahan ada yang menggunakannya hanya sekadar mengikut perkembangan semasa sedangkan tidak tahu maksudnya.

Penciptaan istilah kipidap ini merupakan salah satu proses kedinamikan berbahasa.

Kedinamikan berbahasa ini dinamakan slanga. Nik Safiah Karim mendefinisikan slanga sebagai bahasa yang tergolong dalam bahasa terhad kerana mempunyai ciri-ciri tertentu dan hanya digunakan dan difahami oleh golongan tertentu.

Slanga juga hanya dibenarkan untuk digunakan dalam urusan yang tidak rasmi.

Sebenarnya istilah kipidap diambil daripada bahasa Inggeris iaitu keep it up. Hal ini menunjukkan bahawa slanga dicipta melalui pelbagai proses dan salah satu prosesnya ialah melalui pinjaman daripada bahasa asing.

Selain istilah kipidap, terdapat beberapa slanga lain yang diambil daripada bahasa asing seperti phiksek yang bermaksud istimewa dalam bahasa Thai, tammada (bermaksud biasa-biasa saja dalam bahasa Thai), matai (bermaksud mati dalam bahasa Iban), tapau (bermaksud bungkus dalam bahasa Hokkien) serta istilah-istilah lain.

Slanga-slanga ini digunakan oleh kumpulan tertentu untuk berkomunikasi antara satu dengan lain sedangkan dalam masa yang sama individu yang bukan daripada kumpulan itu tidak memahami maksudnya.

Pada zaman persekolahan sekitar tahun 80-an dulu, penulis kadang-kadang berasa cemburu melihat gelagat beberapa orang rakan yang berkomunikasi dengan menggunakan bahasa yang penulis sendiri tidak fahami.

Penulis masih ingat antara dialog yang digunakan ialah mu’u teri cekek te’erlabik?. Setelah beberapa kali ditanya, akhirnya mereka memberitahu bahawa maksud dialog itu ialah mu reti kecek (cakap) terbalik?

Penggunaan bahasa terbalik ini juga termasuk dalam slanga kerana hanya difahami oleh ahli kumpulan tertentu.

Terdapat banyak lagi slanga yang tercipta melalui proses keterbalikan perkataan seperti durin yang bermaksud rindu, ciben (benci), rahma (marah), juba (baju) dan beberapa istilah lain.

Ada juga slanga yang tercipta daripada perkataan yang sama dengan melakukan sedikit pengubahsuaian tetapi masih membawa maksud yang sama seperti jilake yang bermaksud celaka, cintan (cinta), tomei (comel), windu (rindu) dan istilah-istilah lain yang selalu digunakan oleh remaja.

Beberapa peristiwa yang berlaku di seluruh dunia telah dijadikan slanga oleh penggunanya bagi menggambarkan situasi yang lain. Peristiwa-peristiwa yang telah dijadikan slanga ialah gempa bumi yang menggambarkan bunyi orang berkentut, banjir kilat (kencing malam di atas tilam), bulan puasa (suami yang isterinya bersalin), tsunami (orang yang kuat makan), gunung berapi (orang yang kuat berdengkur) serta beberapa slanga lain berasaskan peristiwa.

Beberapa orang personaliti terkenal serta watak dalam filem turut dijadikan slanga bagi menggambarkan perwatakan personaliti atau watak tersebut, antaranya The Rock bagi menggambarkan orang yang dapat mengangkat keningnya, Sharif Dol (samseng kampung), Genji (orang yang suka bergaduh), SpongeBob (orang yang bersuara nyaring), Kajol (orang berhidung mancung) dan beberapa slanga lain.

Penulis juga ingin mengongsikan beberapa slanga yang dicipta bagi menggambarkan sesuatu perkara yang mempunyai persamaan terutama dari segi bentuknya. Slanga-slanga tersebut ialah cadbury bagi menggambarkan telefon bimbit, roti (tuala wanita), stoking (kondom), ubat nyamuk (rokok), baju besi (ikan cencaru) dan beberapa slanga lain.

Slanga berkembang mengikut peredaran zaman dan kadang-kadang berubah mengikut perkembangan semasa. Dahulu orang menggunakan istilah mambang, kemudian mata air, pak we, mak we, dan kini cikaro yang semuanya bermaksud kekasih.

Selagi dunia berkembang, selagi itulah bahasa sentiasa berubah. Perkembangan bahasa ini menunjukkan bahawa bahasa itu bersifat dinamik.

Kita mustahil dapat menghalang perkembangan slanga lebih-lebih lagi ketika manusia menjadikan teknologi maklumat dan laman-laman sosial sebagai sahabat yang paling setia.

* Ruangan ini dikelolakan oleh DBP Wilayah Timur