PERKEMBANGAN bahasa slanga dalam kalangan remaja dikatakan mampu mencemarkan bahasa Melayu. Persoalannya, adakah perkembangan bahasa slanga dalam kalangan remaja mampu dikawal?

Jawapannya tidak, kerana selagi ada remaja, selagi itulah bahasa slanga akan terus berkembang kerana ciri-ciri remaja itu sendiri telah menyebabkan perkembangan bahasa slanga.

Bahasa slanga ialah bahasa yang digunakan oleh satu kelompok manusia dan hanya kelompok tersebut sahaja yang memahaminya serta dianggap bahasa yang tidak rasmi. Bahasa slanga yang digunakan juga berbeza antara satu tempat dengan tempat yang lain.

Bahasa slanga pada mulanya digunakan oleh pelajar-pelajar universiti kerana persekitaran mereka menyebabkan berkembangnya bahasa ini.

Antara contoh bahasa slanga dalam kalangan pelajar universiti seperti yang ditulis oleh Nik Safiah Karim dalam bukunya ialah snake (pensyarah yang tidak memberi soalan peperiksaan kepada mahasiswa seperti yang dikehendaki), kacang (mata pelajaran yang senang), koyak (gagal), karipap (gred D) dan lain-lain lagi.

Selepas pelajar-pelajar universiti, artis-artis rok juga banyak menyuburkan bahasa slanga. Istilah-istilah seperti tangkap leleh (mengasyikkan), tangkap cintan (jatuh cinta), tangkap nangis (sedih) dan mengancam (hebat) begitu popular.

Kumpulan yang ketiga sering dikaitkan dengan bahasa slanga ialah remaja. Antara istilah yang popular dalam kalangan remaja ialah  mat rempit (remaja yang menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya), cun (cantik), jambu (cantik), balak (teman lelaki), pak we (teman lelaki), mak we (teman wanita), skema (terlalu mengikut peraturan), dan lain-lain lagi.

Bahasa slanga yang digunakan berbeza antara satu kumpulan dengan kumpulan yang lain. Contohnya, ada kumpulan yang menggunakan ayam, burung atau sanggul untuk merujuk kepada pelacur.

Bahasa slanga juga telah dikenal pasti wujud dalam bahasa-bahasa lain di dunia seperti bahasa Inggeris, contohnya, whale tail iaitu ikatan pinggang berbentuk ‘Y’ pada seluar dalam, muffin-top (bahagian daging daripada pinggang yang terjulur keluar apabila memakai seluar atau skirt yang ketat).

Dalam mencipta bahasa slanga, mungkin si pencipta tidak sedar antara kaitan bahasa slanga yang dicipta dengan maksud yang sebenar kerana penciptaan itu mungkin dilakukan secara spontan. Namun demikian, lama-kelamaan bahasa slanga itu terus berkembang dan digunakan oleh remaja-remaja lain.

Ada slanga-slanga tertentu yang dicipta berdasarkan perbuatan yang sama antara slanga tersebut dengan maksud sebenar yang hendak disampaikan, contohnya, mengisi (memukul orang), berbunga (berdating), relay (menghisap rokok secara bergilir-gilir bagi sebatang rokok), jimat (kedekut), mengopi (meniru dalam peperiksaan) dan 4 x 4 (sebatang rokok dihisap oleh empat orang remaja)

Terdapat banyak bahasa slanga yang dicipta mempunyai bentuk yang sama dengan maksud sebenar yang hendak disampaikan.

Sebagai contohnya, so’oh  (perut buncit), pejabat (tandas tempat pelajar sekolah merokok), spot light (mata luas), karipap (gred D dalam peperiksaan), loga (rambut keriting) dan fear factor (makanan tidak menyelerakan yang disediakan).

Ada juga bahasa slanga yang dicipta oleh remaja untuk meringkaskan urusan kehidupan mereka termasuk dalam soal menyebut sesuatu istilah. Hal ini berlaku kerana  kehidupan mereka yang selalu sibuk dengan pelbagai urusan terutama hal-hal pelajaran.

Antara bahasa slanga yang telah dicipta ialah cipop (jerawat), CC (cyber café), sipon (pondan), ciles (lesbian), rong (rongak), Add Math (Additional Mathematics) dan Mod Math (Matematik Moden).

Pada zaman globalisasi ini, terdapat pelbagai medium yang menjadi bahan untuk menyampaikan maklumat dan menjadi kegilaan remaja seperti internet, khidmat pesanan ringkas (SMS), blog, WhatsApp, Twitter dan Facebook.

Akibatnya, remaja menggunakan medium globalisasi ini untuk berhubung antara satu sama lain dan secara langsung telah mengembangkan lagi bahasa slanga dengan lebih mudah.

Walau bagaimanapun bahasa slanga ini perlu dikawal supaya tidak digunakan dalam urusan rasmi, waima perkembangannya tidak dapat disekat.