HATI kecil ini tersentuh apabila membaca beberapa peribahasa yang ditulis oleh golongan remaja, antaranya sekali air bah, habis seluruh dunia; belum duduk, sudah terjatuh dan besarlah dapur, besarlah keraknya.

Bagi golongan remaja, kehidupan pada zaman moden perlu lebih pantas dan ringkas. Maklumat perlu disampaikan dengan segera supaya kita tidak ketinggalan. Sehubungan itu, mereka menganggap bahawa peribahasa bukan lagi suatu keperluan yang harus diutamakan.

Kalau pihak-pihak yang berkaitan seperti ibu bapa dan guru tidak memainkan peranan penting dalam menyuburkan penggunaan peribahasa dalam kalangan remaja, sudah pasti peribahasa Melayu bukan lagi dianggap sebagai khazanah yang patut dibanggakan.

Bahasa Jiwa Bangsa merupakan suatu moto yang harus sama-sama kita renungi. Melalui aktiviti berbahasa, sesuatu bangsa itu dapat dikenal identitinya, justeru penggunaan peribahasa Melayu perlu dikekalkan dalam kalangan remaja kerana peribahasa melambangkan kelembutan dan sopan-santun bangsa Melayu.

Sebenarnya kita tidak boleh sewenang-wenangnya mencipta peribahasa mengikut kemahuan sendiri kerana peribahasa ialah ayat atau kelompok kata yang mempunyai susunan yang tetap dan mengandungi pengertian khusus.

Peribahasa telah dicipta oleh orang-orang terdahulu melalui pemerhatian dan kajian yang teliti. Pemilihan perkataan juga amat sesuai dengan maksud yang hendak disampaikan selain menonjolkan keindahan bahasa Melayu itu sendiri.

Kebanyakan peribahasa Melayu menggambarkan alam sekitar sama ada hutan, hujan, sungai, bukit, angkasa, laut, darat dan lain-lain.

Peribahasa popular yang melambangkan alam sekitar antaranya ialah sikit-sikit, lama-lama jadi bukit; harapkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari; ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni; dan lain-lain.

Berdasarkan peribahasa yang dinyatakan, jelas menunjukkan orang Melayu amat rapat dengan alam sekitar sama ada hutan, hujan, laut, sungai, bukit, angkasa dan darat. Kehidupan orang Melayu tradisional amat rapat dengan alam sekitar kerana di situlah mereka hidup dan mencari rezeki. Hasil daripada kehidupan mereka yang rapat dengan alam sekitar, mereka berasa sangat tenang lalu mengaitkan kehidupan mereka dengan alam sekitar.

Melalui pengamatan kita berdasarkan penciptaan peribahasa Melayu yang berkaitan alam sekitar membuktikan bahawa masyarakat Melayu amat peka akan alam sekeliling.

Mereka mengambil perlambangan alam sebagai wahana untuk menyampaikan maksud mereka. Perlambangan ini tidak mungkin dapat dihasilkan tanpa pemerhatian dan kepekaan masyarakat terhadap alam sekitar.

Perkara ini bukanlah sesuatu yang pelik kerana orang-orang Melayu memang terkenal sebagai pelaut, pengembara malah penakluk terkemuka seperti yang telah dinukilkan oleh Tun Dr Mahathir dalam sajaknya Perjuangan Belum Selesai.

Peribahasa juga dicipta berdasarkan kajian yang telah dijalankan oleh orang-orang Melayu terdahulu. Kajian yang telah dijalankan telah menjadikan sesuatu peribahasa itu mempunyai maksud yang tepat dan tidak dapat dipertikaikan lagi. Hal ini menunjukkan bahawa orang Melayu merupakan bangsa yang suka mengkaji sesuatu yang berlaku di sekeliling mereka.

Orang tua-tua pernah berpesan supaya menyembunyikan bahan-bahan tembaga apabila berlakunya hujan diiringi dengan petir tetapi mereka tidak dapat menjelaskan sebabnya.

Apabila belajar mata pelajaran Kimia di sekolah barulah kita tahu bahawa tembaga atau kuprum merupakan pengalir haba dan elektrik yang paling kuat. Begitu juga sebab mereka memakan sirih bersama-sama kapur serta menggunakan limau nipis untuk mengelakkan badan berbau dapat diketahui puncanya setelah belajar sains.

Kemodenan bukan bermakna kita melupakan khazanah berharga yang kita miliki. Rasanya tidak akan terencat kemajuan sesebuah negara walaupun kita mempertahankan khazanah nenek moyang yang kita miliki sejak berkurun-kurun lamanya.

Dirgahayu Bahasaku!