PIALA Dunia 2014 yang bakal diadakan pada 12 Jun hingga 13 Julai di bumi Brazil nanti akan menghimpunkan pemain yang mewakili 32 pasukan terbaik dunia. Semua pasukan yang mewakili benua masing-masing ini terdiri daripada pelbagai bangsa yang sudah pasti menggunakan bahasa yang berbeza. Bukan semua pemain ini mampu bertutur atau menulis dalam bahasa Inggeris yang menjadi bahasa utama dunia.

Komunikasi bukan sahaja dilakukan melalui medium pertuturan dan lisan. Komunikasi ialah penyampaian fikiran atau perasaan seseorang kepada orang lain dalam bentuk lambang atau simbol sama ada dalam bentuk  bahasa (pertuturan dan tulisan), gerakan badan, bahasa isyarat, gambar, warna dan bunyi yang mampu menterjemahkan pemikiran penyampai maklumat kepada penerima.

Dalam konteks sukan bola sepak, komunikasi antara pegawai perlawanan dengan pemain dapat dijalankan dengan menggunakan bahasanya yang tersendiri. Tidak mustahil nanti Cristiano Ronaldo akan datang bermain dalam Liga Malaysia, dan tidak mustahil jika Apex mampu bermain dalam Bundesliga Jerman kerana bahasa bola sepak tetap sama. Namun, kelebihan itu hanya merujuk keadaan ketika berada di dalam padang sahaja kerana ketidakmahiran dalam komunikasi lisan dan tulisan terutama dalam bahasa antarabangsa iaitu bahasa Inggeris akan menyukarkan perhubungan di luar padang kerana komunikasi antara pemain dengan jurulatih tidak dapat dijalankan dengan baik.

Pengadil akan menggunakan bahasa isyarat untuk menunjukkan sesuatu keputusannya. Apabila pengadil memberikan tendangan sudut kepada sesuatu pasukan, pengadil akan menunjukkan isyarat ke sudut padang. Begitu juga keadaannya apabila sepakan penalti diberikan, pengadil akan menunjukkan ke arah titik sepakan penalti. Apabila pengadil menunjukkan kedua-dua bahasa isyarat ini, sama ada pemain,  pegawai pasukan dan penonton faham akan keputusan pengadil.

Penjaga garisan menggunakan bendera untuk menyampaikan mesej kepada pemain. Penjaga garisan akan mengangkat bendera apabila sesuatu kesalahan dilakukan, contohnya apabila berlaku ofsaid. Pemain juga dapat memahami pasukan yang melakukan kesalahan dengan merujuk arah bendera yang diangkat oleh penjaga garisan.

Penggunaan kad kuning dan kad merah dalam sukan bola sepak sudah difahami oleh semua pemain dan peminat bola sepak. Kad kuning bermaksud amaran dikenakan terhadap seseorang pemain manakala kad merah yang dikenakan menyebabkan pemain itu diarahkan meninggalkan padang oleh pengadil. Semua liga bola sepak dunia sama ada Liga Perdana Inggeris, Serie A Itali, Bundesliga Jerman  atau Liga Malaysia, penggunaan kad kuning dan kad merah membawa maksud yang sama.

 Penggunaan gambar dan juga simbol juga merupakan salah satu alat komunikasi. Dalam bola sepak, simbol nombor yang ditunjukkan oleh pembantu pengadil dapat difahami oleh semua orang. Jika pembantu pengadil menunjukkan nombor ‘3’, bermakna tambahan masa selama tiga minit diberikan. Nombor yang digunakan sama di seluruh dunia. Dalam liga di Arab Saudi juga digunakan simbol nombor ‘3’ bukannya menggunakan simbol nombor itu dalam bahasa Arab.

Bunyi wisel menandakan pemain perlu mula menggerakkan bola atau memberhentikan permainan serta-merta. Hal ini demikian bermakna, bunyi juga merupakan bahasa komunikasi bola sepak yang difahami di seluruh dunia. Nada tiupan wisel juga melambangkan keseriusan sesuatu kesalahan. Nada tiupan yang keras melambangkan kekasaran berat yang telah dilakukan di dalam padang dan begitulah sebaliknya.

Sukan bola sepak sebenarnya mampu memupuk keamanan sejagat. Jika di dalam padang semua bangsa  mampu mengikuti arahan daripada pengadil yang menggunakan pelbagai bahasa komunikasi, mengapakah keadaan ini tidak mampu diterjemah dalam realiti kehidupan? Marilah sama-sama kita mendoakan agar Piala Dunia 2014 yang akan diadakan di Brazil bebas daripada keganasan yang mampu mencemarkan sukan nombor satu dunia ini.

* Ruangan ini dikelolakan oleh DBP Wilayah Timur