SEWAKTU Jepun menakluki Tanah Melayu pada tahun 1940, bapa saya telah dihantar untuk membina jalan kereta api maut di sempadan Thailand-Burma sebagai buruh paksa.

Setelah sebulan lebih berada di 'neraka' itu, dia bersama-sama lima lagi rakannya melarikan diri melalui sungai sehinggalah sampai di pinggir bandar Bangkok.

Di situ dia telah mengahwini seorang gadis Islam Thai dan memperoleh dua orang cahaya mata lelaki.

Sepanjang 12 tahun berada di sana, bapa saya mampu belajar dan menguasai bahasa Thai dengan baik. Apabila pulang ke Kelantan pada 1952, dia telah membawa pulang kemahirannya berbahasa Thai di samping kemahiran boksing dan mengurut secara tradisional sehingga sangat aktif sebagai guru boksing dan tukang urut tradisional.

Selama 12 tahun di sana, dia dapat menguasai bahasa Thai dengan baik kerana orang Thai sering membantunya.

Orang Thai menyebut  perkataan dalam bahasa mereka berserta dengan bahasa isyarat untuk menggambarkan perkataan yang diujarkan.

Bapa saya terpaksa belajar bahasa Thai kerana dia tiada pilihan memandangkan dia terpaksa berkomunikasi dalam bahasa tersebut dengan masyarakat sekeliling termasuk dengan isterinya sendiri.

Seorang rakan saya yang berasal dari Kedah, ketika sama-sama belajar di universiti  mampu bertutur dengan fasih dalam dialek Kelantan walaupun hanya tiga bulan bercampur dengan budak Kelantan.

Dia mampu berdikir barat sehingga banyak orang yang tidak menduga bahawa dia berasal dari Kedah.

Bayangkan, seorang yang tinggal di Alor Setar, bapanya berasal dari Perlis dan ibunya berasal dari Selama, Perak hanya memerlukan tiga bulan untuk fasih bercakap dalam dialek yang begitu asing baginya.

Penguasaan seseorang dalam sesuatu bahasa itu menjadi lebih cepat jika dilakukan secara berterusan dan bersungguh-sungguh atas dasar untuk diterima dalam sesuatu komuniti.

Penggunaan bahasa yang sama menjadikan seseorang itu diterima oleh kumpulan kerana persamaan bahasa lebih menyerasikan sesuatu kumpulan berbanding persamaan dari segi negeri kelahiran dan bangsa.

Ketika sesekali ke Kuala Lumpur atas dasar tugas rasmi, saya dapat melihat begitu banyak warga asing yang datang ke sini untuk bekerja dalam pelbagai sektor.

Kadang-kadang geli hati juga apabila melihat kenakalan mereka mengusik gadis-gadis tempatan dengan sapaan “apa khabar adik manis ...”.

Malah kerana kepandaian menyusun kata dan sikap romantik mereka, ada yang dapat menawan dan mengahwini gadis tempatan. Walaupun baru sahaja tinggal di negara kita, namun mereka mampu juga bertutur dalam bahasa Melayu.

Kadang-kadang tersentuh juga hati apabila melihat masih ada orang Malaysia yang sudah berpuluh-puluh tahun dilahirkan di sini tetapi tidak fasih berbahasa Melayu walhal mereka terdiri daripada orang penting negara.

Temu ramah dengan orang yang pernah mengharumkan nama negara juga dijawab dalam bahasa Inggeris sehingga timbul persoalan, adakah beliau dapat berkomunikasi dalam bahasa Melayu.

Kita sepatutnya mencontohi masyarakat Jepun yang amat berbangga dengan bahasa ibunda mereka.

Apabila pelajar kita ingin melanjutkan pelajaran ke Jepun, mereka perlu mengikuti kelas persediaan bahasa Jepun terlebih dahulu, begitu juga sekiranya kita ingin ke Perancis, Jerman, Korea dan Mesir.

Tiada salahnya jika kita mewajibkan pelajar luar negara yang ingin belajar di negara kita belajar bahasa Melayu terlebih dahulu.

Bagi orang Melayu pula, gunakanlah bahasa Melayu yang betul ketika berkomunikasi dengan orang bukan Melayu untuk membantu mereka menguasai bahasa Melayu.

Janganlah bercakap pelat untuk mengajuk mereka  apabila berkomunikasi kerana perbuatan itu nyata tidak membawa apa-apa kebaikan. Lebih melucukan lagi apabila orang Melayu  sendiri lebih pelat daripada orang bukan Melayu.

Bilangan orang bukan Melayu yang fasih berbahasa Melayu semakin bertambah.

Fenomena ini amat positif kerana mampu mengukuhkan perpaduan di negara kita, dan seterusnya dapat merealisasikan Gagasan 1Malaysia.

Namun, sikap menganggap belajar bahasa Melayu bukan suatu keperluan perlu diubah. Begitu juga pandangan yang mengatakan  bahasa Melayu hanya untuk orang Melayu perlu dibuang jauh-jauh kerana pandangan ini pasti akan menggagalkan usaha menyatupadukan rakyat Malaysia.

Ruangan ini dikelolakan oleh DBP Wilayah Timur