KETIKA minum malam di sebuah restoran Ramadan lalu, seorang sahabat penulis menggeleng-gelengkan kepalanya apabila melihat sekumpulan remaja perempuan Melayu berjubah hitam seperti orang Arab melewati kami. Penulis tahu bahawa rakan tadi menggeleng-gelengkan kepalanya kerana susuk tubuh gadis-gadis itu jelas kelihatan walaupun mereka berjubah. 

Rakan penulis mula mengeluarkan pandangannya tentang amalan memakai pakaian Arab iaitu jubah yang menjadi trend masyarakat kini. Masyarakat sudah tidak dapat membezakan antara Arab dengan Islam. Baginya, Arab dengan Islam amat berbeza sedangkan ada orang Melayu menganggap bahawa Arab dengan Islam itu sama.  

Pernah sekali rakan penulis itu hadir bersolat tarawih di sebuah surau hotel ketika sedang mengikuti kursus di ibu negara. Kebetulan pada masa itu hanya rakan penulis itu yang memakai jubah seperti orang Arab. Barangkali kerana dianggap lebih alim, beliau telah diminta untuk menjadi imam bagi solat sunat tarawih pada malam itu namun, terpaksa ditolak kerana tidak pernah melakukannya sebelum itu. 

Menurut rakan penulis itu, masyarakat kita menganggap bahawa sesiapa yang berjubah itu lebih alim daripada orang lain. Hakikat itulah yang menjadi persepsi masyarakat kita pada hari ini kerana menganggap bahawa Arab itu sama dengan Islam. Abu Jahal, Abu Lahab semuanya berjubah tetapi mereka bukan Islam.

Pemikiran rakan penulis itu ada benarnya. Beberapa peristiwa yang dialami oleh penulis sendiri seolah-olah membenarkan pendapat ini. Beberapa tahun lepas, imam di sebuah surau jatuh sakit menyebabkan tugas menjadi imam sementara digalas oleh seorang guru berasal dari Johor. Selepas solat Isyak berjemaah, penulis mendengar beberapa orang makmum bercakap sesama sendiri bahawa mereka mungkin akan ke surau lain sehingga imam asal sihat kerana tidak yakin dengan imam sementara atas alasan beliau bersongkok dan berbaju Melayu. 

Manusia tidak mampu untuk menilai sifat dalaman seseorang. Pakaian tidak melambangkan ketinggian darjat manusia di sisi ALLAH SWT.  

Banyak sekolah yang menjadikan hari-hari tertentu sebagai Hari Bahasa Inggeris. Pada hari berkenaan, guru dan murid diwajibkan bertutur dalam bahasa Inggeris. 
 
Pernah terjadi suatu peristiwa, seorang tukang kebun sekolah melahirkan rasa tidak senangnya kerana pada hari berkenaan doa dibacakan dalam bahasa Inggeris bagi melengkapi beberapa petikan al-Quran. Baginya, doa tidak sesuai dibaca dalam bahasa Inggeris kerana bukan bahasa orang Islam, sebaliknya perlu dibaca dalam bahasa Melayu. 

Apakah bezanya antara bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris dalam doa? ALLAH memahami segalanya walaupun hanya dengan niat. Penulis mengusik pak cik itu dengan mengatakan bahawa khutbah Jumaat di England turut disampaikan dalam bahasa Inggeris. Khutbah di India dibacakan dalam bahasa mereka, malah di beberapa buah masjid di Malaysia sendiri khutbah bukan dibacakan dalam bahasa Melayu. Banyak ulama terkenal Islam bukan berasal dari Arab pun malah, dari seluruh dunia.

Belakangan ini kita dapat melihat kecenderungan sesetengah pihak menggunakan istilah daripada bahasa Arab walaupun telah terdapat istilah yang tepat dalam bahasa Melayu seperti wasatiyyah yang bermaksud kesederhanaan, walimatulurus (kenduri perkahwinan), iftar (majlis berbuka puasa) dan beberapa istilah lain. 
 
Kebanyakan istilah yang digunakan ialah istilah berkaitan agama yang dianggap oleh masyarakat lebih tepat jika digunakan istilah bahasa Arab. 
 
Beberapa organisasi yang bercirikan Islam juga lebih gemar menggunakan istilah-istilah daripada bahasa Arab seperti ijtimak yang bermaksud perhimpunan, muktamar (perhimpunan besar), muslimat (wanita), baiah (perakuan sumpah setia kepada seseorang yang diberi kuasa) dan beberapa istilah lain. Istilah-istilah ini digunakan supaya sesuai dengan imej yang dibawa oleh sesuatu organisasi.

Kita semua perlu dapat membezakan antara budaya dan bahasa, sama ada sesuatu budaya atau bahasa itu Melayu, Arab atau Islam. Budaya yang tidak bercanggah dengan Islam dibenarkan untuk diamalkan oleh sesiapa sahaja walau di mana-mana sahaja dia berada, manakala semua bahasa diiktiraf oleh ALLAH SWT walaupun hanya menggunakan bahasa isyarat ketika beribadat akibat kecacatan. Walau bagaimanapun bahasa Arab merupakan bahasa al-Quran dan bahasa syurga.
 
* Penulis guru Bahasa Melayu SM Sains Tengku Muhammad Faris Petra