KETIKA remaja, ada sebuah lagu menarik minat saya iaitu “Antara Gadis” nyanyian kumpulan Dinamik yang berasal dari Sarawak. Lirik lagu tersebut dimulakan dengan:

“Antara gadis yang kutemui...” Penulis lirik itu telah berjaya membezakan antara penggunaan kata 'antara' dengan 'di antara'. Kata 'antara' dapat berfungsi sebagai kata sendi nama yang digunakan di hadapan frasa nama untuk menghasilkan frasa sendi nama. Manakala kata 'di antara' merupakan kata sendi nama arah iaitu kata yang menunjukkan arah atau kedudukan.
 
Kata 'antara' berfungsi sebagai kata sendi nama boleh mendahului ayat yang menunjukkan perbandingan.

(i)  Antara Jamil dengan Jamal amat banyak perbezaannya.

(ii) Antara nasi dengan mi, nasi lebih mengenyangkan.

Kata sendi nama 'antara' biasanya diikuti oleh kata nama am yang tidak perlu diulang kerana 'antara' sudah membawa maksud jamak atau banyak.

(i) Antara pemain yang dijangka menyertai pasukan bola sepak Johor Darul Takzim ialah Amirul Hadi dan Nor Farhan.

(ii) Antara nama disebut-sebut untuk jawatan penolong kanan ialah Lokman.  

Kata sendi nama 'antara' hanya dapat diikuti kata nama am jamak yang  mengalami penggandaan separa dengan bawa makna kumpulan orang dan sebagainya yang tertentu.

(i) Masalah itu perlu diselesaikan antara adik-beradik.

(ii) Permusuhan antara kedua-dua kumpulan itu bermula sejak tahun 1980 lagi.

Kata sendi nama 'antara' juga boleh diikuti oleh kata bilangan tentu (contohnya dua, empat, seratus), kata bilangan tak tentu (contohnya semua, beberapa) dan kata bilangan himpunan (kedua-dua, kelima-lima, beratus-ratus).

(i) Pergaduhan itu melibatkan pertembungan antara satu dengan satu.

(ii) Perjanjian itu mampu memantapkan perhubungan antara kedua-dua negara.

Penggunaan kata sendi nama 'antara' diikuti kata ganti nama diri seperti mereka, kita dan –nya.
(i) Antara mereka sukar untuk kita membezakannya.

(ii) Marilah kita melupakan permusuhan antara kita.

Apabila menggunakan kata sendi nama 'antara' dengan diikuti oleh lebih daripada dua frasa, pastikan kita menggunakan kata hubung dan.

(i) Persaingan itu hanyalah antara Ramlah, Razak dan Ruslan.

(ii) Antara kriteria yang diambil kira ialah bahasa dan sebutan.

Kata sendi nama 'antara' boleh digandingkan dengan kata sendi nama hingga untuk menunjukkan lingkungan (tentang jarak, peratusan, masa, berat dan sebagainya).

(i) Naufal menjuarai pertandingan tinju kategori antara 70 kilogram hingga 80 kilogram.

(ii) Pelajar yang dipanggil ialah yang memperoleh markah antara 20 hingga 49 peratus.

Frasa sendi nama arah 'di antara' digunakan apabila kata 'antara' berfungsi sebagai kata nama, justeru frasa sendi nama 'di antara' hanya dapat digunakan untuk menunjukkan kedudukan fizikal atau tempat.

(i) Rahmat berdiri di antara Razlan dengan Maznah.

(ii) Kereta Nasir berhenti tiba-tiba ketika berada di antara Rembau dengan Bahau.

Kata sendi nama arah 'di antara' juga mesti menggunakan kata hubung dan jika diikuti lebih daripada dua frasa sepertimana kata sendi nama 'antara'.

(i) Malaysia berada di antara Thailand, Singapura, Indonesia dan Filipina.

(ii) Razman berdiri di antara Wahid, Ramli dan Karim.

Walaupun kurang diberi perhatian oleh pengguna bahasa Melayu tentang penggunaan kata sendi nama 'antara' dan kata sendi nama arah 'di antara', sepatutnya kita cakna akan hal tersebut.
 
Matlamat kita hanyalah satu iaitu untuk memartabatkan kedaulatan bahasa Melayu. Marilah sama-sama kita memartabatkan bahasa Melayu.

Akhir kata “Cintailah Bahasa Kita, Bahasa Jiwa Bangsa”.