SEORANG kawan bertanya tentang perbezaan tanggungjawab antara manusia dengan haiwan, lantas saya menjelaskan bahawa tanggungjawab bapa manusia lebih besar daripada ibu tetapi sebaliknya bagi haiwan.

Alasannya, dalam bahasa Arab, seseorang kanak-kanak dianggap anak yatim jika kematian bapanya sebelum akil baligh berbeza dengan haiwan yang dianggap  yatim jika kematian ibunya.

Tersiratnya, tugas dan tanggungjawab bapa lebih besar berbanding ibu untuk membesar dan mendidik anak mereka. Bagi haiwan pula tanggungjawab ibu lebih penting berbanding bapa, tetapi perkara tersebut tidak perlu kita risaukan kerana haiwan tidak dibekalkan akal fikiran seperti manusia.

Perkataan ‘yatim’ dalam bahasa Arab bermaksud kanak-kanak yang kematian bapanya sebelum akil baligh. Manakala anak haiwan pula dianggap anak yatim jika kematian ibunya.

Memang diketahui umum bahawa perkataan ‘yatim’ dipinjam daripada bahasa Arab dan telah terserap ke dalam bahasa Melayu.

Walau bagaimanapun, terdapat perubahan dalam makna perkataan ‘yatim’ dalam bahasa Melayu kerana yatim bermaksud anak yang kematian ibu atau bapanya.

Dalam bahasa Arab, ‘amil’ ialah pekerja bagi sebarang pekerjaan. Dalam al-Quran ada menyebut perkataan ‘amil’ yang menjadi antara pihak yang boleh menerima zakat. Masyarakat Melayu menggambarkan amil sebagai orang yang diberi tauliah oleh pemerintah untuk mengutip zakat dan bukannya untuk tugas-tugas lain.

Dalam bahasa Arab ‘berkhalwat’ bermaksud bersunyi-sunyi seorang diri. Dalam konteks ajaran Islam pula, maksud ‘berkhalwat’ ialah bersunyi-sunyi seorang diri untuk beribadat kepada ALLAH SWT.

Cuba bandingkan maksud berkhalwat dalam bahasa Melayu dengan maksud asalnya dalam bahasa Arab. Sudah pasti terdapat perbezaan yang ketara kerana berkhalwat dalam bahasa Melayu bermaksud berdua-duaan di tempat sunyi antara lelaki dengan perempuan yang bukan mahram.

Nasyid biasanya berkonsepkan nyanyian yang bercorak keagamaan. Malah dalam Anugerah Industri Muzik tanah air juga ada mempertandingkan kategori Album Nasyid Terbaik.

Namun daripada manakah perkataan ‘nasyid’ berasal? Perkataan ini juga berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud sebarang nyanyian lagu. Jelaslah di sini bahawa perubahan makna telah berlaku, iaitu proses penyempitan makna daripada makna yang umum dan luas iaitu sebarang nyanyian lagu kepada makna yang lebih khusus iaitu lagu bercorak keagamaan.

Terdapat suatu simpulan bahasa ‘alim-alim kucing’ yang bermaksud seseorang yang berpura-pura alim. Hal ini menunjukkan bahawa ‘alim’ bermaksud seseorang yang memiliki sifat zuhud, warak dan takwa.

Namun maksud sebenar daripada bahasa Arab ialah seorang yang berilmu pengetahuan tinggi dalam sesuatu bidang. Begitu juga halnya dengan perkataan ulama dalam bahasa Melayu yang merujuk kepada orang berpengetahuan tinggi dalam bidang agama, sedangkan makna asalnya dalam bahasa Arab ialah seseorang yang berilmu dan berpengetahuan dalam bidang-bidang tertentu.

Istilah ‘madrasah’ juga telah mengalami perubahan dari segi maknanya kerana dalam bahasa Arab bermaksud sekolah. Pada zaman dahulu, proses menuntut ilmu dijalankan di tempat yang sama dengan tempat ibadat.

Kemunculan sekolah-sekolah yang dibina khas untuk menuntut ilmu telah meninggalkan fungsi tempat ibadat hanya untuk beribadat sahaja sehinggakan istilah madrasah dikhususkan untuk tempat beribadat.

Saya berasakan bahawa pembetulan terhadap beberapa istilah yang lazim digunakan dalam bahasa Melayu harus dilakukan. Banyak pengguna bahasa Melayu menggunakan istilah ‘muhrim’ untuk menggambarkan orang lelaki dan perempuan yang haram dinikahi kerana hubungan kekeluargaan yang rapat.

Walaupun pembetulan telah dilakukan namun kesilapan masih dilakukan. Orang lelaki dan perempuan yang haram dinikahi kerana hubungan kekeluargaan yang rapat diistilahkan sebagai ‘muhrim’. ‘Muhrim’ sebenarnya bermaksud orang yang dalam ihram semasa ibadat haji atau umrah.

Proses peminjaman merupakan suatu proses yang biasa dalam mana-mana bahasa di dunia atas dasar keperluan. Walaupun telah berlaku perubahan makna terhadap sesuatu istilah daripada makna sebenar dalam bahasa asal namun perkara itu juga merupakan suatu lumrah kerana bahasa Melayu bersifat dinamik.

* Ruangan ini dikelolakan oleh DBP Wilayah Timur